backup og meta

Bulu Banyak Angkara Penyakit? Ada 6 Teknik Buang Bulu Anda Boleh Cuba!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 10/01/2023

    Bulu Banyak Angkara Penyakit? Ada 6 Teknik Buang Bulu Anda Boleh Cuba!

    Anda ada banyak rambut halus di badan namun tidak tahu cara betul dalam usaha membuang, mengurangkan atau menghilangkan bulu? Teruskan baca artikel ini untuk tahu lebih lanjut!

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.

    Hirsutisme, punca bulu badan banyak?

    Sesetengah wanita mungkin menghadapi masalah bulu atau rambut yang tidak diingini, juga dikenali sebagai hirsutisme, yakni sebuah keadaan pertumbuhan rambut yang tidak diingini dalam kalangan wanita dengan corak pertumbuhan bulu badan seperti lelaki.

    Ia disebabkan oleh beberapa keadaan perubatan tertentu seperti sindrom ovari polisistik dan gangguan hormon lain yang menyebabkan rambut gelap dan kasar berkembang di muka, terutamanya atas bibir dan dagu, serta pada dada, perut, dan belakang.

    Sesetengah ubat-ubatan, seperti steroid anabolik, juga sangat berkemungkinan membawa kepada hirsutisme.

    menghilangkan bulu

    Kaedah menghilangkan bulu yang anda boleh cuba!

    Sebenarnya, terdapat banyak kaedah menghilangkan bulu pada muka atau tubuh badan anda yang anda perlu tahu.

    Mungkin ramai yang hanya tahu menggunakan pisau cukur sahaja, sedangkan terdapat banyak lagi cara lain untuk melakukannya, seperti:

    #1. Bercukur, cara menghilangkan bulu paling lazim

    Bercukur adalah cara kos rendah yang boleh anda lakukan di rumah.

    Apa yang anda perlukan hanyalah pencukur, sedikit air sama ada suam atau panas, sedikit sabun, busa cukur (shaving foam) atau gel.

    Atau anda boleh menggunakan pisau cukur elektrik, yang lebih mudah untuk digunakan dan kurang berkemungkinan mencederakan kulit berbanding pencukur biasa.

    Memandangkan pisau cukur tajam, jadi anda mungkin terluka, terutamanya apabila anda baru  belajar bagaimana untuk menggunakannya.

    Kulit anda juga mungkin terengsa atau menghadapi masalah lain, seperti kulit pedih (razor burn), lebam, tertoreh, luka, jangkitan kulit, atau rambut tumbuh ke dalam.

    #2. Membuang bulu dengan melilin (Waxing)

    Melilin adalah kaedah penyingkiran rambut sementara yang membuang bulu rambut dari akar.

    Rambut baru tidak akan tumbuh semula pada bahagian yang tersebut selama tiga hingga lapan minggu.

    Hampir semua bahagian badan boleh menjalani rawatan ini termasuklah kening, muka, kawasan bikini, kaki, lengan, belakang, perut dan kaki. 

    Rawatan melilin profesional adalah lebih mahal tetapi anda boleh mengambil pengalaman dengan mendapatkan rawatan melilin pertama di salon untuk melihat bagaimana profesional melakukannya.

    menghilangkan bulu

    #3. Mencabut (threading dan tweezing)

    Mencabut menggunakan benang atau pinset untuk mengeluarkan rambut satu demi satu, menarik seluruh folikel bulu dari akar.

    Kesannya boleh bertahan sehingga enam minggu dan dalam beberapa kes, menjadi kekal: mencabut rambut dengan kerap boleh menyebabkan folikel menjadi rosak dan berhenti tumbuh.

    Mencabut lebih menjimatkan wang anda.

    Walau bagaimanapun, ia mungkin mengambil masa yang lebih lama kerana anda hanya boleh mengeluarkan sehelai rambut pada satu masa.

    Selain itu, mencabut rambut mungkin menyakitkan.

    Selepas mencabut, anda mungkin perasan benjolan merah sementara kerana folikel rambut membengkak dan terengsa.

    #4. Depilatori untuk menghilangkan bulu

    Depilatori adalah bahan kosmetik yang digunakan untuk menghilangkan rambut yang tidak diingini buat sementara waktu.

    Ia mengandungi bahan-bahan yang digunakan untuk melarutkan rambut di atas permukaan kulit memandangkan proses ini tidak menarik rambut pada akar seperti kaedah lain.

    Depilatori boleh didapati dalam bentuk krim, losyen, atau semburan.

    Losyen lebih sesuai digunakan untuk kawasan tubuh badan yang lebih besar seperti kaki, tangan, ketiak, atau kawasan “bikini”.

    Krim boleh digunakan untuk kawasan tertentu dengan lebih baik kerana ia lebih tebal.

    Depilatori bertindak cepat, mudah didapati di kedai-kedai ubat dan kedai runcit, dan kosnya rendah.

    Walau bagaimanapun, menggunakan depilatori mempunyai beberapa faktor risiko.

    Mereka yang mempunyai kulit sensitif mungkin alah kepada bahan kimia di dalamnya, lalu menyebabkan ruam atau keradangan.

    menghilangkan bulu

    #5. Elektrolisis

    Arus elektrik digunakan dengan elektrod yang sangat halus berbentuk jarum, atau prob logam ke dalam setiap folikel rambut untuk memusnahkan akar.

    Kaedah ini boleh menawarkan hasil yang kekal.

    Tetapi pertumbuhan semula rambut mungkin berlaku kepada sesetengah orang.

    Terdapat tiga jenis elektrolisis: galvani, termolisis dan kombinasi.

    Elektrolisis biasanya hanya digunakan pada kawasan yang lebih kecil seperti atas bibir, kening, dan di bawah lengan.

    Bagi kebanyakan orang, proses ini agak menyakitkan dan menyebabkan kulit kering, keruping, parut, dan keradangan.

    Ia mudah menyebabkan jangkitan jika jarum dan alatan lain tidak disterilkan dengan betul.

    #6. Menghilangkan bulu dengan rawatan Laser

    Sinar cahaya yang digunakan dalam rawatan laser merosakkan folikel rambut.

    Disebabkan tenaga laser tertarik dengan pigmen bulu, sinaran laser dengan tepat boleh menyasarkan rambut gelap, kasar tanpa merosakkan kawasan sekitarnya.

    Memandangkan folikel tersebut telah dimusnahkan, rambut anda tidak akan tumbuh kembali.

    Keberkesanan rawatan laser boleh bertahan selama-lamanya.

    Tetapi bergantung kepada keadaan anda sendiri, anda mungkin dikehendaki untuk mengambil beberapa sesi lagi untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

    Kerana manfaatnya, rawatan laser adalah lebih mahal berbanding kaedah lain.

    Kesan cara menghilangkan bulu permanen ini pula mungkin membawa keradangan dan kemerahan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 10/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan