Anda tahu cara berbuka puasa yang betul supaya tidak terlebih makan? Kami kongsikan di sini beberapa makanan untuk berpuasa yang sangat mengenyangkan.
Salah cara berbuka puasa yang betul punca makan berlebihan
Antara punca kita sering makan dengan berlebihan ketika berbuka puasa adalah kerana pemilihan makanan yang salah.
Kita sering mengambil banyak makanan yang ringan tetapi tidak mengenyangkan perut.
Walhal, perut perlu mengambil sedikit masa untuk memberi isyarat kepada otak bahawa ia sudah kenyang.
Oleh sebab itu, kita berlebihan dalam pengambilan makanan sehingga menyebabkan kalori harian menjadi bertambah.
Hal ini pula secara tidak langsung meningkatkan berat badan anda walaupun semasa bulan Ramadan.
Untuk mengelakkan isu seperti ini, anda perlu mengikuti cara berbuka puasa yang betul.
Salah satu cara berbuka puasa yang betul adalah melalui pemilihan jenis makanan yang cepat mengenyangkan perut.
Cara berbuka puasa yang betul: Ini resepi untuk panduan anda
Kami kongsikan beberapa resepi sebagai inspirasi untuk anda menyediakan makanan untuk berpuasa yang mengenyangkan.
#1. Nasi jagung
Nasi jagung mungkin tidak begitu popular di Malaysia, namun ia adalah antara jenis makanan yang sering dimakan oleh penduduk di Indonesia.
Secara umumnya, nasi jagung ialah sejenis resepi nasi yang dimasak bersama jagung.
Di Malaysia, kita lebih banyak menggunakan butir jagung segar.
Manakala di Indonesia pula, resepinya banyak menggunakan jagung kering yang ditumbuk halus sebelum dimasak.
Selain itu, jagung juga mempunyai kandungan zat besi yang sememangnya baik untuk penghasilan darah.
#2. Kentang lenyek atau mashed potato
Kentang lenyek juga dikenali dengan nama kentang putar. Ia merupakan sejenis hidangan barat yang banyak disajikan di restoran-restoran yang menghidangkan makanan barat.
Kentang lenyek adalah antara jenis makanan pengganti nasi yang sangat mengenyangkan.
Kentang lenyek boleh dicampurkan dengan susu segar, sedikit garam, serta parutan keju bagi menjadikan ia lebih enak dan lengkap dengan nutrisi.
Namun, kawal pengambilan kentang ini kerana kentang adalah jenis makanan yang tinggi kalori.
#3. Sup makaroni juga sesuai jadi makanan untuk berpuasa
Makaroni ialah sejenis pasta yang berbentuk seperti sesiku ‘L’ dan mempunyai lubang di bahagian tengahnya.
Makaroni juga ialah sejenis hidangan pengganti nasi yang sangat mengenyangkan.
Makaroni adalah antara jenis makanan yang mempunyai nilai indeks glisemik (GI) yang rendah.
Ini boleh membuatkan perut kita berasa kenyang dengan lebih lama.
Selain itu, nilai GI yang rendah bermaksud kadar penyerapan glukosanya ke dalam aliran darah menjadi lebih perlahan.
Oleh itu, ia adalah alternatif pengganti nasi yang amat sesuai bagi penghidap diabetes.
Bagi mendapatkan hidangan sup makaroni yang enak dan berkhasiat, tambahkan sumber protein seperti ayam tanpa lemak dan ikan ke dalam sup anda.
Jangan lupa juga untuk tambahkan potongan sayur-sayuran agar ia lebih berkhasiat dan mengenyangkan.
#4. Gado-gado atau rojak sayuran
Konsep gado-gado adalah mirip dengan konsep penyediaan rojak di negara kita.
Secara umumnya, gado-gado atau rojak mengandungi beberapa jenis sayuran seperti kacang panjang, timun, taugeh dan tomato.
Ia juga mengandungi sumber protein seperti telur, tempe, tauhu dan juga ayam.
Kemudiannya, ia digaulkan bersama dengan sedikit kuah seperti kuah kacang untuk menjadikannya lebih enak.
Gado-gado atau rojak merupakan antara makanan berbuka puasa yang sihat dan enak yang boleh anda cuba di rumah.
Malah, proses penyediaannya juga tidaklah serumit makanan atau lauk-lauk lain.
#5. Oatmil jadi pengganti nasi sebagai makanan untuk berpuasa
Oatmil adalah antara jenis bijirin yang sangat menyihatkan jika dibandingkan dengan jenis bijirin lain.
Ia sangat terkenal dengan khasiatnya terhadap kesihatan jantung.
Jika dibandingkan dengan jenis bijirin lain, oatmil adalah lebih mengenyangkan dan boleh membuatkan perut kita berasa kenyang dalam tempoh yang lebih panjang.
Selain itu, oatmil juga tinggi dengan kandungan serat yang sangat baik untuk kesihatan usus anda.
Bukan itu sahaja, oatmil juga boleh membantu anda untuk cepat kurus semasa Ramadan ini.
Bagi menjadikan hidangan oatmil lebih enak, campurkannya dengan yogurt dan potongan buah-buahan segar.
Elakkan tambahan gula agar ia kekal menjadi hidangan yang menyihatkan.
[health_tool_article id=”60419″]
Kawal pemakanan semasa bulan Ramadan
Bulan Ramadan adalah bulan di mana kita mensyukuri segala nikmat rezeki yang kita peroleh setiap hari.
Oleh itu, kita dituntut untuk mengamalkan konsep kesederhanaan termasuklah dalam soal pemakanan.
Bersederhana dalam pemakanan boleh membantu anda mengawal nafsu makan selain memberikan banyak faedah kesihatan kepada tubuh.
Amalkan cara berbuka puasa yang betul ini agar anda boleh menjalani ibadah puasa dengan keadaan yang lebih baik.
[embed-health-tool-bmi]