Ia bukanlah satu misteri lagi bahawa ada banyak manfaat dan kebaikan minum air kosong. Dengan harga yang lebih murah berbanding air lain yang bergula, ia sememangnya harus menjadi minuman utama bagi setiap orang.
Ingin tahu apakah kepentingan air kepada manusia? Jom, baca artikel ini dengan lebih lanjut.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Urologi, anda boleh klik di sini.
5 manfaat dan kebaikan minum air kosong
1. Membantu mengekalkan keseimbangan cecair di dalam badan
60% daripada badan manusia terdiri daripada air. Ia memainkan pelbagai peranan termasuk membantu penghadaman, penyerapan nutrisi, peredaran darah, penghasilan air liur dan mengawal suhu badan.
Apabila badan anda mengalami kekurangan air, otak akan menghantar isyarat haus. Jika terlebih pula, air tersebut dibuang melalui air kencing, peluh dan pernafasan.
Tanpa air yang mencukupi, fungsi badan anda secara amnya boleh terganggu. Ini membuatkan anda kurang cergas dan aktif serta tidak boleh memaksimakan tenaga sepanjang hari.
Kebaikan minum air kosong 2: Mengawal kalori
Tahukah anda berapa bilangan kalori bagi segelas air kosong? Jawapannya adalah kosong. Sebanyak mana pun gelas yang anda ambil, kalori yang anda ambil tetap kosong.
Apa yang menariknya adalah apabila anda banyak minum, ia akan memberikan rasa kenyang tanpa menambah pengambilan kalori. Bahkan ia membantu anda mengurangkan pengambilan kalori daripada sumber yang lain.
Baca juga:
- Bahaya Jika Kurang Minum Air Kosong, Tapi Kalau Terlebih Minum, Ini Yang Berlaku Pada Tubuh Anda
- Gemar Minum Air Kosong? Tabiat Ini Juga Bahaya, Boleh Buat Kegagalan Jantung!
3. Memberikan otot yang sihat
Sel-sel otot yang tidak mengandungi kandungan air yang mencukupi akan mengecut. Ia membuatkan otot lebih cepat letih seterusnya menganggu fungsi serta prestasinya.
Oleh sebab itu, anda perlu mengambil air yang cukup semasa melakukan aktiviti fizikal untuk memastikan kecergasan otot kekal pada tahap maksimum.
Kebaikan minum air kosong 4: Kulit anda kelihatan lebih segar
Kulit anda mengandungi banyak air. Ia memberikan kesegaran dan membuatkan kulit anda kelihatan muda. Namun, jangan harapkan segala kedutan pada kulit anda akan hilang serta merta selepas minum 5 botol air.
Anda juga boleh gunakan pelembap untuk mengekalkan air pada kulit.
5. Membantu buah pinggang membuang toksin
Bahan toksin dibuang daripada badan melalui beberapa cara. Antaranya adalah oleh buah pinggang melalui air kencing. Cecair badan yang mencukupi membantu buah pinggang membuang toksin dengan lebih efisyen.
Bila air kencing anda berwarna cerah dan tidak berbau, ia adalah petanda anda mendapatkan air yang cukup. Sebaliknya jika kurang, air kencing akan berwarna lebih gelap dan berbau.
Pengambilan air yang kurang juga mendedahkan anda kepada pembentukan batu karang di dalam buah pinggang.
Jadikan air kosong sebagai tabiat anda hari ini!