Mungkin anda pernah mendengar pelbagai saranan dan petua orang tua berkaitan pemakanan terutama sekali berkenaan makanan berpantang. Contohnya, jangan minum ais ketika pantang, nanti rahim kembang.
Atau mungkin juga petua-petua lain seperti:
“Jangan minum banyak air kalau tak nak urat jadi kembang”
“Kalau tak nak kejang otot, jangan makan buah sejuk”
“Makan makanan berpantang, kalau tidak badan cepat sakit-sakit”
“Jangan makan telur nanti jadi bisa”
Antara petua yang paling terkenal dan mendapat perhatian ramai ialah minum ais boleh menyebabkan rahim kembang.
Adakah benar wanita tidak boleh minum ais ketika pantang?
Ini jawapan berkenaan kesan minum ais ketika pantang dan kesan ais kepada tubuh.
#1 Minum ais ketika pantang tidak sebabkan rahim kembang
Mengikut petua orang lama-lama, wanita selepas bersalin tidak boleh minum ais ketika pantang.
Ini kerana dikatakan rahim wanita selepas bersalin akan menjadi kembang jika tidak mengikut petua makanan berpantang ini.
Namun, menurut pengamal perubatan, Dr. Rusyainie Ramli, minuman berais sama sekali tidak boleh menyebabkan rahim wanita kembang. Jadi, mereka boleh minum ais jika mahu.
Katanya, rahim wanita hanya akan kembang apabila seseorang wanita itu hamil sahaja. Jika seseorang wanita itu tidak mengandung, maka rahimnya tidak akan kembang.
#2 Kemaluan becak sebab minum ais? Lucunya!
Selain itu, Dr. Rusyainie turut mendedahkan terdapatnya kepercayaan yang mengatakan ais boleh membuatkan kemaluan wanita menjadi berair atau becak.
Ujarnya, minum ais sama sekali tidak akan menyebabkan kemaluan menjadi becak memandangkan air batu ini diambil melalui mulut dan bukannya saluran-saluran lain pada tubuh.
#3 Mitos perut buncit berpunca daripada minum ais
Selain itu, terdapat juga kepercayaan yang menyatakan air batu boleh menyebabkan perut buncit.
Menurut Dr. Rusyainie, apabila air batu yang diminum itu memasuki saluran pencernaan, suhu air akan terus berubah mengikut suhu badan kita.
Kemudiannya, air yang diminum itu akan diserap ke dalam darah sistem badan melalui usus. Lokasi tubuh yang buncit adalah di bahagian abdomen, yang sebenarnya merupakan lapisan lemak.
Punca lemak yang terbentuk di abdomen adalah disebabkan oleh pemakanan yang tidak sihat dan tidak seimbang, bukannya disebabkan oleh air batu.
Sementara itu, Dr. Aimi Rahayu Abdul Rashid, seorang Pegawai Perubatan Kehamilan dan Sakit Puan berkata, tiada bukti kajian saintifik dalam bidang perubatan yang menunjukkan ais boleh menyebabkan perut menjadi buncit.
Hujah yang diberikan oleh Dr. Aimi juga adalah sama, suhu minuman yang ada air batu yang kita minum secara automatiknya akan berubah mengikut suhu normal badan manusia iaitu 37 darjah celcius.
Katanya lagi, minuman berkalori tinggi seperti minuman bergula atau berkarbonat menjadi punca seseorang itu memiliki perut yang buncit.
Ia bukanlah disebabkan oleh pengambilan minuman sejuk.
#4 Haid berketul-ketul disebabkan air batu?
Ada lagi mitos berkenaan ais yang sering digembar-gemburkan. Kali ini berkaitan dengan darah haid.
Ada yang mengatakan darah haid yang keluar menjadi berketul-ketul adalah disebabkan oleh pengambilan minuman berais.
Menurut Dr. Rusyainie, darah haid wanita yang keluar adalah disebabkan oleh sel dinding rahim yang luruh.
Dalam kandungan darah haid tersebut terdapatnya darah serta tisu yang keluar melalui faraj wanita.
Pembekuan darah bertujuan menghentikan pendarahan pada tubuh manusia daripada terus berlaku.
Oleh sebab itu darah haid boleh menjadi berketul-ketul.
#5 Ais sebabkan faraj menjadi longgar?
Ada juga yang mengatakan jika seseorang wanita itu kerap meminum ais, maka faraj mereka akan menjadi longgar. Adakah benar?
Ia jelas sekali merupakan satu lagi dakwaan yang salah.
Menurut Dr. Rusyainie, ia adalah salah satu penipuan yang kerap dijaja oleh penjual produk kecantikan, produk kesihatan wanita serta produk jamu.
Tujuan mereka adalah untuk menimbulkan rasa resah dan bimbang pada wanita yang seterusnya mendorong mereka untuk membeli produk yang dijual oleh mereka.
Dr. Rusyainie menggalakkan wanita untuk kerap melakukan senaman Kegel.
#6 Ais buatkan anda jadi cepat tua?
Ais sama sekali tidak membuatkan diri anda menjadi cepat tua.
Kesihatan seseorang itu boleh terjejas bukanlah dengan sebab pengambilan minuman berais, tetapi disebabkan oleh beberapa faktor seperti:
- Pengambilan makanan yang tidak seimbang
- Mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes
- Malas bersenam
- Mempunyai emosi yang tidak stabil
- Menghisap rokok
Jadi minum minuman berais ada manfaatnya juga?
Minuman berais ada pro dan kontranya yang tersendiri.
Antara manfaat minuman sejuk ialah dapat menyejukkan tubuh badan terutamanya ketika bersenam atau melakukan aktiviti fizikal.
Ia membantu tubuh daripada menjadi terlampau panas dan menjadikan senaman anda lebih berkesan.
Air kosong yang sejuk juga boleh berperanan sebagai minuman alternatif bagi minuman bergula.
Ia bagus untuk pencernaan tubuh selain mengekalkan berat badan yang sihat dan ideal.
Kesimpulannya, anda masih boleh mengambil minuman berais sama ada ketika pantang, haid atau bila-bila masa, cuma perlu bersederhana.
[embed-health-tool-bmr]