backup og meta

Ambil Tahu Punca & Jenis Jerawat Yang Tumbuh Di Wajah Anda, Senang Nak Rawat Nanti!

Ambil Tahu Punca & Jenis Jerawat Yang Tumbuh Di Wajah Anda, Senang Nak Rawat Nanti!

Aduh jerawat lagi, apa punca muka berjerawat ni? Rasa nak picit saja, kan? Tapi nanti dulu, tak boleh main picit jerawat itu, melarat pulak. Jom kita kenali jenis jerawat yang mungkin ‘menghantui’ diri anda.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.

Punca muka berjerawat

Jerawat merupakan satu masalah yang boleh berlaku kepada sesiapa, tidak kira lelaki mahu pun wanita. Tetapi kerap kali, masalah ini menghantui kaum wanita terutamanya ketika kedatangan haid

Tiada sesiapa yang menyukai jerawat, kerana kemunculannya membuatkan seseorang hilang rasa yakin pada diri. Terdapat pelbagai punca yang boleh mengakibatkan wujudnya jerawat, antaranya:

1. Stres

Tekanan sebenarnya boleh menjadi punca muka berjerawat. Badan yang mengalami tekanan akan berdepan dengan kemerosotan fungsi badan dan akhirnya mencetuskan jerawat.

Bahan kimia yang dilepaskan ketika tekanan, neuropeptides, akan menjadikan masalah jerawat semakin kronik. 

2. Kelenjar sebum 

Keadaan ini biasanya disebabkan oleh perubahan hormon, di mana kelenjar sebum menjadi aktif dan mengeluarkan sebum dalam jumlah yang banyak. Akhirnya akan menyebabkan pembentukan jerawat.

Memiliki kulit muka jenis berminyak juga boleh menjadi penyebab munculnya jerawat.

jenis jerawat

3. Jangkitan kuman

Apabila sebum yang terhasil terlalu banyak, ia cenderung untuk menyekat atau menutup liang pori. Situasi ini akan menyebabkan pengumpulan bakteria yang akhir menjadi punca jerawat. Keadaan ini boleh menyebabkan masalah keradangan kulit.

4. Penggunaan alat solekan tidak bersih

Walaupun alat solekan yang digunakan itu adalah milik persendirian dan tidak bercampur dengan individu lain, anda tetap perlu mencuci alat solat yang digunakan seperti berus mekap atau sponge

Ini kerana alat solekan yang tidak dijaga boleh menjadi tempat pembiakan bakteria sekali gus mengakibatkan jerawat. Jadi, sebulan sekali, cuci dan bersihkan segala alat solek yang kerap anda gunakan.

5. Debu dan kotoran 

Di persekitaran anda sebenar terdapat kotoran dan debu yang turut boleh menjadi punca muka berjerawat. Ditambah pula dengan keadaan muka yang berminyak, sudah tentu ia akan memburukkan lagi keadaan. 

Satu lagi perkara yang turut menjadi punca adalah kotoran yang berada pada telefon bimbit. Cuba anda lihat pada skrin telefon bimbit anda, pasti berminyak dan terdapat kesan cap jari, bukan?

Sudah tentu kotoran sebegitu boleh melekat kepada wajah dan akhirnya muncullah jerawat. Pastikan skrin telefon bimbit anda sentiasa bersih, sekurang-kurangnya sebelum anda melekapkan wajah anda kepada skrin tersebut.

6. Penjagaan muka tidak konsisten

Biasanya kaum wanita mudah tertarik untuk membeli pelbagai set penjagaan muka. Namun, tidak semua dapat melakukan rutin penjagaan secara konsisten.

Tidak dinafikan adakala apabila terlalu penat, kita akan menjadi malas untuk melakukan rutin penjagaan muka. Dan perkara itu sebenarnya boleh menjadi punca masalah jerawat. Jadi selepas ini, kena rajin melakukan rutin penjagaan muka. Jangan malas!

7. Kerap memicit jerawat

Perasan tak apabila anda memicit jerawat, tak lama kemudian sure muncul jerawat dekat bahagian lain? Macam magic. Tapi sebenarnya tabiat begini tidak digalakkan, apatah lagi ia meningkatkan risiko untuk munculnya parut jerawat

Kalau geram sangat alas jari jemari anda menggunakan tisu atau kain bersih sebelum memicitnya, okay? Tetapi sebaiknya elakkan dari memicit. Takut nanti makin merebak dan banyak pula jerawat yang muncul.

Jenis jerawat

jenis jerawat

Anda sudah mengetahui antara punca biasa yang boleh menyebabkan jerawat. Apa kata kita kenali pulak jenis jerawat. 

Umumnya terdapat dua jenis jerawat yang tidak menyebabkan keradangan, iaitu

Jenis jerawat: Closed comedo (komedo tertutup)

Turut dikenali sebagai whitehead. Merupakan keadaan di mana kumpulan minyak dan sel kulit mati bercampur dan menyumbat liang pori. Situasi ini seterusnya akan memerangkap sebum (minyak), dan bakteria. Anda akan melihat bintik putih di atas permukaan kulit anda.

Open comedo (komedo terbuka)

Dikenali sebagai blackhead. Kumpulan minyak dan sel kulit mati yang terbuka dan teroksidasi dengan udara yang menyebabkan ia berwarna hitam. Hitam yang kelihatan itu bukanlah kotoran tetapi pigmen kulit-melanin yang bertindak balas dengan oksigen di udara.

Terdapat tiga jenis jerawat yang boleh menyebabkan keradangan, iaitu:

1. Jenis jerawat: Papule 

Ia merupakan jerawat blackhead yang menjadi radang kerana tidak dirawat dan dijangkiti bakteria. Ia membentuk benjolan merah atau merah muda pada kulit.

Jerawat ini sangat sensitif kepada sentuhan. Memicitnya akan membuatkan keradangan menjadi lebih teruk dan mengakibatkan parut. 

2. Pustule 

jenis jerawat

Jerawat ini berlaku apabila bintik merah meradang dan tidak diubati dan akan kelihatan jerawat bernanah sama ada berwarna putih atau kuning. Ada yang memanggilnya sebagai jerawat matang.

Elakkan daripada memicit atau meremas jerawat ini kerana perbuatan itu boleh menyebabkan parut dan masalah jerawat yang semakin kronik.

3. Nodule

jenis jerawat

Jenis jerawat ini dikenali sebagai jerawat batu. Keadaan jerawat ini adalah besar dan terdapat benjolan meradang. Jerawat ini boleh berlaku apabila liang pori tersumbat dan bakteria sudah masuk ke lapisan paling bawah.

Selalunya jerawat ini adalah serius sekiranya tidak dirawat. Keadaan ini sudah pastinya menyebabkan keyakinan diri individu semakin berkurangan.

Pencegahan adalah penting

Seperti yang dinyatakan pada awal tadi, punca muka berjerawat boleh terjadi kepada sesiapa tanpa mengira jantina.

Jadi perkara terbaik adalah untuk melakukan pencegahan dengan memberikan perhatian kepada perkara-perkara yang boleh menjadi punca munculnya jerawat seperti menjaga aspek pemakanan, kebersihan diri dan sebagainya. Jagalah kulit anda sebaik mungkin!

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Types breakouts. https://www.aad.org/public/diseases/acne/diy/types-breakouts. Accessed 31 Oct 2019.
  2. What is acne. https://www.acne.org/what-is-acne.html. Accessed 31 Oct 2019.
  3. Acne.https://kidshealth.org/en/teens/acne.html. Accessed 31 Oct 2019.
  4. Causes of acne. https://acne.org.au/causes/ Accessed 31 Oct 2019.
  5. Symptoms of acne.https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/acne/symptoms-causes/syc-20368047#. Accessed 31 Oct 2019.

Versi Terbaru

25/01/2022

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Nurul Halifah


Artikel Berkaitan

Kulit Alami Jerawat Teruk? Mungkin Ia Ada Kaitan Dengan Usus Kotor!

Gemar Minum Air Lemon? Ini 6 Kebaikan Buah Lemon Pada Kesihatan


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 25/01/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan