backup og meta

Rupanya Ini Cara Simpan Kelapa Parut Dalam Peti Sejuk, Masih Elok Selepas 2 Bulan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/10/2022

    Rupanya Ini Cara Simpan Kelapa Parut Dalam Peti Sejuk, Masih Elok Selepas 2 Bulan!

    Kelapa parut sering digunakan dalam pembuatan kuih-muih tradisional. Ia biasa digunakan sebagai salutan kuih seperti pada kuih apam beras, kuih sagu dan kuih puteri ayu. Selain itu, kelapa yang telah diparut juga sering digunakan sebagai inti bagi kuih-muih lain seperti kuih ketayap, kuih dangai dan pulut panggang. Namun, setelah kita parut kelapa, ada kalanya ia tidak bertahan lama setelah disimpan.

    Ini mungkin disebabkan oleh kaedah yang salah ketika menyimpan kelapa yang telah diparut.

    Oleh itu, kami kongsikan di sini beberapa kaedah menyimpan parutan kelapa agar ia bertahan lebih lama. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.

    Cara buat kelapa parut tahan lama

    kelapa parut

    Ada kalanya, selepas parut kelapa atau membeli kelapa yang telah siap diparut, terdapat lebihan kelapa yang mahu disimpan.

    Malangnya, kelapa yang disimpan ini sering cepat rosak atau berbau tengik walaupun telah disimpan dalam peti sejuk.

    Untuk pengetahuan anda, kaedah yang kurang tepat sememangnya akan membuatkan parutan kelapa cepat rosak dan tidak bertahan lama.

    Ikuti 2 kaedah simpanan kelapa parut di bawah ini:

    #1. Kaedah kukus dan garam

  • Setelah anda membeli atau parut kelapa, letakkan parutan kelapa tersebut ke dalam bekas yang bersih.
  • Seterusnya, taburkan dua atau tiga sudu kecil garam pada kelapa tersebut. Gaul sehingga sebati. Tujuan kita memasukkan garam adalah sebagai bahan untuk merencatkan pembiakan bakteria yang boleh merosakkan kelapa dengan cepat. Selain itu, garam juga bertindak sebagai bahan pengawet semula jadi. 
  • Setelah itu, panaskan periuk kukus anda sehingga air mendidih.
  • Masukkan kelapa tadi ke dalam periuk dan kukus selama sekurang-kurangnya 15 minit. 
  • Bagi mengelakkan wap air jatuh dan masuk ke dalam bekas kelapa, balutkan kain pada tudung atau penutup periuk kukusan. Air wap dalam periuk kukus akan menyerap masuk ke dalam kain dan tidak akan menitik ke kelapa. 
  • Setelah 15 minit, keluarkan parutan kelapa daripada periuk kukus dan biarkan di luar agar ia sejuk. 
  • Setelah kelapa sejuk, anda boleh membungkusnya ke dalam plastik-plastik kecil. Ingat, jangan sesekali membungkus kelapa yang masih panas atau berwap kerana ia boleh menyebabkan kelapa menjadi cepat basi.
  • Setelah dibungkus, simpan parutan kelapa tersebut ke dalam peti sejuk di bahagian beku. Apabila anda hendak menggunakannya, keluarkan daripada peti sejuk dan kukus kembali. 
  • Kaedah ini dikatakan boleh menjadikan kelapa tahan sehingga 2 bulan. 
  • #2. Kaedah bebola

    1. Bentukkan atau gumpalkan parutan kelapa menjadi bebola kecil. 
    2. Kemudian, masukkan bebola kelapa ini ke dalam plastik atau bekas yang telah diisi dengan air. Seeloknya, gunakan air bertapis.
    3. Simpan bekas tersebut dalam peti sejuk bahagian beku. Pastikan plastik atau bekas telah ditutup rapat bagi mengelakkan bakteria masuk. 

    Berapa lama kelapa parut boleh bertahan dalam peti sejuk?

    kelapa parut

    Kelapa yang telah diparut boleh disimpan dalam peti sejuk beku sekurang-kurangnya enam hingga lapan bulan lamanya.

    Selepas daripada tempoh tersebut, parutan kelapa mungkin masih lagi elok namun telah menjadi tengik.

    Kelapa yang sudah tengik biasanya tidak akan digunakan lagi kerana ia boleh menjejaskan rasa masakan atau kuih-muih yang disediakan.

    Bagaimana hendak tahu jika kelapa sudah rosak?

    kelapa parut

    Ada beberapa tanda yang boleh anda lihat jika kelapa parut anda sudah rosak.

    Pertama, anda boleh melihat kemunculan kulat pada kelapa sehingga mengubah warna kelapa tersebut. Kelapa mungkin akan berubah warna menjadi kuning atau kehijauan disebabkan kehadiran kulat.

    Kedua, rasa tekstur kelapa parut tersebut dengan tangan anda. Kelapa yang sudah rosak akan menjadi seperti pes yang lembik dan berderai apabila dipegang.

    Ketiga, kelapa yang sudah mula menjadi rosak akan berbau tengik. Manakala kelapa yang sudah rosak akan mengeluarkan bau yang busuk seperti makanan yang sudah basi.

    Jika parutan kelapa anda menunjukkan tanda-tanda ini walaupun sudah disimpan dalam peti sejuk, ia bermaksud kelapa anda sudah pun rosak.

    Jangan sesekali menggunakannya kerana ia boleh merisikokan kesihatan anda.

    Kesimpulan

    Diharapkan tip-tip di atas dapat membantu anda menyimpan parutan kelapa lebih lama selain mengenal pasti kelapa yang sudah rosak.

    Kongsikan tip yang kami sediakan di atas ini kepada rakan-rakan dan ahli keluarga anda yang lain.

    Selamat mencuba!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan