Cuba lihat di bawah mata anda, adakah terdapat biji-biji kecil yang tidak surut-surut? Jika ya, ia merupakan biji kolesterol di muka.
Jika anda memicitnya, biasanya ia tidak akan mengeluarkan apa-apa dan hanya akan merosakkan kulit anda. Ini cara menghilangkan biji kolesterol di muka.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.
Apa punca biji kolesterol di muka?
Dalam bahasa Inggeris, biji kolesterol di muka disebut sebagai Milia seeds.
Ia merupakan benjolan kecil yang berwarna putih atau kekuningan dan dipenuhi dengan keratin di bawah permukaan kulit anda.
Biji kolesterol di muka ini tidaklah berbahaya dan tidak menyakitkan.
Biasanya, biji kolesterol di kelopak mata atau di sekitar hidung boleh berlaku dalam masa yang agak lama.
- Penggunaan produk penjagaan muka berasaskan minyak dan juga kerap menggunakan alat solekan wajah.
- Pengumpulan minyak yang banyak pada wajah sehingga menyebabkan sel kulit mati berkumpul lalu mengakibatkan liang-liang kulit tersumbat.
Memandangkan biji kolesterol ini biasanya terjadi jauh di bawah lapisan kulit, maka ia tidak boleh dipicit seperti anda memicit biji jerawat.
Namun, ada beberapa kaedah yang boleh anda gunakan untuk menyingkirkannya.
Cara menghilangkan biji kolesterol di muka
Terdapat beberapa petua dan cara hilangkan biji kolestrol anda boleh cuba amalkan.
Lihat beberapa cara hilangkan biji kolesterol di mata atau tempat lain yang kami kongsikan di bawah ini:
#1. Bersihkan kulit anda
Pastikan anda mencuci muka dengan sabun yang lembut dan bebas paraben setiap hari.
Mana-mana sabun yang bersifat mengakis hanya akan menghilangkan minyak yang diperlukan pada muka anda.
Selepas mencuci muka, keringkan kulit wajah dengan kain dan bukan membiarkannya kering dengan sendirinya.
Ini akan membantu mengelakkan kulit anda daripada melecet atau kering.
#2. Lakukan skrub pada kulit muka
Skrub kulit yang lembut mungkin membantu memastikan kulit anda bebas daripada perengsa yang menyebabkan biji kolesterol.
Sesetengah ejen pengelupasan boleh menghalang keratin dalam kulit anda daripada terhasil secara berlebihan.
Oleh itu, cari krim skrub muka yang mengandungi asid salisilik, asid sitrik atau asid glikolik.
Akan tetapi, skrub muka terlalu kerap boleh merengsakan kulit, jadi jangan lakukannya setiap hari.
Mulakan dengan menggunakan skrub sekali dalam seminggu dan lihat jika ia mengurangkan biji kolesterol di muka yang dialami.
#3. Guna krim retinoid
Sesetengah penyelidik mengesyorkan penggunaan ubat farmasi untuk hilangkan biji kolestrol dalam bentuk krim retinoid topikal jika ada biji kolesterol di muka.
Krim retinoid mengandungi vitamin A dan vitamin ini penting untuk kesihatan kulit anda.
Gunakan mana-mana produk yang mengandungi retinoid atau retinol hanya sekali dalam sehari.
Pakai apabila muka telah dicuci bersih dan kering.
Sewaktu menggunakan krim retinoid atau retinol, adalah penting untuk menggunakan krim pelindung matahari setiap hari.
Ini kerana, retinoid atau retinol boleh menjadikan wajah anda lebih terdedah kepada kerosakan kulit yang disebabkan oleh pendedahan matahari.
#4. Wapkan kulit muka anda
Selepas anda mencuci wajah dengan bersih, anda boleh cuba mewapkan kulit bagi membuka liang-liang untuk menyingkirkan bahan perengsa kulit.
Apa yang boleh anda lakukan ialah:
- Duduk dalam bilik mandi dan buka air pancuran dengan suhu panas. Bilik mandi anda akan dipenuhi dengan wap panas.
- Duduk dalam bilik mandi tersebut selama 5 hingga 10 minit. Wap panas akan membuka liang kulit dan menyingkirkan kulit mati serta bahan perengsa yang terperangkap pada bawah kulit.
- Setelah itu, tutup air pancuran dan duduk dalam beberapa minit lagi dalam bilik mandi anda. Kemudian, lap kering kulit anda dan bilas dengan air suam.
#5. Gunakan krim pelindung matahari yang ringan
Anda perlu memakai krim pelindung matahari setiap hari untuk melindungi kulit muka daripada sinaran ultraungu matahari.
Antara manfaat tambahan pelindung matahari yang betul adalah boleh mengurangkan kerengsaan kulit yang menyebabkan biji kolesterol.
Cari krim pelindung matahari yang direka khusus untuk digunakan pada muka.
Pastikan SPF krim adalah 30 atau lebih tinggi. Jika kulit anda sangat sensitif kepada matahari, pertimbangkan untuk menggunakan produk dengan SPF 100.
Krim pelindung matahari yang paling mesra kulit mempunyai minyak mineral sebagai asasnya berbanding minyak lain yang boleh menyumbat kulit.
Baca bahan krim pelindung matahari dengan teliti sebelum digunakan untuk memastikan ia tidak mengandungi apa-apa bahan yang anda alah atau sensitif.