backup og meta

Minum Teh Dipercayai Kurangkan Risiko Tulang Rentak, Malah Ada 7 Kebaikan Lain

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 15/06/2022

    Minum Teh Dipercayai Kurangkan Risiko Tulang Rentak, Malah Ada 7 Kebaikan Lain

    Minuman teh sememangnya popular dan sering menjadi pilihan sebagai minuman sarapan pagi di seluruh dunia selain daripada kopi. Tapi, benarkah minum teh boleh elak tulang retak?

    Oleh sebab minuman tersebut mengandungi pelbagai jenis mineral penting, ia boleh memberikan pelbagai jenis kebaikan kesihatan.

    Ada banyak jenis kajian terdahulu telah membuktikan manfaat yang boleh dinikmati bagi mereka yang gemar minum teh.

    Sebagai contoh, pada tahun 2002, kajian oleh Universiti Harvard telah menunjukkan pesakit jantung yang mengambil lebih daripada 14 cawan teh seminggu boleh menikmati kadar penurunan risiko kematian setinggi 39%.

    Perkara ini menunjukkan terdapat elemen atau bahan aktif lain yang berupaya menyebabkan kesan positif terhadap tahap kesihatan peminum.

    Kebaikan kesihatan minuman teh tidak terhad kepada sistem kardiovaskular sahaja.

    Kajian juga membuktikan bahawa pengambilan minuman teh boleh mempengaruhi ketumpatan tulang jika ia diambil secara kerap dalam satu tempoh masa yang panjang.

    Baca lebih lanjut tentang Tulang/Otot di sini.

    Minuman teh tingkatkan kekuatan tulang

    tulang retak

    Pada tahun 2002, Universiti Harvard telah menerbitkan satu kajian berkaitan dengan pengambilan minuman teh di Arkib Perubatan Dalaman.

    Kajian tersebut melibatkan 1,037 subjek lelaki dan wanita yang berusia 30 tahun dan ke atas.

    Definisi bagi peminum teh tegar adalah subjek yang minum teh sekali seminggu selama 6 bulan sebelum bermulanya tempoh kajian.

    Maklumat berkaitan direkodkan dan pengkaji mengukur nilai ketumpatan mineral tulang (BMD) pada tulang belakang, pinggul, leher dan ketumpatan tulang keseluruhan.

    Dapatan kajian adalah seperti berikut:

    1. Subjek peminum teh tegar melebihi 10 tahun mempunyai skor BMD yang paling tinggi.
    2. Subjek peminum teh tegar di antara 6 hingga 10 tahun turut mengalami peningkatan pada skor BMD berbanding dengan mereka yang jarang minum teh.
    3. Subjek peminum teh tegar di antara 1 hingga 5 tahun tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara pada bacaan BMD berbanding dengan mereka yang jarang minum teh.

    Faktor yang mempengaruhi nilai BMD hanyalah durasi dan corak pengambilan teh.

    Jenis teh tidak menunjukkan perbezaan yang signifikan pada nilai skor BMD yang diperolehi oleh subjek.

    Perkara ini boleh disebabkan oleh mineral di dalam teh itu sendiri seperti florida dan flavonoid yang bergerak bersama atau berasingan bagi memulihkan tahap ketumpatan tulang menyebabkan ia kekal kuat.

    Anda mungkin berminat:

    Penurunan risiko tulang retak dikaitkan dengan durasi pengambilan minuman teh

    tulang retak

    Pada tahun 2018, sekumpulan pengkaji di China telah menerbitkan satu kajian yang melihat kepada hubungan antara kekerapan mengambil minuman teh dan risiko tulang retak.

    Ia merupakan satu kajian berskala besar yang melibatkan 453,625 orang dewasa dan dijalankan di Universiti Peking.

    Penelitian terhadap rekod hospital menunjukkan mereka yang minum teh secara kerap untuk tempoh melebihi 30 tahun mempunyai risiko tulang retak yang rendah.

    Secara umumnya, jika dibandingkan dengan mereka yang tidak atau jarang minum teh, peminum teh tegar mempunyai risiko 12% lebih rendah untuk mendapat masalah tulang retak. 

    Bagi individu yang minum teh lebih daripada 30 tahun, mereka boleh menikmati penurunan risiko untuk mendapat tulang retak pinggul di antara 20 hingga 30%.

    Dapatan kajian ini secara langsung menyokong dapatan kajian sebelumnya termasuklah kajian yang pernah dijalankan oleh Universiti Harvard.

    Minuman teh sememangnya berupaya untuk menurunkan risiko tulang retak.

    Kebaikan minum teh selain baik untuk tulang

    tulang retak

    Kebaikan minum teh tidak terhenti pada kekuatan tulang semata-mata. 

    Oleh sebab teh mempunyai pelbagai jenis mineral penting, ia berupaya untuk memastikan kesihatan badan anda sentiasa berada pada tahap yang optimum.

    1. Teh mengandungi polifenol, molekul antioksida yang bertanggungjawab untuk menghindarkan kerosakan sel melalui pembasmian molekul radikal bebas.
    2. Terdapat kajian yang menunjukkan pengambilan teh boleh menurunkan tahap kolesterol LDL setinggi 11% bagi mereka yang mengalami peningkatan kolesterol.
    3. Polifenol berupaya untuk menggalakkan pertumbuhan bakteria baik di dalam usus.
    4. Mereka yang minum teh secara berkala mempunyai tekanan darah yang lebih terkawal.
    5. Kajian 10 tahun yang melibatkan 74,961 subjek menunjukkan pengambilan teh 4 cawan atau lebih dalam masa sehari boleh menurunkan risiko strok berbanding dengan mereka yang tidak minum teh.
    6. Teh berupaya untuk meningkatkan aktiviti insulin pada kadar 15 kali ganda berbanding dengan mereka yang tidak minum teh.
    7. Molekul antioksida polifenol berupaya untuk menghindarkan proses patologi kanser.

    Konklusi

    Kajian menunjukkan mereka yang kerap minum teh mempunyai tahap ketumpatan tulang (BMD) yang tinggi.

    Mineral yang terkandung di dalam minuman itu sendiri boleh memperkukuhkan struktur tulang di samping memberikan kebaikan lain seperti menggalakkan pertumbuhan bakteria baik, membasmi molekul radikal bebas dan sebagainya.

    Seeloknya, jika anda ingin memulakan rutin minum teh, cuba minum sekali dalam masa seminggu sebagai permulaan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 15/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan