Memiliki masalah kulit breakout atau berjerawat menjadi mimpi ngeri buat ramai orang! Siapa saja mempunyai keyakinan untuk berdepan orang ramai dengan muka dipenuhi bintik-bintik merah bernanah bukan?
Jerawat yang muncul di wajah sememangnya boleh memberi kesan kepada harga diri dan, dari masa ke masa, mampu akibatkan parut kekal.
Kulit kita mempunyai lubang-lubang kecil yang dikenali sebagai liang pori yang boleh tersumbat dengan minyak, bakteria, sel kulit mati, dan kotoran.
Apabila penyumbatan berlaku, maka timbulnya risiko untuk mengalami jerawat. Sekiranya kulit secara berulang kali terjejas oleh keadaan ini, anda mungkin mengalami akne.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.
Jenis jerawat
Apakah jenis kulit breakout?
Untuk makluman, jerawat berbeza dari segi ukuran, warna, dan tahap kesakitan. Antara jenisnya seperti berikut:
- Bintik putih (whiteheads): Ia adalah sejenis bintik putih yang terbentuk dek penyumbatan folikel rambut yang tertutup. Ia berlaku setelah ditutupi sebum/sel kulit mati yang membawa kepada penyumbatan pori-pori, lantas memicu gumpalan putih di bawah permukaan kulit
- Bintik hitam (blackheads): Merupakan variasi kepada bintik putih, ia berpunca daripada penyumbatan folikel rambut yang terbuka dengan sebum dan sel-sel kulit mati. Turut dikenali dengan nama komedo terbuka, warna hitamnya berpunca daripada faktor melanin yang terdedah kepada oksigen
- Papula: Sejenis jerawat yang terdapat di bawah permukaan kulit dan tidak mengandungi nanah. Ia berbentuk seakan benjolan kecil dan berwarna merah jambu/kemerahan
- Pustula: Berlaku apabila liang pori tersumbat dijangkiti organisma tertentu seperti bakteria. Benjolan kemerahannya yang mengandungi nanah terlihat jelas di permukaan kulit
- Nodul: Sejenis benjolan besar dan meradang yang terasa keras saat disentuh. Ia juga terbentuk jauh di dalam lapisan kulit dan sering kali menyakitkan
- Sista: Juga dikenali sebagai jerawat batu, merupakan jenis akne yang paling teruk selepas nodul. Sista juga terbentuk di dalam lapisan kulit, namun fizikalnya dipenuhi cecair dan nanah yang berisiko pecah lantas terdedah kepada jangkitan kulit
Punca dan faktor risiko
Apa punca kulit breakout?
Jerawat kebiasaannya berlaku apabila liang-liang roma tersumbat dengan minyak, sel-sel kulit mati, atau bakteria.
Setiap liang pori kulit adalah bukaan folikel dan ia terdiri daripada rambut dan kelenjar minyak (sebum).
Kelenjar minyak menghasilkan dan melepaskan sebum, yang kemudiannya bergerak ke atas rambut, keluar melalui liang pori, dan ke kulit untuk menjadikan kulit kekal lembap serta lembut.
Namun, beberapa ralat dalam proses ini boleh menyebabkan muka breakout. Ia boleh berlaku apabila:
- Folikel menghasilkan terlalu banyak minyak.
- Sel-sel kulit mati terkumpul di liang roma.
- Bakteria berkumpul di liang pori.
Faktor risiko kulit breakout
Walaupun tiada sokongan saintifik untuk dakwaan berikut, namun terdapat beberapa faktor risiko tertentu yang berpotensi menyumbang kepada pembentukan jerawat. Ini merangkumi:
- Perubahan hormon yang dipicu oleh proses akil baligh atau kehamilan
- Pengambilan ubat-ubatan tertentu, seperti pil pencegah kehamilan atau kortikosteroid tertentu
- Amal diet tinggi gula halus atau karbohidrat, seperti roti dan manisan
- Masalah keturunan, ibu bapa turut mempunyai kulit breakout
Pilihan rawatan
Mengikut tahap keparahan akne, setiap jenis jerawat boleh dirawat sama ada dengan penjagaan kulit yang betul, penggunaan rawatan topikal, atau bahkan prosedur.
Penjagaan di rumah
- Cuci kulit wajah anda setiap hari dengan sabun yang lembut untuk hilangkan lebihan minyak dan kotoran.
- Syampu rambut dengan kerap dan elakkan daripada menyentuh muka.
- Memilih alat solek yang berasaskan air atau dilabel noncomedogenic (tidak menyumbatkan liang pori).
- Elak memicit atau menyentuh jerawat yang berisiko menyebarkan bakteria dan minyak berlebihan.
- Elak sentuh muka dengan tangan kotor.
Rawatan topikal
Jika rawatan penjagaan kulit di atas masih tidak dapat membantu atasi masalah kulit breakout, terdapat beberapa rawatan topikal yang boleh dicuba. Namun, rawatan topikal perlulah menerusi nasihat doktor terlebih dahulu.
Sebilangan besar rawatan ini mengandungi bahan-bahan yang berupaya membunuh bakteria atau mengurangkan minyak pada kulit, seperti:
- Benzoil peroksida tersedia dalam bentuk krim dan gel. Ia digunakan untuk mengeringkan akne dan mencegah pembentukan yang baru. Benzoil peroksida juga membunuh jerawat yang dipicu oleh bakteria.
- Sulfur adalah bahan semula jadi dengan bau tersendiri yang terkandung dalam sesetengah losen, pencuci muka, dan masker.
- Resorcinol adalah antara bahan yang kurang digunakan untuk menyingkirkan sel-sel kulit mati.
- Asid salisilik acap kali digunakan dalam bentuk sabun dan pencuci muka berjerawat. Ia turut membantu elakkan liang pori daripada tersumbat.
- Antibiotik topikal atau oral mengurangkan keradangan dan membunuh bakteria yang menyebabkan jerawat.
Prosedur kulit breakout
Untuk masalah akne yang lebih parah, doktor mungkin mengesyorkan anda untuk menjalani prosedur di bawah:
- Terapi fotodinamik menggunakan ubat dan cahaya atau laser khas untuk mengurangkan pengeluaran minyak dan bakteria.
- Dermabrasion menyingkirkan lapisan atas kulit menggunakan berus berputar dan menjadi prosedur yang terbaik untuk merawat parut jerawat.
- Chemical peel juga menyingkirkan lapisan atas kulit untuk menampakkan lapisan kulit baharu yang sihat dan kurang rosak di bawahnya.
Tip pencegahan
Ingin elak kulit breakout? Ikuti tip pencegahan ini
Kalau mahu diikutkan, amat sukar untuk mencegah jerawat kerana ia terjadi atas sebab yang berbeza-beza mengikut individu.
Namun, beberapa langkah penjagaan boleh diamalkan di rumah sebagai usaha mencegah akne usai rawatan jerawat.
Langkah-langkah ini merangkumi
- Mencuci muka 2 kali sehari dengan pembersih bebas minyak
- Menggunakan krim jerawat di kaunter untuk menyingkirkan minyak berlebihan (dengan nasihat doktor)
- Elak alat solek yang mengandungi minyak
- Mandi selepas bersenam
- Elak pakaian yang terlalu ketat
- Amal diet sihat dan rendah gula
- Menguruskan tekanan
- Menanggalkan solekan dan membersihkan kulit anda dengan sempurna sebelum tidur