backup og meta

Lepas Makan Sesuatu Muncul Ruam Alahan, Alamak Ini Punca Tak Belek Label Makanan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 01/08/2023

    Lepas Makan Sesuatu Muncul Ruam Alahan, Alamak Ini Punca Tak Belek Label Makanan!

    Bagi mereka yang ada alahan makanan, membaca senarai ramuan merupakan satu teknik yang amat penting untuk mengelakkan diri atau orang tersayang daripada diserang tindak balas alergi.

    Malah, ramai individu yang menghidap alergi sebenarnya mengawal reaksi alergi mereka setiap hari dengan cara mengelakkan pengambilan makanan tertentu.

    Jika mereka tidak boleh minum susu, mereka akan elakkan terus sebarang produk yang mengandungi susu. Sama jugalah dengan individu yang mempunyai alahan terhadap makanan lain.

    Selalunya, inilah cara yang paling mudah yang boleh dilakukan untuk melindungi diri daripada alahan yang dialami.

    Walau bagaimanapun, ia tidaklah semudah yang disangka. Dengan lambakan makanan yang tersedia di depan mata, sukar untuk mereka yang menghidap alergi untuk mengenal pasti produk yang selamat untuk dimakan.

    Mungkin bagi kebanyakan individu, senarai ramuan hanyalah tempat untuk memeriksa kandungan karbohidrat, protein, garam dan kalori semata-mata.
    Tetapi, untuk mereka yang menghidap alahan makanan, senarai ramuan dan label amaran merupakan perkara yang paling penting dan perlu diberi perhatian.

    Walau bagaimanapun, kadangkala ada bahan yang ditulis dengan nama lain di belakang kotak makanan. Malah, ada juga alergen yang ‘tersorok’ yang akan membuatkan hidup penghidap alergi jadi makin sukar.

    Jadi, bagaimana hendak pastikan makanan yang dibeli itu selamat dan tidak akan mencetuskan sebarang reaksi alergi?

    Baca lebih lanjut tentang Alahan di sini.

    Baca senarai ramuan elak alahan makanan

    alahan makanan

    Walaupun aktiviti ini agak membosankan dan mungkin mengambil masa yang lama, penting untuk anda, ibu bapa, ataupun penjaga memeriksa senarai ramuan setiap kali membeli makanan, walaupun ia merupakan makanan yang sering dibeli.

    Kadangkala, pengilang makanan akan mengubah resepi makanan tanpa menukar label atau bungkusan mereka.

    Oleh sebab itu, pastikan anda sentiasa peka, lebih-lebih lagi jika produk tersebut sering menukar bungkusan mereka mengikut perayaan atau peristiwa tertentu.

    Elakkan membeli sebarang makanan yang tidak mempunyai senarai ramuan. Jika anda atau ahli keluarga mempunyai tanda alergi makanan tertentu, jauhkan diri daripada membeli barang secara pukal.

    Mungkin sukar untuk mengenal pasti alergen di dalam senarai ramuan lebih-lebih lagi jika ia bersembunyi di sebalik nama teknikal.

    Sebagai contoh, pengilang makanan boleh menggunakan nama seperti sodium caseinate dan bukannya susu atau casein pada produk mereka. 

    Walau bagaimanapun, terdapat satu undang-undang yang dikenali sebagai FALCPA (Food Allergen Labeling Consumer Protection Act 2004) yang mewajibkan pengilang makanan untuk menyenaraikan 8 jenis alergen utama punca alahan makanan iaitu:

    1. Susu
    2. Telur
    3. Ikan
    4. Kerang-kerangan (ketam, udang, lobster)
    5. Kekacang (almond, walnut, hazel)
    6. Kacang tanah
    7. Gandum
    8. Kacang soya

    Baca juga:

    Oleh sebab itu, di belakang kebanyakan produk, alergen-alergen di atas akan ditulis dengan nama biasanya (common name) dan bukannya nama teknikal.

    Tapi, kadangkala, pengilang makanan juga bijak ‘menyembunyikan’ bahan-bahan ini pada pembungkusan mereka.

    Jadi, mari ikuti cara yang terbaik untuk baca senarai ramuan supaya anda tidak terlepas sebarang bahan yang boleh menyebabkan alergi.

    Apa yang perlu saya cari di dalam senarai ramuan elak alahan makanan?

    Jika pengilang makanan tersebut mengikut regulasi yang ditetapkan oleh FALCPA, anda boleh mengenal pasti bahan-bahan yang boleh menyebabkan alahan dengan 3 cara:

    1. Di dalam senarai ramuan dan menggunakan nama biasa alergen tersebut (contoh: telur, tepung gandum).
    2.  Dimulai dengan perkataan “mengandungi” dan diikuti dengan nama alergen (contoh: mengandungi susu, gandum).
    3. Di dalam senarai ramuan, tetapi disenaraikan sebagai nama lain (contoh: albumin (telur)).

    alahan makanan

    Jika makanan tersebut mengandungi makanan laut atau kekacang, ia perlu disenaraikan dengan jelas (contoh: almond, hazel, tuna, ketam).

    Selain itu, jika anda mempunyai alahan terhadap makanan yang disenaraikan dengan cara di atas, ia bermaksud makanan tersebut mengandungi alergen itu.

    Malah, jika pengilang mematuhi regulasi FALCPA, mereka perlu menyenaraikan alergen ini walaupun jumlahnya sedikit.

    Jangan lupa baca bahagian ‘mungkin mengandungi’!

    Anda juga mungkin perasan bahagian ‘mungkin mengandungi’ yang terdapat pada senarai ramuan. Walau bagaimanapun, pernyataan mungkin mengandungi ini tidak wajib dipaparkan oleh pengilang makanan.

    Selalunya, pernyataan ini akan digunakan jika makanan tersebut dikilangkan bersama-sama makanan lain yang turut memproses makanan yang mengandungi alergen seperti kacang atau susu.

    alahan makanan

    Sebagai contoh, alergen (kacang) yang digunakan sebagai bahan di dalam biskut cip coklat, mungkin akan menjadi sebahagian daripada produk lain seperti biskut kering yang dikilangkan oleh pengeluar yang sama.

    Oleh sebab itu, pengilang boleh memilih untuk meletakkan amaran ‘mungkin mengandungi’ pada pembungkusan makanan mereka sebagai langkah berjaga-jaga.

    Jika anda tidak pasti sama ada produk tersebut mengandungi alergen atau tidak, anda boleh menelefon atau menghantar email kepada syarikat produk makanan itu untuk mengetahui status produk mereka dengan lebih lanjut.

    Kesimpulan

    Jika anda mempunyai alahan makanan terhadap bahan tertentu, pastikan anda sentiasa periksa senarai ramuan yang tersedia pada pek pembungkusan.

    Pada masa yang sama, kenali produk yang mengandungi bahan yang boleh menyebabkan reaksi alahan dan cuba elakkan daripada membelinya pada masa hadapan. Sama jugalah dengan produk yang tidak mempunyai senarai ramuan.

    Selain itu, setiap negara mempunyai regulasi yang berbeza pada senarai makanan mereka. Oleh sebab itu, sentiasa berhati-hati ketika anda berada di negara lain.

    Jika anda mempunyai anak kecil yang juga menghidap alahan makanan, inilah masa yang terbaik untuk mengajar mereka cara untuk membaca senarai ramuan dengan betul!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 01/08/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan