Tiada tanda atau gejala yang dapat mendiagnosis jangkitan HIV, hanya ujian HIV yang boleh mengesahkan keputusannya. Pun begitu, kemunculan simptom tertentu kadangkala menjadi indikasi kepada jangkitan virus, terutamanya jika muncul tanda HIV pada kulit, seperti ruam!
Tahukah anda, ruam boleh menjadi tanda tanda awal HIV? Tetapi, HIV juga berupaya meningkatkan risiko terdedah kepada pelbagai jenis ruam.
HIV menular dari seorang ke orang lain apabila berlaku kontak cairan tubuh antara satu sama lain. Ini termasuklah darah, air mani, cairan dari rektum, faraj, dan susu ibu.
Pendedahan kepada HIV juga boleh berlaku jika seseorang melakukan hubungan seks atau berkongsi jarum dengan individu yang memiliki virus.
Tanda awal HIV pada kulit, iaitu ruam adalah fokus kupasan kali ini. Jika anda berminat untuk tahu dengan lebih lanjut, teruskan pembacaan!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Seksual, sila dapatkannya di sini.
Ruam, tanda HIV pada kulit
Ruam HIV merupakan keadaan kulit yang meradang, menjejaskan mereka yang mempunyai virus. Ia boleh memicu rasa gatal, kemerahan atau bahkan, menyakitkan!
Majoriti penghidap HIV membentuk ruam pada suatu ketika. Ia juga adalah antara tanda tanda awal HIV yang biasa berlaku pada peringkat awal (akut) atau tahap jangkitan virus selanjutnya.
Bagi kebanyakan orang, simptom ini mungkin merupakan salah satu tanda jangkitan yang pertama.
Simptom yang mungkin muncul seiring ruam HIV
Ruam boleh menjadi tanda tanda awal HIV, yang terbentuk akibat seroconversion.
Untuk makluman, fasa ini adalah akut/peringkat awal HIV, yang berlaku dalam tempoh 1 ke 2 minggu pasca dijangkiti virus.
Semasa dalam fasa seroconversion atau HIV akut, tubuh akan menghasilkan antibodi terhadap virus ini.
Antara separuh dan 80 ke 90% penghidap HIV mengalami simptom seakan selesema pada tahap ini, beberapa individu pula mungkin membentuk ruam.
Kadangkala, ruam menjadi satu-satunya gejala HIV. Namun disebabkan HIV mempengaruhi sistem imunisasi tubuh, simptom lain juga cenderung muncul.
Antara gejala lain yang dimaksudkan, merangkumi:
- Sakit otot
- Menggigil
- Demam
- Kelesuan
- Ulser mulut
- Berpeluh di waktu malam
- Sakit tekak
- Tidak sedap badan
- Kelenjar limfa membengkak
Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), simptom ini mungkin muncul dalam tempoh 2 hingga 4 pasca pendedahan dan berlangsung antara beberapa hari ke beberapa minggu.
Jenis-jenis & punca di sebaliknya
Jika ruam terbentuk sebagai tanda HIV pada kulit tahap akut, ia biasanya akan menghilang kerana sistem imun badan menghasilkan antibodi terhadap virus tersebut.
Namun, sekiranya pesakit tidak mengambil ubat untuk mengawal HIV, mereka mungkin memiliki risiko lebih tinggi untuk membentuk lebih banyak ruam dan masalah kulit!
Apabila sistem imunisasi tubuh terganggu, virus, kulat, bakteria, parasit, dan lain-lain lebih mudah memicu pembentukan ruam.
Kondisi yang mungkin muncul bersama tanda HIV pada kulit termasuklah:
- Selulitis
- Intertrigo
- Psoriasis
- Reaksi ubat
- Kudis
- Ekzema
- Dermatitis
- Dermatitis seborrheic
- Bullous impetigo
- Molluscum ecthyma
- Furuncles dan carbuncles
- Verrucae, ketuat dan papula
- Kanser kulit bukan melanoma
Bagaimana tanda HIV pada kulit ini dirawat?
Dengan menjalani ujian dan rawatan awal, pembentukan tanda HIV pada kulit ini dapat dihentikan secara berkesan!
Selain itu, rawatan awal untuk ruam juga dapat bantu mencegah potensi komplikasi.
Ujian
Sesiapa yang mengalami simptom ruam atau selesema harus mendapatkan nasihat perubatan jika disyaki terdedah dengan individu positif HIV secara langsung.
Para doktor akan menjalankan ujian HIV. Jika hasilnya ternyata positif, doktor akan bantu anda merangka rancangan rawatan yang akan membolehkan kalian kekal sihat.
Dengan kepelbagaian ubat-ubatan moden, tidak mustahil virus di dalam tubuh dapat dikurangkan ke paras yang tidak dapat dikesan! Hebat bukan?
Bergantung kepada pemicunya, ubat-ubatan bebas seperti krim hidrokortison atau diphenhydramine bantu mengurangkan kegatalan dan ruam.
Ruam yang lebih serius pula mungkin bakal memerlukan ubat preskripsi daripada doktor.
Di samping itu, risiko penyakit dan jangkitan turut menurun, membuatkan anda tidak lagi berupaya menyebarkan virus HIV kepada individu lain.
Dalam bahasa mudah, apabila virus ini tidak lagi dapat dikesan di dalam badan pesakit, ia tidak akan menular!
Baca juga: