backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

Benarkah Air Cap Badak Mampu Menyejukkan Badan? Ini Apa Anda Kena Tahu!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 20/02/2024

    Benarkah Air Cap Badak Mampu Menyejukkan Badan? Ini Apa Anda Kena Tahu!

    Pernah tak anda mendengar mengenai air Cap badak? Ada pengalaman minum air tersebut? 

    Apa sebenarnya air yang turut dikenali sebagai cooling water ini? Adakah ia air yang berasal daripada rendaman badak?

    Kalau ingin tahu lebih lanjut mengenainya, ayuh teruskan membaca perkongsian artikel Hello Doktor ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan, sila dapatkannya di sini.

    Pantang larang minum air cap Badak

    Siapa di antara anda yang pernah minum air yang turut dikenali sebagai air Cap Kaki Tiga ini?

    Haaa…jangan malu untuk mengaku ya.

    Walaupun penulis sendiri tidak pernah meminum air ini, namun dalam kalangan rakan-rakan penulis ada yang mengambilnya.

    Bagi yang langsung tidak tahu tahu mengenai air ini, umumnya ia dikenali sebagai air yang dipercayai dapat mencegah atau mengurangkan penyakit atau keadaan kesihatan seperti ulser mulut, demam atau sakit gigi.

    Selain memberikan kelegaan untuk sembelit dan sakit kepala, air ini juga dikatakan dapat membantu menambah cecair badan dan mengatasi panas badan, terutamanya selepas pengambilan makanan pedas atau bergoreng mahupun makan durian terlalu banyak.

    Sejarah ringkas air Cap Badak

    Air Cap Kaki Tiga ini sebenarnya merupakan jenama buatan sendiri yang dimulakan oleh Kumpulan Wen Ken pada tahun 1937.

    air cap badak
    Air Badak telah dikeluarkan semula dengan botol baharu.

    Setelah lebih 80 tahun berada di pasaran, corak pembungkusan air minuman ini telah melalui beberapa fasa perubahan.

    Pada awalnya dikenali sebagai Air Cap Badak atau Air Cap Kaki Tiga, ia telah dinaiktaraf pada tahun 2008 menjadi ‘Cool Rhino’.

    Sejujurnya kalau dilihat di pasaran, air Cool Rhino tampak sama dengan air mineral biasa yang dibotolkan.

    Cuma perbezaannya ia dikatakan mengandungi mineral kalsium sulfat, iaitu:

    • Gypsum Fibrosum
    • calcitum

    Apa sebenarnya mineral kalsium sulfat ini?

    Gypsum fibrosum dalam air cap badak

    Kegunaan utama mineral ini adalah sebagai plaster dalam bahan binaan. Eh, macam mana pula bahan untuk pembinaan berada dalam minuman?

    Dalam perubatan tradisional Cina (traditional Chinese medicine, TCM), Gypsum fibrosum (shi gao) dan calcitum (han shui shi)adalah mineral semula jadi.

    Gypsum adalah terdiri daripada kalsium sulfat kontang, manakala calcitum atau batu kalsit adalah bentuk kalsium karbonat.

    Kedua-dua bahan ini biasanya dimasukkan bersama kombinasi bahan-bahan TCM lain untuk memberikan kesan penyejukan dalam formulasi terkompaun.

    Secara teori dalam TCM, keadaan badan manusia yang ideal adalah di mana unsur-unsur panas dan sejuk seimbang. 

    Konsep ‘kepanasan’ dalam perubatan ini merujuk kepada lebihan sesuatu unsur yang boleh menyebabkan sesetengah individu mengalami kesan seperti demam, sakit tekak, ulser mulut, jerawat, air kencing gelap dan/atau rasa dahaga yang berlebihan.

    Dalam kajian yang dilakukan ke atas haiwan, gypsum fibrosum menunjukkan kesan antipiretik yang boleh diukur pada pyrexia – disebabkan oleh lipopolysaccharide dalam model tikus. 

    air cap badak
    Contoh imej gypsum fibrosum.

    Satu model yang mungkin diterokai adalah unsur tersebut merangsang ekspresi protein aquaporin-3 (AQP-3) – berperanan penting dalam mengekalkan kandungan air dalam sel kulit.

    Antara keadaan yang boleh menyumbang kepada kepanasan berlebihan termasuklah pendedahan jangka panjang kepada cuaca panas dan lembap, rehat yang tidak mencukupi, tekanan serta perubahan hormon.

    Di samping pengambilan makanan dengan unsur ‘panas’ seperti durian, makanan bergoreng dan berempah, contohnya kari turut menjadi antara faktor penyumbang.

    Makanan ‘panas’ biasanya akan meningkatkan peredaran darah, merangsang tubuh dan mempunyai banyak jumlah kalori dan perlu dimasak menggunakan suhu tinggi.

    Sebab itulah ramai yang mengambil air Cap Badak selepas makan.

    Konsep makanan ini dikenali sebagai makanan Yin (panas) dan Yang (sejuk). Namun begitu, konsep ini masih tidak dapat dibuktikan secara saintifik walaupun telah menjadi amalan sejak zaman-berzaman.

    Apa pantang larang minum air badak?

    Terdapat beberapa penyelidikan saintifik berkaitan calcitum dan bahan mineral ini dipercayai dapat merawat osteomyelitis pada kaki – jangkitan bakteria dalam tulang dengan pengambilan tablet yang mengandungi kalsium sulfat.

    Calcitum yang terdiri daripada kalsium karbonat turut digunakan dalam bahan ubatan untuk merawat penyakit buah pinggang kronik.

    Tetapi bagi individu dengan keadaan limpa bermasalah atau tekanan darah rendah, anda tidak boleh mengambil mineral ini.

    Keberkesanan ambil air penyejuk

    air cap badak
    Minum air kosong setiap hari untuk menghiratkan badan.

    Adakah berkesan pengambilan air Cap Badak ini dalam membantu mengatasi masalah badan panas, terutamanya selepas makan? Sejujurnya, ia terpulang kepada pendapat dan pandangan individu.

    Jika sebelum ini anda pernah meminum air penyejuk ini dan ia memberi kesan positif kepada diri khususnya dalam menghilangkan sembelit, sakit kepala dan panas badan, teruskan mengambilnya.

    Ada pantang larang minum air badak?

    Sekiranya terdapat keraguan mengenai kesesuaian diri untuk mengambilnya atau tidak, lebih-lebih lagi jika anda mempunyai masalah kesihatan tertentu melibatkan buah pinggang atau tekanan darah, sebaiknya rujuk kepada doktor untuk mendapatkan lebih kepastian.
    Tidak salah untuk mencuba cara tradisional atau kaedah alternatif dalam merawat masalah kesihatan diri.
    Tetapi anda tetap disarankan untuk berunding dengan doktor sebelum melakukannya, kerana dibimbangi ia mungkin akan memberikan lebih mudarat berbanding manfaat.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 20/02/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan