backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Trikomoniasis Atau Trich, Jangkitan Kelamin Yang Cenderung Dialami Kaum HAWA! Semak Simptom Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 09/07/2022

Trikomoniasis Atau Trich, Jangkitan Kelamin Yang Cenderung Dialami Kaum HAWA! Semak Simptom Ini

Trikomoniasis, juga disebut sebagai trich, tergolong dalam kalangan penyakit kelamin (STD) yang kerap berlaku. Trikomoniasis pada wanita ini juga jarang bergejala dan menimbulkan masalah.

Trich disebabkan oleh parasit bersel satu yang kecil bernama Trichomonas vaginalis.

Individu yang aktif secara seksual dan kerap bertukar pasangan mempunyai risiko untuk dijangkiti penyakit ini.

STD ini lebih banyak menjangkiti golongan wanita berbanding lelaki, secara spesifiknya, wanita lebih berusia.

Namun, jika ia tidak dirawat, peluang anda untuk mendapat atau menyebarkan STD lain, termasuk HIV adalah tinggi!

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Seksual, sila dapatkannya di sini.

Simptom

Trikomoniasis pada wanita, apa simptomnya?

Seperti yang telah dikongsikan, trich sering kali tidak bergejala.

Centers for Disease Control and Prevention (CDC) melaporkan, hanya 30% individu yang dijangkiti trich melaporkan mengalami gejala.

Dalam 1 kajian, 85% wanita tidak mengalami sebarang gejala! Jika wujud simptom, ia sering bermula 5 hingga 28 hari selepas dijangkiti.

Namun, bagi sesetengah orang pula, ia boleh memakan masa yang lebih lama.

Antara simptom yang paling biasa berlaku dengan trikomoniasis pada wanita ini, merangkumi:

  • Pendarahan atau spotting faraj
  • Sensasi terbakar di sekitar alat sulit atau gatal-gatal
  • Berlaku kemerahan atau pembengkakan kemaluan
  • Kerap membuang air kecil
  • Rasa sakit semasa kencing atau melakukan hubungan seksual
  • Alami keputihan berwarna; putih, kelabu, kuning, atau hijau, dan biasanya disertai bau yang tidak menyenangkan

trikomoniasis pada wanita

Bagi golongan lelaki pula, antara gejala yang kerap dialami adalah:

  • Keluar lelehan dari uretra
  • Sensasi terbakar semasa kencing atau selepas ejakulasi
  • Kerap membuang air kecil

Punca

Trikomoniasis pada wanita, apakah punca-puncanya?

Trich biasanya akan berjangkit melalui hubungan seks dengan seseorang yang telah memilikinya.

Biasanya, ia merebak melalui penetrasi zakar dan faraj. Tapi, wanita yang terlibat dengan hubungan songsang dan bersenggama dengan wanita lain juga boleh dijangkiti trich melalui hubungan seks faraj.

Trikomoniasis pada wanita ini biasanya berlaku dibahagian vulva, faraj, serviks, atau uretra.

Kaum Adam pula biasanya dijangkiti di bahagian uretra. Ia juga boleh terbentuk di prostat, kelenjar di antara pundi kencing dan zakar.

Untuk makluman, amat jarang untuk trich menjangkiti bahagian badan lain, seperti tangan, mulut, atau dubur.

Tambah lagi, sesiapa sahaja yang mempunyai trich membawa risiko menyebarkannya, walaupun mereka tidak mengalami sebarang gejala.

Faktor risiko

Menurut American Sexual Health Association (ASHA) dan CDC, sebanyak 1 juta kes trich baharu dianggarkan setiap tahun!

Penyakit kelamin ini lebih kerap berlaku pada golongan wanita berbanding lelaki, dan 2.3 juta wanita yang dijangkiti berusia dalam lingkungan 14 hingga 49 tahun.

Pun begitu, ia lebih kerap terjadi dalam kalangan wanita yang lebih tua. 1 kajian menunjukkan, kes positif  yang paling banyak berlaku datang daripada kumpulan umur lebih daripada 50 tahun.

Risiko penularan boleh meningkat apabila anda mempunyai:

trikomoniasis pada wanita

Diagnosis & rawatan

Bagaimana trikomoniasis pada wanita didiagnosis & dirawat?

Gejala trich sama dengan STD lain dan ia tidak dapat didiagnosis berpandukan simptom sahaja.

Untuk mendiagnosis trich, ujian akan merangkumi:

  • Ujian untuk mengesan DNA Trichomonas
  • Cell cultures
  • Ujian antigen
  • Pemeriksaan sampel cecair faraj, uretra, atau air kencing di bawah mikroskop

Rawatan

Perubatan untuk trikomoniasis tidaklah serumit disangka, ia dapat disembuhkan dengan penggunaan antibiotik.

Doktor juga mungkin akan mengesyorkan metronidazole atau tinidazole.

Peringatan! Jangan minum alkohol selama 24 jam pertama setelah mengambil metronidazole atau 72 jam pertama selepas mengambil tinidazole.

Ia boleh menyebabkan rasa mual dan muntah yang teruk.

Pastikan pasangan seksual anda turut diuji dan mengambil ubatan yang sama. Tidak mempunyai simptom tidak bermaksud mereka tidak mengalaminya!

Di samping itu, anda harus mengelakkan daripada terlibat dengan sebarang hubungan seksual selama seminggu setelah anda dan pasangan dirawat.

Baca juga:

Komplikasi

Sekiranya anda tidak mendapatkan rawatan, trich boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lain!

Ia berupaya meningkatkan risiko anda untuk dijangkiti atau menyebarkan STD lain.

Jika anda menghidap HIV, trich akan membuatkan risiko penularan kepada pihak lain lebih tinggi.

Disebabkan itu, doktor mencadangkan agar wanita dengan HIV diuji untuk mengesan trich sekurang-kurangnya sekali setahun.

Sekiranya anda hamil, trich juga berisiko mengakibatkan kelahiran pramatang!

Bukan itu sahaja, bayi juga mungkin akan dilahirkan tidak cukup berat, yang bakal meningkatkan kemungkinan masalah kesihatan atau perkembangannya.

Langkah pencegahan

Satu-satunya cara untuk mengelakkan diri daripada dijangkiti trikomoniasis pada wanita ini adalah dengan tidak melakukan hubungan seks faraj.

Anda juga boleh mengambil langkah lain untuk menurunkan risiko dengan:

trikomoniasis pada wanita

  1. Sentiasa amalkan penggunaan kondom lateks. Ini kerana anda berupaya dijangkiti atau menyebarkan trich melalui sentuhan sahaja, pastikan untuk memakai kondom sebelum menyentuh faraj.
  2. Elakkan meruang! Faraj wanita mempunyai keseimbangan bakteria semula jadi tersendiri untuk memastikan faraj kekal sihat. Apabila anda meruang, anda bakal menjejaskan keseimbangan bakteria baik, lantas meningkatkan risiko dijangkiti STD.
  3. Setia pada yang satu, terutama pada pasangan yang diuji negatif STD.
  4. Berbincanglah secara terbuka dengan pasangan anda mengenai sejarah seksual dan potensi risiko jangkitan penyakit kelamin. Ini akan dapat membantu anda membuat pilihan terbaik untuk diri sendiri.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 09/07/2022

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan