Colour (Warna): Perhatikan jika wujudnya ketidaksamarataan warna pada mana-mana tahi lalat. Ini boleh melibatkan tona yang boleh dilihat seperti warna perang gelap ataupun tompok berwarna merah jambu.
Diameter: Ukur diameter tahi lalat anda jika ia melebihi ukuran rentas 6 milimeter (sekitar ¼ inci atau bersamaan saiz pemadam di hujung pensil). Lazimnya, tahi lalat yang lebih besar daripada saiz ini terjadi akibat pembahagian sel kanser kulit. Namun yang demikian, terdapat juga melanoma yang berukuran lebih kecil berbanding saiz tersebut.
Evolving (Berkembang): Lakukan penilaian berkala pada tahi lalat di kulit anda. Perhatikan sebarang perkembangan atau perubahan dari segi saiz, warna dan juga sempadannya.
Jika mengenal pasti sebarang perubahan drastik dalam parameter yang dinyatakan di atas, pastikan anda berjumpa dengan doktor anda untuk mendapat pengesahan.
Seborrheic dermatitis
Seborrheic dermatitis (SD) merujuk kepada keradangan kronik kulit yang menyebabkan sisik, kemerahan dan juga pembentukan kelemumur. Walaupun ia lazimnya membabitkan kawasan kulit kepala, SD turut boleh berlaku di bahagian kulit yang lain seperti janggut, kening, dada, di tepian hidung dan juga telinga. Untuk sesetengah individu, kulit kering dan kelemumur bukanlah sesuatu yang merisaukan untuk mereka. Walau bagaimanapun, kulit kering yang kerap digaru boleh menyebabkan kulit tersebut merekah. Ini boleh menyebabkan kerosakan kepada integriti kulit dan membuka peluang untuk jangkitan bakteria sekunder. Apabila jangkitan bakteria mengambil tempat, ia boleh meningkatkan kemerahan, penghasilan eksudat (lelehan) dan juga kerengsaan atau kegatalan.
Tambahan lagi, seperti tahi lalat, kewujudan SD juga boleh menjadi indikator kepada keadaan kesihatan yang lebih membimbangkan. Lebih daripada sekadar keadaan kulit, kajian telah mendapati bahawa SD lebih kerap berlaku dalam individu yang menghidap jangkitan HIV/AIDS. Kebanyakan mereka yang telah dijangkiti oleh virus ini tidak menunjukkan sebarang gejala untuk 1 hingga 5 tahun pertama. Ini menyebabkan individu tersebut cenderung untuk menganggap bahawa mereka adalah ‘bersih’ dan bebas untuk melakukan persetubuhan rambang tanpa perlindungan. Ini seterusnya akan mengeruhkan lagi masalah penyebaran jangkitan HIV dalam masyarakat.
Justeru, kewujudan SD boleh menjadi tanda amaran awal yang penting untuk anda mendapatkan saringan. Jika anda mempunyai faktor risiko seperti mengambil dadah intravena atau melakukan seks rambang tanpa perlindungan, pastikan anda pergi berjumpa doktor untuk mendapat pengesahan status jangkitan anda.
Jerawat
Jerawat adalah keadaan kulit yang berlaku apabila folikel rambut pada kulit menjadi tersumbat akibat daripada pengumpulan sel-sel yang telah mati dan juga minyak (sebum). Ini kemudiannya akan menyebabkan keradangan setempat. Kelenjar yang menghasilkan sebum di bawah kulit anda disebut sebagai kelenjar sebum manakala liang pada kulit pula disebut sebagai liang pori. Folikel rambut anda adalah struktur yang menghubungkan liang pori dengan kelenjar sebum. Keradangan berlaku apabila liang yang tersumbat itu dikolonisasi oleh bakteria Cutibacterium acnes (C. acnes).
Jerawat boleh melibatkan kawasan wajah, bahu, belakang dan juga dada. Lazimnya, jerawat memberikan impak yang lebih kuat kepada keyakinan diri seseorang berbanding kesihatan fizikal mereka. Namun yang demikian, jika dibiarkan tanpa sebarang penjagaan, keadaan kulit ini boleh menyebabkan keradangan berpanjangan dan pembentukan parut. Kewujudan parut yang jelas dan banyak pada wajah akan menerukkan lagi masalah keyakinan diri dan meningkatkan risiko seseorang itu untuk mengalami masalah kegelisahan, gangguan panik dan kemurungan.
Selain itu, jerawat, jika dibiarkan terlalu lama boleh menyebabkan komplikasi yang berbahaya. Terdapat satu kawasan di muka anda yang disebut sebagai danger triangle. Segi tiga ini membabitkan kawasan atas bibir (tapak segi tiga) sehinggalah bahagian permulaan tulang hidung. Sistem salur darah vena di kawasan ini tidak mempunyai injap untuk memastikan darah mengalir dalam satu arah. Untuk itu, jangkitan bakteria sekunder di kawasan ini boleh merebak ke bahagian otak, menyebabkan keadaan seperti meningitis dan juga pembentukan nanah dalam otak.
Tuntasnya, kulit anda dapat menceritakan lebih banyak lagi tentang apa yang berlaku di dalam. Jika anda mengenal pasti sebarang perubahan atau mempunyai sebarang kerisauan terhadap keadaan kulit anda, berjumpalah dengan doktor pakar kulit segera.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis ataupun rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen