backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Selalu Bersin & Hidung Berair, Cuba 4 Petua Pantas Ini Untuk Legakannya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/12/2022

    Selalu Bersin & Hidung Berair, Cuba 4 Petua Pantas Ini Untuk Legakannya!

    Kerap selsema dan bersin setiap minggu? Jika ia berlaku serentak, ini mungkin bukan selsema biasa melainkan rinitis alahan. Ketahui apakah rinitis alahan berserta petua hilangkan bersin selsema di sini. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Pernafasan, anda boleh klik di sini.

    Kerap selsema dan bersin mungkin tanda rinitis alahan

    Rinitis alahan atau juga disebut rinitis alergi merupakan satu keadaan di mana hidung anda mengalami iritasi disebabkan sesuatu yang anda alah. Contohnya ialah seperti habuk dan debu.

    Apabila ini berlaku, ia boleh menyebabkan beberapa simptom yang mungkin terjadi secara serentak. Antaranya ialah:

    • Hidung berasa gatal
    • Bersin
    • Selesema
    • Hidung tersumbat
    • Mata berair, merah dan gatal-gatal
    • Batuk
    • Lelangit mulut menjadi gatal

    Ia boleh berlaku dalam masa hanya beberapa minit selepas anda bersentuhan dengan faktor alahan

    Petua hilangkan bersin selsema

    Ada beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan simptom rinitis alergi ini.

    Antara petua hilangkan selsema dengan cepat yang boleh anda cuba ialah:

    #1. Air rebusan halia

    petua hilangkan bersin selsema

    Rumah anda pasti mempunyai halia bukan? Anda boleh menggunakan halia bagi merawat simptom rinitis alergi kerana halia mempunyai sebatian anti alahan dan juga anti keradangan.

    Selain itu, halia juga boleh membantu melancarkan masalah hidung tersumbat dan melegakan tekak anda.

    Halia boleh dimasukkan dalam hidangan harian anda.

    Namun, jika anda mahu cara yang lebih mudah, rebuskan sahaja beberapa hirisan halia dan minum air rebusan tersebut selepas ia agak sejuk atau suam.

    #2. Petua hilangkan bersin selsema: Pengairan lubang hidung

    Masalah hidung tersumbat yang berpunca daripada rinitis alahan boleh dirawat dengan menggunakan kaedah pengairan hidung.

    Pengairan lubang hidung boleh membantu mengeluarkan mukus atau lendiran yang berlebihan.

    Anda boleh mendapatkan air saline atau air garam untuk tujuan ini di farmasi.

    Jika tidak berkesempatan, anda boleh membuat air saline anda sendiri di rumah.

    Caranya ialah:

    1. Campurkan 1 sudu kecil garam dalam dua cawan air suam yang bertapis.
    2. Kacau sehingga garam larut.
    3. Ambil picagari mentol (bulb syringe) yang berbentuk seperti penyedut hingus kanak-kanak dan sedut air saline.
    4. Kemudian, picit air saline memasuki satu lubang hidung dan biarkan ia keluar sendiri melalui lubang hidung satu lagi atau melalui mulut. 
    5. Hembuskan hingus yang keluar. Ulang proses yang sama pada lubang hidung kedua.
    6. Lakukan proses ini dua kali sehari sehinggalah simptom berkurangan.

    #3. Minum teh kunyit

    petua hilangkan bersin selsema

    Kunyit mempunyai sifat antioksidan dan antiradang, selain boleh meningkatkan imun badan.

    Sifat-sifat seperti ini menjadikan ia sangat bermanfaat dan bertindak sebagai ubat selsema dalam mengawal simptom rinitis alahan seperti bersin, selesema, hidung tersumbat dan juga batuk.

    Antara kaedah yang boleh anda amalkan adalah dengan meletakkan lebih banyak kunyit dalam hidangan harian anda.

    Selain itu, anda juga boleh membuat teh kunyit anda sendiri dengan cara merebus hirisan kunyit dan ditambah dengan sedikit madu.

    Walaupun kunyit telah lama digunakan sebagai petua hilangkan bersin selsema, namun masih kurang kajian saintifik yang mengesahkan cara dan manfaat kunyit secara khusus dalam merawat rinitis.  

    #4. Petua hilangkan bersin selsema: Cuba sedut wap panas

    Penyedutan wap panas boleh membantu mencairkan dan melonggarkan lebihan lendir dalam saluran hidung anda.

    Dengan itu, lendiran tersebut lebih mudah untuk dikeluarkan.

    Kaedah ini amat berguna untuk melegakan gejala rinitis alahan seperti hidung tersumbat, sakit tekak, hidung berair, sakit muka, gatal hidung, kerengsaan mata atau mata berair, dan juga bersin.

    petua hilangkan bersin selsema

    Caranya ialah: 

    1. Panaskan air sehingga mendidih dan tuang dalam mangkuk atau besen.
    2. Masukkan beberapa titisan minyak pati (jika ada). 
    3. Ambil tuala dan letakkan di bahagian belakang kepala anda. 
    4. Tundukkan wajah anda menghadap wap air tersebut dan sedut wap sekurang-kurangnya 5 hingga 10 minit.
    5. Setelah itu, cuba hembuskan hidung untuk mengeluarkan lendir. 
    6. Ulang proses ini beberapa kali sehari sehingga simptom semakin pulih. 

    Kesimpulan

    Rinitis alahan boleh berlaku sebaik sahaja tubuh badan anda menyentuh benda yang boleh menyebabkan tindak balas alahan pada hidung.

    Oleh itu, jika anda kerap mengalaminya, cuba lakukan salah satu daripada empat petua hilangkan bersin selsema di atas ini.

    Selamat mencuba ya!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/12/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan