Apabila badan demam, pasti kita akan rasa susah tidur malam. Sudahlah badan panas dan tidak selesa, hendak lelapkan mata pun susah! Pasti anda akan mencari cara untuk tidur lena semasa demam, kan?
Mesti ramai yang mengeluh begini semasa demam. Tidak kiralah kita tidur dalam posisi apa pun, mesti susah nak lena.
Selepas ini, kalau anda demam lagi, cuba amalkan 7 tip atau cara untuk tidur yang kami berikan.
Gerenti, selepas ini anda boleh tidur dengan lebih lena!
7 cara untuk tidur lebih lena semasa demam
1. Tinggikan sedikit bahagian atas badan ketika tidur
Cuba tinggikan sedikit badan anda ketika tidur. Tetapi, jangan hanya tinggikan leher sahaja!
Susun bantal dalam bentuk segi tiga supaya seluruh bahagian atas badan anda dalam keadaan menyandar. Posisi ini akan memudahkan anda bernafas dan melegakan selesema.
Jika hanya tinggikan leher anda sahaja, selesema anda akan jadi makin teruk. Anda juga mungkin akan bangun pagi dengan leher yang lebih sakit nanti!
Cara untuk tidur sewaktu demam #2. Mandi air suam
Mandi dengan air suam bukan sahaja bagus untuk orang demam, malah sesuai untuk semua orang yang ingin melegakan stres.
Mandi dengan air suam dapat membantu anda untuk lebih relaks dan tenang. Air yang hangat juga mampu melancarkan pernafasan dan membuatkan anda rasa lebih baik.
Lagipun, mandi juga dapat membuang segala kekotoran yang melekat pada badan. Penjagaan kebersihan diri juga penting jika anda ingin cepat sembuh daripada demam!
3. Makan sup ayam atau minuman panas
Sup ayam dan juga minuman panas boleh membantu anda untuk tidur lebih lena pada waktu malam.
Bukan sahaja sup dan air panas boleh buatkan hidung anda rasa kurang tersumbat, tetapi boleh membantu anda daripada mengalami dehidrasi semasa demam.
Anda juga boleh cuba teh herba seperti teh lavender atau pudina. Teh ini tidak mempunyai kafein dan boleh membantu anda untuk tidur lebih lena pada waktu malam.
Jangan lupa letak botol air di tepi katil anda ya! Minum air yang cukup boleh buatkan anda sembuh dengan lebih cepat!
4. Jangan lupa makan ubat
Jika anda telah berjumpa doktor dan mendapatkan ubat yang sesuai untuk demam anda, jangan lupa makan ubat ikut jadual ya!
Kalau anda tidak berjumpa dengan doktor, anda boleh membeli ubat demam di farmasi yang berdekatan.
Jika tidak pasti ubat apa yang sesuai dengan simptom anda, tanya kepada ahli farmasi yang sedang bertugas.
Penting untuk anda makan ubat yang sesuai supaya demam cepat pulih. Selain itu, ketidakselesaan anda juga dapat dikurangkan. Jadi, bolehlah anda tidur dengan lebih selesa!
Cara untuk tidur #5. Gunakan alat pelembap udara (air humidifier) untuk tidur lena
Alat pelembap udara sangat membantu ketika anda sedang demam.
Alat ini membantu untuk melembapkan udara dan melegakan saluran pernafasan yang kering. Anda akan lebih mudah untuk bernafas dan membuatkan tidur anda lebih selesa.
Tetapi, pastikan anda menggunakan air yang telah ditapis sahaja ya dalam alat pelembap udara anda. Jika alat ini tidak diselenggara dengan baik, bakteria dan kulat boleh membiak di dalamnya.
Ini akan membuatkan anda lebih sakit nanti!
6. Pastikan bilik anda dalam keadaan selesa, ini cara untuk tidur lena
Tutup lampu dan pastikan bilik anda gelap untuk mudahkan anda tidur. Selain itu, pastikan suhu bilik anda dalam keadaan selesa.
Jangan biarkan suhu bilik anda terlampau sejuk atau panas. Nanti, anda akan susah tidur dan selalu terjaga pada waktu malam kerana tidak selesa.
Ketika anda sakit, adalah dinasihatkan untuk kekalkan suhu dalam keadaan sederhana dan bukan terlalu sejuk. Suhu yang sejuk akan buatkan hidung anda tersumbat dan susah untuk bernafas.
7. Jangan paksa diri anda tidur
Akhirnya, jika anda sudah cuba pelbagai cara tetapi tidak juga menjadi, janganlah paksa diri anda untuk tidur.
Cuba pasang lagu, atau baca buku. Pastikan diri anda relaks dan tenang. 15 – 30 minit kemudian, cuba tidur kembali.
Tetapi, jangan pula main game, tonton TV ataupun scrolling handphone ya! Nanti susah pula untuk anda tidur.
Tidur lena cepatkan proses penyembuhan
Tidur yang lena pada waktu malam boleh buatkan anda bangkit lebih sihat dan bertenaga pada keesokan hari.
Jangan biarkan demam buatkan anda susah untuk tidur malam ya! Jika demam anda berlarutan selama beberapa hari, jangan lupa berjumpa dengan doktor untuk sesi konsultasi!
[embed-health-tool-bmi]