backup og meta

Hairan Tengok Kuku Jadi Warna Biru, Rupanya Ia Juga Petanda 3 Penyakit Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/04/2022

    Hairan Tengok Kuku Jadi Warna Biru, Rupanya Ia Juga Petanda 3 Penyakit Ini!

    Kebiasaannya, kuku pada hujung jari kita adalah berwarna seakan merah jambu. Namun apa pula maksudnya jika kuku warna biru? Adakah ia petanda yang berbahaya?

    Ya, anda mungkin tidak perlu terlalu hairan kerana ia merupakan antara keadaan kesihatan yang boleh terjadi akibat kondisi yang dinamakan sebagai cyanosis.

    Untuk mengetahui mengenai kondisi yang melibatkan perubahan drastik warna kuku ini dengan lebih mendalam lagi, jom bersama teruskan membaca artikel ini.

    Cyanosis, kondisi apabila kuku warna biru!

    Untuk pengetahuan anda, kondisi ini mungkin boleh berlaku apabila membran di bawah kulit terjejas akibat kurangnya kadar oksigen di dalam sel darah merah anda.

    Selain itu, perubahan pada warna kuku juga mungkin bermaksud bahawa terdapat kandungan hemoglobin abnormal yang sangat tinggi di dalam tubuh badan anda.

    Dalam pada itu, cuaca yang terlalu sejuk juga boleh jadi punca kuku warna biru kerana ia akan memaksa salur darah mengecut lantas menyekat oksigen daripada masuk.

    3 situasi ini merupakan antara punca biasa yang menyebabkan cyanosis dan ia mungkin akan pulih dengan sendiri seiring waktu berserta mengambil ubatan atau rawatan.

    kuku warna biru

    Pun begitu, kuku warna biru pada jangka masa yang lebih panjang mungkin bermakna ada sesuatu yang tidak kena pada tubuh badan anda. Ia petanda kondisi berbahaya?

    Kuku warna biru juga petanda beberapa penyakit?

    Selain 3 punca biasa di atas tadi, anda juga perlu tahu bahawa mungkin ada beberapa keadaan kesihatan pada tubuh badan jika mengalami kuku warna biru.

    #1. Penyakit organ paru-paru

    Terdapat beberapa jenis penyakit berkaitan organ paru-paru yang mungkin boleh menyebabkan perubahan warna kuku menjadi biru, termasuklah:

    • Penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) – Ia adalah terma umum bagi penyakit seperti emfisema dan bronkitis yang akan menjejaskan sistem pernafasan individu
    • Sindrom distres pernafasan akut (ARDS) – Individu dengan kondisi ini cenderung alami kadar nafas dan degup jantung yang lebih laju lantas kurang kadar oksigen
    • Embolisme paru-paru (PE) – Jika salah satu arteri paru-paru tersumbat akibat gumpalan darah, ia akan menghalang pengaliran darah ke paru-paru dan boleh membawa maut
    • Asma – Kondisi ini akan menyebabkan ruang udara sempit dan bengkak lantas menyebabkan mukus terkumpul serta menyukarkan individu untuk bernafas dengan normal
    • Pneumonia – Kondisi yang disebabkan jangkitan bakteria, virus dan kulat ini boleh menyebabkan radang paru-paru namun boleh sembuh jika anda segera dapatkan rawatan

    kuku warna biru

    #2. Penyakit organ jantung

    Terdapat beberapa jenis penyakit berkaitan organ jantung yang mungkin boleh menyebabkan perubahan warna kuku menjadi warna biru termasuklah:

  • Penyakit jantung kongenital (CHD) – Ada individu yang lahir dengan jantung serta salur darah abnormal yang meningkatkan risiko alami CHD dan boleh membawa maut
  • Kegagalan jantung kongestif (CHF) – Kegagalan jantung untuk mengepam darah boleh menyebabkan sesak nafas, badan penat, badan bengkak serta maut jika tidak dirawat
  • Sindrom Eisenmenger – Kondisi yang jarang berlaku ini boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan aliran darah abnormal pada jantung yang sangat berbahaya
  • #3. Ketidaknormalan pada sel dan salur darah

    Selain itu, kuku warna biru juga mungkin merupakan petanda anda ada masalah pada sel dan salur darah dalam tubuh badan, yang merangkumi:

    • Keracunan karbon monoksida – Jika berlaku, karbon monoksida akan menjejaskan kemampuan hemoglobin untuk mendapatkan oksigen diperlukan oleh tubuh badan
    • Methemoglobinemia – Kondisi ini akan meningkatkan kadar methemoglobin di mana ia berbeza dengan hemoglobin yang tidak mampu untuk merembeskan oksigen
    • Polisitemia Vera – Kondisi yang berkaitan dengan kanser darah ini boleh menyebabkan tulang sumsum menghasilkan terlalu banyak sel darah dalam tubuh badan
    • Fenomena Raynaud – Individu dengan kondisi ini mengalami penurunan aliran darah ke anggota kaki dan tangan akibat saluran darah yang terhimpit atau tersumbat

    kuku warna biru

    Kecederaan juga adalah punca kuku warna biru?

    Selain kondisi-kondisi yang telah kami nyatakan di atas tadi, ada satu lagi punca tidak berbahaya yang mungkin boleh menyebabkan kuku warna biru iaitu kecederaan.

    Kecederaan ini merangkumi sebarang bentuk pukulan, hentakan, hirisan, tekanan atau lain-lain yang boleh menyebabkan luka atau lebam pada kulit di dalam kuku.

    Namun, perubahan pada kuku ini selalunya bersifat misteri dan anda sendiri mungkin tidak tahu apa punca ia berlaku. Jadi, segera berjumpa doktor untuk berbincang!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/04/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan