backup og meta

Kenali 10 Jenis Ruam Kulit Lazim Berlaku Kepada Pesakit Diabetes, Semak Di Sini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 20/09/2022

    Kenali 10 Jenis Ruam Kulit Lazim Berlaku Kepada Pesakit Diabetes, Semak Di Sini!

    Pesakit diabetes amat mudah untuk mengalami komplikasi ruam kulit dan kebanyakannya tidak disedari di peringkat awal. Ruam diabetes ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan jenis. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai ruam pada kulit dewasa penghidap diabetes, teruskan pembacaan anda menerusi artikel ini. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kencing Manis, anda boleh klik di sini.

    Apakah yang dimaksudkan dengan ruam diabetes?

    Apabila anda menghidap diabetes, ia boleh menjejaskan pelbagai bahagian tubuh badan, termasuklah pada kulit anda.

    Dianggarkan satu dalam setiap tiga orang yang menghidap diabetes (jenis 1 atau jenis 2) akan mengalami ruam kulit atau masalah kulit lain pada satu-satu masa.

    Apabila anda menghidap diabetes, peluang anda untuk mengalami kulit kering dan gatal adalah lebih tinggi daripada seseorang yang tidak mempunyai penyakit ini.

    Selain itu, anda juga lebih cenderung untuk mendapat penyakit-penyakit ruam pada kulit dewasa lain yang berkaitan dengan penyakit diabetes.

    Apakah punca yang menyebabkan ruam diabetes ini?

    Bagi individu yang tidak menghidap diabetes, ruam pada kulit dewasa mungkin merupakan tanda pertama gula darah anda tinggi (hiperglisemia) atau pradiabetes.

    Doktor boleh membantu anda mengambil langkah seterusnya untuk mencegah diabetes.

    Namun, jika anda mengambil ubat untuk rawatan diabetes, ruam pada kulit dewasa yang berlaku mungkin menunjukkan bahawa anda perlu mengubah suai kaedah rawatan untuk menurunkan paras gula (glukosa) dalam darah anda.

    ruam diabetes

    Beberapa ruam lain yang berlaku juga boleh berpunca daripada pengurangan aliran darah ke bahagian kaki dan tangan anda.

    Jenis-jenis ruam kulit yang boleh berlaku kepada penghidap diabetes

    Ruam diabetes yang berlaku pada kulit anda boleh kelihatan berbeza-beza, bergantung kepada jenis dan puncanya.

    Ada sesetengah ruam pada kulit dewasa hanya berlaku kepada penghidap diabetes dan ia akan menghilang apabila gula darah anda kembali terkawal.

    Antara jenis-jenis ruam diabetes yang biasa berlaku ialah: 

    #1. Dermopati berkaitan diabetes

    Jika anda mengalami keadaan ini, akan wujud tompok bersisik yang berbentuk bulat dan berwarna coklat terang yang berlaku pada kawasan tulang kering kaki.

    Tompok-tompok seperti ini tidaklah berbahaya dan ia tidak memerlukan rawatan khas. 

    #2. Lepuh (bullosis diabeticorum)

    Kelepuhan yang tidak menyakitkan ini mungkin akan berlaku pada kawasan belakang tangan dan juga kaki. Ia juga boleh muncul pada bahagian betis dan juga lengan.

    Keadaan ruam yang agak jarang berlaku ini biasa muncul dalam kalangan mereka yang mempunyai masalah neuropati berkaitan diabetes

    #3. Necrobiosis lipoidica diabeticorum (NLD)

    Ruam diabetes ini biasa berlaku pada bahagian kaki bawah dan ia lebih kerap terjadi kepada golongan wanita.

    Jika anda mengalami NLD, akan muncul tompok berkilat berwarna merah dan sedikit benjol dengan bahagian tengah yang berwarna kuning.

    Saluran darah juga mungkin akan lebih kelihatan di sekitar tompok tersebut. Ruam ini mungkin akan menyebabkan rasa gatal dan juga sakit. 

    #4. Sklerosis digital

    ruam diabetes

    Mereka yang mempunyai diabetes jenis 1 mungkin akan mengalami kulit dengan tekstur berlilin, keras dan tebal pada bahagian belakang tangan.

    Sendi jari juga berasa agak kaku atau tegang dan menyebabkannya sukar untuk digerakkan. 

    #5. Sindrom kaki diabetes

    Ulser akan mula terbentuk disebabkan trauma atau kecederaan yang berlaku pada kulit.

    Ulser yang anda alami ini mungkin akan mengambil masa yang panjang untuk sembuh dan terdapat peningkatan risiko untuk jangkitan berlaku pada ulser tersebut.

    #6. Tag kulit (skin tags)

    Tag kulit merupakan sejenis benjolan kecil yang berwarna kecoklatan pada kulit anda. Ia sering berlaku pada kelopak mata, leher, ketiak dan juga di kawasan pangkal paha.

    Ia biasanya tidak mempunyai sebarang simptom dan tiada rawatan khusus diperlukan untuk merawatnya. 

    #7. Acanthosis nigricans (AN)

    Keadaan ini menyebabkan jalur kulit berwarna gelap. Ia biasa berlaku kepada individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti.

    Acanthosis nigricans boleh menjadi tanda amaran gula darah yang tinggi atau pradiabetes. 

    #8. Kulit vitiligo

    Mereka yang menghidap diabetes jenis 1 lebih cenderung untuk mengalami keadaan ini. Ia menyebabkan pigmen kulit memudar atau hilang.

    Ia kemudiannya akan menyebabkan tompok cerah atau berwarna keputihan pada kulit.

    Antara rawatan yang digunakan bagi keadaan ini adalah melalui penggunaan krim kortikosteroid, rawatan laser dan terapi cahaya. 

    #9. Anular granuloma (granuloma annulare)

    ruam diabetes

    Ruam diabetes ini biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan belia. Bagi penghidap diabetes, keadaan ini akan menyebabkan pembentukan tompok seperti gegelang pada kawasan jari, tangan, kaki dan juga telinga.

    Ia berwarna kemerahan dan juga kecoklatan. Keadaan ini tidaklah menyakitkan namun ia mungkin menyebabkan rasa gatal. Biasanya ia akan sembuh dengan sendirinya.

    #10. Xanthomatosis letusan (eruptive xanthomatosis)

    Ruam ini berbentuk benjolan yang bersaiz seperti kacang pis. Ia mempunyai tekstur yang lembut, berwarna kuning dan biasanya menyebabkan kegatalan.

    Ia biasa berlaku pada bahagian belakang tangan, kaki, lengan, betis dan juga punggung.

    Dalam kalangan penghidap diabetes jenis 1, ia biasa berlaku pada mereka yang mempunyai paras kolesterol tinggi. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 20/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan