backup og meta

Atasi Masalah Perut Selalu Kembung Dengan 7 Cara Ini, Berkesan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 14/06/2023

    Atasi Masalah Perut Selalu Kembung Dengan 7 Cara Ini, Berkesan!

    Masalah perut selalu kembung dan masuk angin bukanlah sesuatu yang asing untuk kita.

    Benar, kondisi ini boleh membuatkan kita rasa malu dan tidak selesa. Tetapi, itu bukan bermaksud masalah ini tidak ada penawarnya!

    Sebenarnya, 10% hingga 20% orang dewasa mempunyai masalah perut selalu kembung. Malah, mereka sering mengaitkan masalah ini dengan simptom seperti sendawa dan buang angin yang berlebihan.

    Jika anda kerap mengalami perut kembung, besar kemungkinan anda merupakan seorang yang sihat dan tidak mempunyai sebarang masalah pencernaan.

    Walau bagaimanapun, anda mungkin perlu melakukan beberapa pengubahsuaian dari segi diet dan gaya hidup untuk mengurangkan angin yang keluar daripada badan.

    Di bawah, kami senaraikan 7 cara untuk mengurangkan masalah perut selalu kembung:

    1. Jangan makan terlalu banyak

    perut selalu kembung

    Kadangkala, masalah kembung perut yang dialami bukannya berlaku disebabkan gas. Tetapi, ia terjadi disebabkan makan terlalu banyak!

    Untuk pengetahuan anda, ada individu yang kerap mengalami ketidakselesaan yang seakan-akan kembung perut setelah makan dengan banyak. Jika ini yang berlaku, cuba kecilkan saiz hidangan.

    Jika anda risau akan rasa lapar, anda boleh makan lagi nanti tetapi pastikan saiz hidangannya juga kecil.

    Selain itu, cuba makan dan minum secara perlahan-lahan. Jangan terlalu gopoh semasa makan kerana anda akan menelan banyak angin secara tidak sengaja.

    Perkara ini juga boleh menyebabkan perut anda masuk angin tanpa sedar!

    2. Perut selalu kembung disebabkan intoleransi makanan

    Kembung perut juga boleh berlaku jika anda mempunyai alahan atau intoleransi terhadap makanan tertentu. Walau bagaimanapun, perkara ini perlulah diperiksa oleh doktor.

    Jika anda mengesyaki diri anda mempunyai alahan atau intoleransi makanan, jangan sesekali bertindak membuang makanan tersebut daripada diet anda. Pastikan anda berjumpa dengan doktor terlebih dahulu untuk mengesahkannya.

    Ada beberapa makanan yang boleh menyebabkan individu yang mengalami alahan atau inteloransi untuk mendapat kembung perut.

    Sebagai contoh, makanan seperti telur, susu dan gandum merupakan antara makanan yang selalu menjadi punca alahan.

    3. Elakkan menelan angin dan gas

    Sebenarnya, ada dua cara udara boleh masuk ke dalam sistem pencernaan kita. Cara yang pertama adalah melalui penghasilan gas oleh bakteria di dalam perut.

    Cara kedua pula disebabkan oleh minuman berkarbonat seperti soda yang boleh menyebabkan perut anda masuk angin. 

    Gas karbon dioksida yang terkandung di dalam minuman ini akan dilepaskan secara perlahan-lahan di dalam perut dan menyebabkan anda mengalami kembung perut. 

    Sama jugalah jika anda seorang yang suka mengunyah chewing gum. Apabila anda mengunyah chewing gum, anda akan menelan banyak angin. Angin inilah yang akan membuatkan perut anda rasa tidak selesa.

    4. Elakkan sembelit untuk kurangkan perut selalu kembung

    Cuba perhatikan pola diet anda setiap hari. Adakah anda kurang makan serat dan minum air? Semua ini boleh menyebabkan anda mengalami sembelit yang akan membuatkan perut anda rasa kembung.

    Untuk mengelakkan perut anda masuk angin, pastikan anda mengambil serat yang mencukupi setiap hari. Makan makanan seperti sayur-sayuran, kekacang dan buah-buahan sebagai sumber serat yang sihat setiap hari.

    Selain itu, untuk mengelakkan sembelit,anda juga perlu bersenam sekurang-kurangnya 30 minit, 5 kali seminggu.

    5. Jangan tertipu dengan minuman bebas gula

    perut selalu kembung

    Minuman bebas gula atau sugar free drinks mengandungi gula alkohol seperti xylitol, sorbitol atau mannitol sebagai pengganti.

    Walau bagaimanapun, gula ini boleh mencetuskan masalah jika ia diambil dalam kuantiti yang banyak.

    Elakkan mengambil terlalu banyak makanan yang mengandungi gula tiruan. Sebagai contoh, gula alkohol banyak digunakan di dalam minuman berkarbonat dan gula getah.

    6. Kurangkan garam untuk elak perut masuk angin

    Makanan yang diproses mempunyai banyak garam dan rendah kandungan serat. Kedua-dua perkara ini boleh menyebabkan anda mengalami masalah perut kembung. 

    Jika anda rasa garam merupakan punca kembung perut yang dialami, cuba biasakan membaca label makanan. Ketika memilih makanan yang diproses, elakkan membeli makanan yang mempunyai 500 mg garam dalam satu hidangan.

    Lebih baik jika anda boleh mencari makanan yang bebas garam atau rendah garam.

    7. Berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut

    perut selalu kembung

    Kadangkala, masalah perut selalu kembung atau masuk angin merupakan simptom penyakit yang lebih teruk. Jika anda kerap alami kembung perut, berjumpalah doktor untuk sesi konsultasi.

    Perhatikan simptom seperti cirit-birit, sakit perut, tinja berdarah, pengurangan berat badan yang abnormal dan tidak lalu makan. Semua simptom ini merupakan tanda masalah pencernaan.

    Walau bagaimanapun, masalah ini selalunya bukan disebabkan oleh penyakit kronik. Dengan mengubah diet anda, selalunya masalah kembung perut dapat diatasi.

    Perut selalu kembung mungkin simptom penyakit lain

    Rasa kembung perut selalunya akan hilang dengan sendiri atau dengan cara melakukan perubahan yang mudah di dalam diet. 

    Tetapi, jika anda terlalu kerap mengalami masalah ini, pastikan anda berjumpa doktor dengan kadar yang segera.

    Kami faham, masalah kembung perut membuatkan ramai rasa malu dan rendah diri. Tetapi, itu bukan bermaksud anda perlu berhenti mendapatkan rawatan!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 14/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan