Komuniti merupakan platform selamat untuk anda berhubung dengan ahli lain, meinggalkan komen megenai topik yang anda pilih dan mendapatkan nasihat perubatan daripada pakar kesihatan kami.
Pilihan Pelembap Terbaik Untuk Kulit Kering: Ini Tip & Cara Penggunaannya!
Kulit kering merupakan masalah biasa yang dialami oleh semua orang, tidak kiralah lelaki atau wanita. Disebabkan cuaca yang panas, kita sangat digalakkan untuk memakai moisturizer untuk kulit kering. Namun, setiap orang mempunyai kulit berbeza. Jadi, apakah cara melembapkan kulit kering secara efektif?
Sebagai panduan untuk memilih krim pelembap untuk kulit sensitif atau kering, pastikan anda beli krim yang mengandungi pelindung matahari dan vitamin tertentu untuk kulit.
Selain itu, pilih produk yang tidak akan menyebabkan pori wajah tersumbat. Selalunya, produk tersebut mempunyai label non-comedogenic.
Moisturizer perlu dipakai setiap hari. Antara sebab ia perlu menjadi produk wajib dalam penjagaan kulit anda ialah:
1. Menghalang kulit daripada kering
Kulit kita boleh kehilangan air melalui proses penyejatan terutamanya jika terdedah kepada cuaca panas terik.
Oleh itu, pemakaian pelembap dapat bertindak sebagai satu lapisan penghalang (skin barrier) yang melindungi kulit daripada kehilangan lembapan.
Ini dapat memastikan kulit kekal hidrat dan lembut.
2. Moisturizer untuk kulit kering boleh mengurangkan kegatalan
Kulit wajah yang kering bukan sahaja boleh menyebabkan ketegangan, ia juga boleh menimbulkan kegatalan.
Dengan penggunaan pelembab, kulit kurang berisiko untuk mengalami keradangan dan gatal-gatal.
Sebagai panduan untuk membeli krim pelembap untuk kulit sensitif, pilih produk yang mengandungi bahan anti radang, misalnya aloe vera atau kamomil yang dapat memberi kelegaan pada kulit.
3. Mencegah masalah kulit mengelupas
Kulit kering yang tidak dirawat akan merekah dan mengelupas. Lama kelamaan, kulit mungkin akan terluka dan mudah mengalami jangkitan.
Penggunaan pelembap dapat mengelakkan masalah ini daripada berlaku. Malah, ia dapat memastikan lapisan kulit kekal utuh dan mempercepatkan proses pemulihan.
4. Menguatkan lapisan kulit
Tahukah anda, kulit merupakan organ yang melindungi badan daripada penyakit? Ia merupakan lapisan pertama yang menapis segala bakteria, virus dan toksin daripada memasuki badan.
Oleh itu, penggunaan moisturizer untuk kulit kering bukan sahaja dapat mengurangkan risiko jangkitan, ia juga dapat menguatkan lapisan kulit supaya ia dapat menjalankan tugasnya dengan baik.
Pelembap terbaik untuk kulit kering dan mengelupas
Pemakaian pelembap setiap hari dapat mengelakkan masalah kulit kering dan berminyak.
Kedua-dua kondisi ini boleh mendatangkan bahaya pada kulit dan merupakan penyebab utama jerawat.
Langkah terbaik untuk memilih moisturizer untuk kulit kering ialah:
1. Kenal pasti pelembap yang sesuai
Di pasaran, terdapat tiga jenis pelembap. Antaranya:
Humektan – Berupaya menarik lembapan ke dalam kulit, misalnya gliserin dan asid hyaluronik.
Emolien – Dapat mengisi ruang kosong antara sel kulit dan menjadikan kulit lebih lembut. Antara contoh bahan emolien ialah minyak jojoba dan ceramide.
Oklusif – Membentuk lapisan pelindung di atas kulit untuk menghalang kehilangan lembapan, misalnya petrolatum dan lilin lebah.
Pelembap terbaik untuk kulit kering dan mengelupas ialah yang mengandungi kombinasi emolien dan oklusif.
2. Jangan beli produk yang boleh menyebabkan iritasi
Elakkan daripada menggunakan bahan-bahan ini pada permukaan wajah.
Kulit kering dan sensitif mudah terjejas dengan bahan kimia seperti alkohol, pewangi dan pewarna.
Oleh itu, pilih pelembap yang bebas daripada bahan-bahan ini untuk mengelakkan masalah iritasi atau keradangan pada kulit wajah.
3. Cari pelembap dengan bahan yang bermanfaat
Banyak moisturizer untuk kulit kering mengandungi bahan yang dapat mengekalkan kelembapan wajah, antaranya asid hyaluronik, ceramide atau minyak semula jadi (misalnya minyak argan).
Semua bahan ini dapat memberi kelembapan tambahan dan memperbaiki kulit wajah.
Cara gunakan moisturizer untuk kulit kering
Pastikan pemakaian pelembap dilakukan dengan betul bagi mendapatkan hasil yang optimum.
Sebagai cara melembapkan kulit kering secara efektif, pastikan anda:
Pakai pelembap selepas mandi. Ini dapat membantu pelembap ‘ mengunci lembapan’ dan memastikan ia dapat diserap dengan lebih baik.
Gunakan pelembap secara konsisten. Guna pelembap sekurang-kuranya dua kali sehari, sekali pada waktu pagi dan sekali pada waktu malam.
Jangan lupakan bahagian badan yang lain. Selain muka, pakai juga losyen pada tangan, siku dan kaki terutamanya jika kawasan badan tersebut sering terdedah kepada cahaya matahari.
Jangan kedekut!Pakai pelembap dengan jumlah yang mencukupi agar setiap bahagian kulit dapat memperoleh manfaatnya.
Kesimpulan:
Penggunaan pelembap merupakan langkah penting dalam penjagaan kulit, terutamanya bagi mereka yang mengalami masalah kulit kering.
Pelembap yang sesuai adalah kunci kulit yang sihat dan lembut.
Dengan penjagaan yang konsisten, kulit anda akan kekal selesa, bebas daripada kekeringan dan tampil lebih berseri setiap hari.
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Moisturizers: Do they work? https://www.health.harvard.edu/staying-healthy/moisturizers-do-they-work. Diakses pada Oktober 19, 2024.
The Role of Moisturizers in Addressing Various Kinds of Dermatitis: A Review. https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC5849435/. Diakses pada Oktober 19, 2024.
The Importance of Moisturizing. https://www.utmedicalcenter.org/blog-post/importance-moisturizing. Diakses pada Oktober 19, 2024.
The Best Moisturizer for Your Dry Skin? Here’s What To Look For and How To Use It. https://health.clevelandclinic.org/how-to-choose-the-best-moisturizer-for-your-dry-skin. Diakses pada Oktober 19, 2024.
How to pick the right moisturizer for your skin. https://www.aad.org/public/everyday-care/skin-care-basics/dry/pick-moisturizer. Diakses pada Oktober 19, 2024.
Versi Terbaru
24/10/2024
Ditulis oleh Fatin Zahra
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor