Hmm, rasa nak masak kari pula hari ini. Tapi, nak masak guna santan kotak atau santan segar ya? Ada beza ke antara dua jenis santan ini? Jangan tidak tahu, sebenarnya kedua-dua jenis santan ini boleh buatkan rasa dan tekstur masakan anda berbeza!
Betul cakap orang tua-tua, masakan yang menggunakan santan segar lebih sedap. Walau bagaimanapun, proses untuk memerah santan segar bukanlah semudah yang disangka. Lebih-lebih lagi jika anda duduk di bandar.
Lagipun, santan dalam kotak lebih mudah untuk didapati. Buka dan terus tuang. Siap!
Jadi, santan jenis mana yang lebih sesuai untuk digunakan dalam masakan? Jom, ikuti kupasan kami dalam artikel di bawah!
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Santan, makanan yang penuh nutrisi
Siapa cakap santan merupakan makanan yang tidak sihat? Selain digunakan dalam masakan, santan kelapa juga sering digunakan sebagai syampu atau perapi rambut, terutamanya untuk mereka yang inginkan rambut lebat, hitam dan sihat.
Namun, santan mempunyai kalori dan lemak tepu yang tinggi.
Ia juga mengandungi pelbagai vitamin dan mineral. Namun, santan segar dan santan kotak mempunyai tahap nutrisi yang berbeza. Jadi, sebelum beli, baca dulu fakta nutrisi yang tertulis di belakang pek pembungkus.
Selalunya, kita akan menggunakan santan sebagai bahan dalam masakan. Ia bukan sahaja dapat membuatkan lauk rasa lebih berlemak, malahan santan juga boleh digunakan sebagai pemekat dan pemanis.
[embed-health-tool-bmr]
Di bawah, kami senaraikan fakta nutrisi untuk santan segar (240 gram) yang digunakan khas untuk memasak:
- Kalori: 552
- Air: 162 g
- Protein: 5.5 g
- Lemak: 57.1 g
- Karbohidrat: 13.3 g
- Kalsium: 38.4 miligram (mg)
- Kalium: 631 mg
- Magnesium: 88.8 mg
- Zat besi: 3.94 mg
- Vitamin C: 6.72 mg
Baca juga:
- Rupanya Ini Cara Simpan Kelapa Parut Dalam Peti Sejuk, Masih Elok Selepas 2 Bulan!
- 2 Resipi Lempeng @ Peknga Kelapa Ini Buat Anda Teringat Kampung, Rasa Macam Nenek Masak
Nak pilih yang mana ya, santan kotak ke santan segar?
Kedua-dua jenis santan ini mempunyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri. Antaranya:
Santan kotak:
- Harganya lebih murah. Di pasar raya, anda boleh dapatkannya semurah RM3.00.
- Santan tahan lama walaupun selepas dibuka. Mudah disimpan dan senang didapati.
- Sukar untuk pecah minyak, jadi ia mungkin tidak sesuai untuk sesetengah masakan.
- Kurang rasa lemak. Baunya juga tidak wangi.
- Sesuai untuk masakan berkuah sebab ia sukar pecah minyak.
Santan segar:
- Harganya lebih mahal.
- Lebih sukar untuk disediakan.
- Tidak tahan lama. Santan segar perlu segera dibekukan jika ingin guna lebih lama.
- Baunya lebih wangi. Rasanya juga berlemak.
- Mudah untuk pecah minyak.
- Sesuai untuk semua masakan.
Santan serbuk:
- Harga jauh lebih murah berbanding santan kotak dan santan segar. Kalau tidak habis, boleh simpan semula.
- Boleh digunakan untuk buat puding, agar-agar dan nasi lemak.
- Penyelamat untuk makanan yang terlalu cair.
Penggunaan santan mengikut kemampuan dan tahap kreativiti tukang masak. Kalau dah pro, masaklah guna santan apa pun, pasti sedap. Betul tak!
Rasa macam nak perah sendirilah, tapi macam mana nak buat?
Bagi mereka yang tidak pernah perah santan sendiri, jangan risau, kami akan membantu! Di bawah, kami tunjukkan cara perah santan daripada 2 biji kelapa.
Cara-caranya:
- Rendam kelapa parut dalam air panas (bukan air menggelegak) atau air suam. Tak perlu perah dengan tangan, gunakan blender! Kelapa parut yang direndam dengan air suam akan menghasilkan lebih banyak santan.
- Masukkan santan tadi dalam blender dan kisar beberapa kali.
- Sediakan penapis dan besen. Tuang kelapa parut yang dikisar dalam penapis. Kemudian, ramas-ramas kelapa untuk keluarkan semua santan.
- Jika anda inginkan santan yang betul-betul bersih, tapis lagi sekali menggunakan penapis teh.
- Masukkan santan tadi dalam plastik. Ikat dengan getah dan simpan dalam freezer. Mudah bukan!
Jika anda inginkan santan cair, boleh ambil lebihan kelapa parut tadi dan perah lagi sekali. Tip untuk pastikan santan tahan lama, pastikan guna air yang sudah dimasak. Jangan guna air paip. Kemudian, taburkan sedikit garam pada lapisan atas santan.
Kami berharap agar artikel kami dapat membantu anda untuk memilih sama ada santan kotak atau santan segar untuk digunakan dalam masakan. Selamat mencuba!