Untuk pengetahuan anda semua, punca kuku biru atau hitam pada kaki dan tangan itu mungkin akibat pengumpulan darah beku atau nama kondisi saintifiknya Hematoma Subungual.
Sebenarnya, darah beku yang terkumpul dan terperangkap di bawah kuku anda itu boleh terjadi angkara banyak perkara serta terkait dengan pelbagai kondisi yang lain juga.
Persoalannya, apa punca dan bagaimana untuk rawat kuku hitam ini? Jom teruskan membaca!
Mengenai Hematoma Subungual…
Mungkin tidak ramai yang tahu istilah ini kerana sudah biasa dengan panggilan lain seperti ‘kuku hitam’ atau ‘darah beku‘. Sebenarnya, ini semua adalah satu kondisi yang sama.
Masalah ini mungkin akan terjadi apabila sel darah yang wujud di bawah kuku kaki atau tangan anda itu telah terkumpul dan terperangkap akibat kerosakan pada salur darah.
Pada awalnya, darah itu mungkin hanya akan memunculkan satu atau lebih titik pada kuku namun ia turut boleh disebarkan jika kuku anda itu dibiarkan dengan begitu sahaja.
Antara situasi yang mungkin boleh kita semua kaitkan adalah di mana kuku anda terpukul atau terhimpit dengan objek yang berat jisim seperti mangga kunci dan sebagainya.
Dalam pada itu juga, sebenarnya ada beberapa punca kuku biru yang lain, seperti di bawah ini.
Apa dia punca kuku biru?
Normalnya, kuku pada kaki dan tangan individu yang sihat adalah berwarna jernih serta bertekstur halus namun ia boleh jadi hitam lagi tebal angkara punca-punca seperti berikut:
#1. Trauma
Trauma atau kecederaan pada kuku kaki atau tangan anda itu mungkin boleh berlaku akibat impak dari objek jisim berat, kasut yang ketat, sukan yang lasak dan lain-lain lagi.
Ia seterusnya mungkin akan mengakibatkan salur darah di dalam perimeter kuku anda itu pecah lantas menghitamkan luar permukaan kuku jika tiada tindakan atau rawatan.
Bukan sahaja akan menghitamkan kuku, trauma juga sudah pasti akan menyebabkan kaki atau tangan anda itu rasa sakit dan bengkak sekali gus menyulitkan aktiviti seharian.
#2. Melanoma
Melanoma Subungual adalah sejenis kanser kulit yang juga boleh jadi punca kuku biru dan biasa akan bermula dengan gejala seperti perubahan pada warna dan tekstur kuku.
Ia terjadi akibat pendedahan terhadap cahaya matahari yang berlebihan lagi berterusan. Dalam beberapa kes lain juga, trauma yang berulang turut boleh jadi punca kondisi ini.
Berita baiknya, kanser kulit pada kuku ini boleh dirawat dengan cepat jika anda segera mengambil tindakan dan rawatan. Disebabkan itu, sentiasa periksa kuku anda setiap hari.
#3. Kuku biru sebab jangkitan
Jangkitan pada kuku juga boleh jadi punca perubahan pada warna serta tekstur kuku dan jenis jangkitan yang paling kerap menyerang adalah infeksi kulat, Onychomycosis.
Kondisi yang lebih kerap berlaku pada kuku kaki berbanding kuku tangan ini diakibatkan oleh persekitaran kulit yang lembap dan hangat, sesuai untuk kulat ini berhabitat.
Disebabkan itu juga, kita semua wajar mengganti dan mencuci stoking dengan kerap agar ia sentiasa berada dalam keadaan yang kering, bersih serta suci daripada pertumbuhan kulat-kulat.
#4. Kondisi yang lain
Selain kondisi-kondisi yang kami telah nyatakan di atas tadi, ada juga kondisi lain yang boleh jadi punca kuku hitam. Berikut adalah masalah yang anda perlu beri lebih perhatian:
Dengan berjumpa doktor segera, anda akan dapat tahu punca dan cara untuk rawat kuku hitam!
Bagaimana untuk rawat kuku biru atau hitam?
Doktor mungkin akan menyarankan anda untuk menjalani rawatan berdasarkan tahap keterukan kuku hitam pada kaki dan tangan anda itu. Ia terbahagi kepada 2 kategori:
Rawat kuku hitam yang ringan
Anda mungkin boleh merawatnya hanya dengan merehatkan anggota itu, menuamkan kuku dengan air batu atau air hangat serta membiarkan ia untuk pulih secara sendiri.
Dalam usaha untuk mengurangkan rasa sakit, bengkak atau gatal (jika ada), anda juga boleh mendapatkan ubat tahan sakit daripada kaunter farmasi dengan preskripsi doktor.
Rawat kuku hitam yang teruk
Jika ia sudah terlalu serius atau kronik, cara di atas mungkin tidak lagi dapat membantu jadi anda perlu menjalani prosedur untuk diagnosis masalah itu terlebih dahulu.
Kemudian, doktor mungkin akan terpaksa mencabut dan menjahit semula kuku anda yang terjejas bagi meneutralkan semula sistem pengaliran darah di bawah kuku terbabit.