Susu mempunyai pelbagai jenis dan bentuk. Antaranya susu segar ataupun susu tepung. Disebabkan itu, ramai individu yang keliru apabila perlu memilih salah satu daripadanya. Ikuti artikel ini untuk membantu anda memahami perbezaan nutrisi antara susu segar dan susu tepung.
Kandungan Nutrisi
Kedua-dua susu segar dan tepung mengandungi nutrien yang diperlukan oleh manusia dan kedua-duanya lebih kurang sama dalam kandungan nutrisinya. Satu cawan hidangan susu segar dan susu tepung akan membawa 80 kalori, 8 gram protein dan 30% keperluan kalsium seharian.
Kelebihan Susu Segar
Susu segar sebenarnya mempunyai kandungan vitamin B yang lebih banyak. Satu cawan minuman ini akan dapat memberikan 1.2 mikrogram vitamin B12 dan 0.9 miligram vitamin B5. Sementara itu, satu cawan susu tepung pula mengandungi 0.9 mikrogram vitamin B12 dan 0.8 miligram vitamin B5. Fungsi vitamin B5 adalah membantu sel otak untuk kekal sihat dan vitamin B12 pula adalah penting untuk pengaliran oksigen dalam badan.
Selain itu, susu segar juga mengandungi fosforus dan selenium yang bagus untuk sel otak, sistem metabolisma serta fungsi enzim dan tiroid. Satu hidangan minuman segar akan membawa 7.6 mikrogram selenium dan 47 miligram fosforus. Sementara itu pula, susu tepung hanya mengandungi 6.3 mikrogram selenium dan 27 miligram fosforus.
Paling penting, kebanyakan individu bersetuju bahawa rasa susu segar adalah jauh lebih sedap berbanding susu tepung.
Kelebihan Susu Tepung
Susu segar tidak boleh disimpan untuk jangka masa yang panjang sementara susu tepung mempunyai kelebihan ini. Ia tidak perlu disimpan di dalam peti ais dan masih mampu mengekalkan kandungan nutrisinya. Selain itu, produk ini juga adalah tidak semahal susu segar.
Pilihan Terbaik
Kedua-dua produk minuman ini, sama ada tepung atau segar sebenarnya menyediakan kandungan nutrisi yang hampir sama. Jika anda merupakan seorang individu yang kurang gemar produk yang diproses, produk yang segar adalah pilihan yang terbaik kerana ia adalah bebas daripada bahan pengawet dan antibiotik.
Bagi kegunaan dapur, produk segar sebenarnya adalah pilihan yang terbaik. Namun begitu, jika dilihat dari aspek masa dan kos, produk dari tepung dilihat sebagai alternatif yang lebih baik. Bagi beberapa jenis minuman seperti smoothie, susu tepung adalah lebih sesuai berbanding yang segar.
Konklusinya, kedua-dua pilihan ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Selain itu, ia juga mempunyai kandungan nutrisi yang lebih kurang sama sahaja. Oleh itu, ia sebenarnya terpulang kepada anda untuk memilih susu yang terbaik buat anda.
Apa Terjadi Jika Berhenti Mengambilnya?
Kebanyakan pakar pemakanan tidak akan mengesyorkan pemberhentian seluruh kumpulan makanan melainkan jika anda mempunyai alasan yang sangat baik seperti alahan. Ini kerana setiap kumpulan makanan menyediakan nutrien dan tenaga yang berbeza untuk memastikan badan berfungsi dengan baik.
Tetapi, sekiranya anda tidak mempunyai banyak pilihan dan perlu mengelakkan produk tenusu, anda mungkin dapat melihat beberapa perubahan pada badan anda. Berikut adalah beberapa kesan jika anda berhenti mengambil sebarang produk ini dalam diet pemakanan seharian anda.
1. Tulang menjadi lemah
Susu penuh dengan kalsium, protein, vitamin D, dan mineral lain yang penting untuk membina tulang yang kuat. Kebanyakan pembinaan tulang berlaku pada zaman kanak-kanak dan remaja. Sekiranya anda menjalani diet bebas tenusu, keadaan tulang anda boleh menjadi semakin lemah dan terdorong kepada keretakan atau patah. Untuk mengawal keadaan ini, anda perlu mencari cara untuk menggantikan nutrien yang hilang seperti mendapatkan dos kalsium harian daripada pengambilan sayuran berdaun hijau, jus oren dan brokoli.
2. Perubahan berat badan
Keinginan menurunkan berat badan sering menjadi motivasi utama untuk mengelakkan pengambilan produk tenusu. Walaupun produk tenusu seperti keju dan aiskrim boleh menambah kalori utama, namun terdapat beberapa kajian telah menunjukkan bahawa produk seperti ini mengenyangkan dan membantu mengekalkan berat badan yang sihat.
3. Menyumbang kepada penyakit tertentu
Susu adalah sumber vitamin D, kalsium dan kalium yang baik. Bagaimanapun, pengambilannya dalam kuantiti yang terlalu banyak boleh meningkatkan pengambilan kalium yang membawa kepada hipertensi.
Sesetengah kajian menunjukkan bahawa terlalu banyak minuman produk tenusu ini boleh menyebabkan kanser prostat dan kanser ovari. Kajian lain menunjukkan bahawa minum 3 gelas atau lebih setiap hari dapat menggandakan risiko penyakit kardiovaskular.
Minuman tenusu ini juga menyediakan banyak kalori. Oleh itu, terlalu banyak minuman ini boleh menjejaskan berat badan anda. Walaupun ia boleh menyebabkan beberapa kesan negatif terhadap kesihatan anda, ia umumnya baik. Anda harus mengetahui keadaan anda dan memilih strategi yang tepat untuk meminumnya bagi mengelakkan kesan sampingan.
4. Merendahkan risiko kanser
Sesetengah produk tenusu boleh menimbulkan keradangan, jadi anda akan mengurangkan risiko kanser jika mempunyai diet bebas tenusu. Kajian 2001 menemukan bahawa pengambilan kalsium tinggi khususnya kebanyakannya daripada produk tenusu meningkatkan risiko lelaki untuk mendapat kanser prostat, kerana ia mengurangkan jumlah hormon yang dianggap menghalang kanser.
Selain itu, bergantung kepada jenis tenusu, ia mungkin mempunyai racun perosak, tambahan hormon pertumbuhan, dan bahan-bahan lain yang berpotensi karsinogenik, yang semuanya dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser payudara.
5. Kesihatan kulit lebih baik
Sudah cukup diketahui bahawa menghentikan pengambilan produk minuman tenusu boleh meningkatkan keadaan kulit seseorang. Susu lembu sering mengandungi hormon, yang mungkin bertindak balas terhadap hormon-hormon di dalam tubuh anda dan mengakibatkan peningkatan pengeluaran sebum pada kulit anda, yang menyebabkan penyumbatan liang pori.
Selain itu, beberapa kajian pemerhatian telah menemui hubungan antara jerawat dan minuman tenusu, terutamanya susu skim, tetapi ia tidak ada kaitan dengan keju atau yogurt. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa diet yang baik adalah penting untuk mengekalkan kulit yang baik dan pastikan anda mengambil diet seimbang yang sihat yang mengandungi banyak nutrien.
Namun bagaimana pula dengan produk tenusu mentah? Benarkah ia baik untuk kesihatan? Ikuti penjelasan selanjutnya.
Apa itu Susu Mentah?
Produk tenusu mentah sama ada yang diambil daripada lembu atau kambing adalah produk yang tanpa perlakuan haba seperti pendidihan dan pempasteuran. Ia boleh mengandungi bakteria berbahaya seperti mycobacterium bovis dan brucella. Walaupun minuman ini adalah makanan berkhasiat namun boleh menjadi mudarat sekiranya terjangkit atau tercemar dengan kuman.
Perkara ini bukan berkaitan keracunan pengambilan produk minuman tenusu yang telah rosak, tetapi produk tenusu mentah adalah salah satu daripada punca utama perjangkitan penyakit bawaan haiwan (zoonosis) seperti tuberkulosis (TB bovin) dan bruselosis iaitu dua penyakit zoonosis yang utama di Malaysia.
Terdapat kes kejadian bruselosis yang pernah dilaporkan berlaku kerana mengambil minuman tenusu mentah kambing. Terdapat beberapa kepercayaan yang mengatakan meminum ini secara mentah, terutamanya minuman ini dapat meningkatkan ketahanan badan, sebagai ubat hati dan juga untuk merawat penyakit-penyakit tertentu seperti demam kuning.
Sebagai individu, anda perlu dapat membezakan antara susu mentah dan segar, iaitu susu mentah yang telah dirawat, biasanya telah menjalani proses pempasteuran, suhu ultra tinggi (UHT) atau paling minimum dipanaskan pada suhu tertentu.
Jangkitan Brucella Rintangan Antibiotik
Pada 8 Februari yang lalu, Pusat Kawalan Penyakit (CDC) telah mengeluarkan amaran kepada 19 negeri di dalam Amerika Syarikat berkaitan dengan amalan meminum susu mentah (susu yang tidak terpasteur).
Amaran ini dikeluarkan berikutan kes-3 yang telah dikenal pasti sebagai jangkitan daripada bakteria Brucella strain RB51 yang rintang-antibiotik dalam susu mentah.
Brucellosis, jangkitan oleh bakteria Brucella, sepatutnya boleh dirawat menggunakan antibiotik pilihan utama seperti rifampin, doxycycline, gentamicin dan streptomycin namun bakteria Brucella strain RB51 rintang kepada rifampin, antibiotik utama digunakan untuk mencegah dan merawat Brucellosis, dan Brucellosis itu sendiri sukar untuk didiagnosis kerana terhadnya pilihan ujian yang ada dan juga kerana simptom awal Brucellosis mirip penyakit-penyakit lazim yang lain seperti selesema.
Bagi mereka yang tidak dirawat pula, mereka berisiko untuk mendapat komplikasi serius seperti artritis, masalah jantung, limpa dan hati membengkak dan kepada individu wanita mengandung, mereka boleh mengalami komplikasi yang sama dengan jangkitan Brucellosis dalam lembu iaitu keguguran.
Simptom-simptom Brucellosis
Sekiranya anda ada mengambil susu mentah yang tidak terpasteur khususnya jika anda telah mengalami simptom Brucellosis, sila berjumpa dengan doktor anda. Simptom awal jangkitan Brucellosis boleh bermula bila-bila sahaja bermula hari ke-5 hingga 6 bulan, biasanya dalam tempoh masa sebulan hingga 4 bulan selepas terdedah, dan simptom tersebut adalah:
- Demam
- Berpeluh pada waktu malam dengan bau yang pelik dan kuat
- Hilang selera makan
- Pening kepala
- Lemah
- Sakit otot dan sendi
Berhati-hati dengan dakwaan kempen pemakanan sihat
Hasil daripada trend memilih makanan yang kurang diproses, konsumer yang dikatakan celik kesihatan memilih untuk mendapatkan makanan semula jadi dan tidak diproses termasuklah daging, telur dan ayam itik segar tempatan. Pergerakan ini juga telah berkembang kepada memilih produk tenusu yang mentah (tidak terpasteur).
Namun yang demikian, memilih susu mentah bukan sahaja tiada manfaat tambahan berbanding susu terpasteur, ia juga mengandungi bakteria-bakteria berbahaya yang mampu menyebabkan jangkitan dalam manusia.
Ramai membuat tanggapan bahawa makanan yang tidak diproses adalah lebih baik untuk kesihatan. Bagaimanapun, hakikat bagi sesetengah makanan adalah kita tetap memerlukan beberapa jenis pemprosesan bagi menjadikan makanan kita selamat – kita jadikan daging, ayam dan itik selamat untuk dimakan dengan memasaknya, begitu juga dengan susu melalui proses pempasteuran, iaitu proses memanaskannya buat beberapa ketika untuk membunuh kuman berbahaya.
Menurut Badan Administrasi Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA), proses pasteurisasi tidak mengurangkan zat dan nutrisi dalam produk tenusu mahupun menyebabkan alahan laktosa dan alahan lain.
Sekiranya anda memang ada alahan kepada protein di dalam produk tenusu, tidak kira dalam apa jua bentuk ia diambil, ia tetap akan menyebabkan alahan kepada anda. Malahan, penelitian kajian yang dilakukan ke atas susu mentah disimpulkan sebagai “Dakwaan yang mengaitkan ia dengan penambahbaikan nutrisi dan pencegahan alahan laktosa mahupun sebagai bekalan bakteria baik adalah mitos dan tiada asas dalam sains.’
Strain RB51 daripada bakteria Brucella abortus merupakan salah satu patogen selain Campylobacter sp. dan E.coli yang boleh ditemui dalam susu mentah yang sepatutnya terbunuh melalui proses pasteurisasi. Brucella abortus bukanlah bakteria yang asing kepada lembu kerana ianya adalah punca utama Brucellosis dalam lembu yang menyebabkan kemandulan dalam lembu dewasa dan juga keguguran kandungan.
Bila diterjemahkan permasalahan ini (Brucellosis dalam lembu) dalam konteks yang lebih besar, ia membawa kepada kerugian besar dari sudut ekonomi akibat masalah kesihatan manusia dan juga lembu.
Strain RB51 ini dibangunkan untuk dijadikan bahan utama vaksin hidup yang dilemahkan yang diberikan kepada lembu bagi membantu mereka melawan kesan jangkitan semula jadi/ penuh Brucellosis.
Bagaimanapun, dalam beberapa situasi yang jarang berlaku, lembu yang telah divaksinasi mampu untuk meninggalkan sampel bakteria ini dalam susu mereka, mendedahkan manusia yang meminum susu ini kepada jangkitan.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Anda mungkin berminat untuk membaca:
- Susu Lipas Berkhasiat?
- Minyak Ikan, Kelebihannya untuk Kesihatan
- Khasiat Teh Hijau: Jenis yang Pelbagai dengan Khasiat yang Pelbagai
[embed-health-tool-bmr]