Ya, kita semua akan menjadi tua satu hari nanti. Bagi sesetengah individu, mereka menggelarkannya sebagai usia emas. Tetapi benarkah orang mengatakan semakin tua semakin bahagia?
Semakin tua semakin bahagia
Mesti anda tertanya-tanya, apa maksudnya semakin tua semakin bahagia? Haa..itulah rahsia penuaan. Ia adalah mengenai perkara yang mungkin anda tidak sangka akan berlaku kepada anda.
1. Tiada individu perengus
Jika dahulu pantang ada individu yang melakukan kesilapan, pasti anda akan menjadi marah. Tetapi kini, ternyata penuaan mungkin akan mengubah diri anda.
Anda tidak akan lagi menjadi seorang individu lelaki mahupun wanita tua yang perengus (grumpy).
Pada usia emas, ketika berusia sekurang-kurangnya 60 tahun, anda akan menjadi individu yang lebih disenangi dan akan cenderung untuk kurang sifat amarah.
2. Hubungan baik
Apabila usia anda semakin meningkat dan mencecah lingkungan usia 40 tahun, anda akan menjadi lebih serasi dengan kebanyakan individu dalam hidup anda.
Anda akan lebih memikirkan tentang apa yang individu sekeliling anda rasa dan fikir untuk menjadikan kehidupan individu tersayang lebih mudah.
3. Seks yang lebih baik
Individu yang lebih berusia akan mengutamakan kualiti berbanding kuantiti berkaitan seks.
Dalam kajian ke atas individu wanita berusia 40 tahun dan ke atas, mendapati bahawa kepuasan seksual bertambah baik seiring dengan peningkatan usia.
4. Perubahan deria
Semakin meningkat usia anda, pengambilan ubatan, masalah kesihatan seperti selesema, flu, penyakit gusi dan penyakit lain serta alahan yang dialami mungkin akan mengubah deria rasa hidung dan bau anda.
Jika anda berasa memerlukan sesuatu untuk menaikkan deria anda, cubalah beberapa herba seperti rosemary dan thyme, bawang putih, bawang, lada, atau mustard serta minyak zaitun.
Tetapi pastikan anda tidak mengambil garam secara berlebihan, okay?
5. Perubahan hormon
Biasalah, pada usia emas, rambut pada bahagian kepala akan semakin menipis. Tetapi ia akan muncul pada tempat-tempat pelik, seperti pada bahagian hidung atau telinga.
Manakala bagi individu wanita, pertambahan usia pula akan menyebabkan munculnya rambut halus pada bahagian dagu. Jangan risau, ini semua disebabkan oleh perubahan hormon.
6. Bangun awal pagi
Individu yang berada dalam peringkat usia emas ini mudah bangun pada waktu pagi. Ia adalah antara kelebihan penuaan kepada badan. Pola kitaran waktu tidur akan mengalami perubahan selari dengan peningkatan usia.
Biasanya pada usia yang semakin meningkat ini, anda akan tidur awal kerana tiada lagi aktiviti melepak sambil minum bersama kawan-kawan ataupun menonton wayang lewat malam.
7. Selamat tinggal migrain
Bagi kebanyakan individu yang mengalami migrain, sebaik sahaja anda melangkah ke alam penuaan, migrain yang dialami mungkin akan hilang.
Hanya 10 peratus wanita dan 5 peratus lelaki yang berusia 65 tahun ke atas dikatakan masih mempunyai migrain. Namun, berita baiknya, migrain yang dialami tidak akan menyebabkan anda berasa sakit kepala.
Cuma migrain tersebut akan membuatkan anda berdepan dengan isu gangguan visual atau deria yang tidak menyebabkan sebarang kesakitan.
8. Bersara awal
Hakikatnya persaraan awal mungkin bukan perkara yang baik untuk kesihatan anda, melainkan anda mempunyai pekerjaan lain yang menyeronokkan untuk mengisi masa lapang anda.
Dalam satu kajian dipanggil Longevity Project mendapati, individu yang bekerja bersungguh-sungguh dalam pekerjaan yang mereka sukai dan nikmati akan hidup lebih lama.
Selain itu, mempunyai sahabat baik serta perkahwinan yang bahagia, sudah tentu menjadi antara faktor membantu memanjangkan usia.
9. Kebimbangan
Perkara yang paling menjadi kebimbangan apabila memasuki usia penuaan adalah jatuh.
Satu per tiga individu dewasa berusia 65 tahun ke atas mempunyai ketakutan untuk jatuh. Ini kerana jatuh cenderung menjadi punca utama kecederaan bagi warga emas.
10. Keyakinan diri
Selepas anda berusia 60 tahun, keyakinan dalam diri anda akan semakin meningkat.
Seiring peningkatan usia, kebanyakan individu akan mencari tujuan kehidupan yang lebih baik melibatkan perubahan gaya hidup seimbang.
11. Kurang tekanan
Individu dewasa lebih berusia dilaporkan kurang mengalami tekanan berbanding rakan-rakan sebaya yang lebih muda.
Namun itu tidak bermakna mereka langsung tidak mengalami tekanan terutamanya berkaitan masalah kesihatan dan kewangan.
12. Semakin comel
Pada usia emas, anda akan kelihatan comel kerana saiz yang semakin mengecil.
Ia berlaku kerana semakin lama anda hidup, semakin banyak graviti akan membawa anda ke bawah. Ruang antara tulang, dikenali sebagai vertebra akan semakin mendekat.
Ia akan membuatkan anda menjadi kurang seinci apabila anda semakin meningkat usia.
Akhir kata
Apabila semakin meningkat usia, anda disarankan untuk menjaga aspek pemakanan anda dengan merancang diet yang lebih sihat dan melakukan aktiviti fizikal secara berkala.
Hindari tabiat merokok serta pengambilan alkohol secara berlebihan kerana ia tidak mendatangkan sebarang kebaikan ke atas kesihatan anda.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
[embed-health-tool-bmi]