Bone broth adalah sup tulang yang direbus lebih lama sehingga menjadi pekat sebelum disimpan sebagai kiub. Tetapi benarkah ia bagus untuk kesihatan diri khususnya anak kecil?
Apa itu bone broth?
Bone broth adalah stok air yang disediakan dengan merebus tulang dan tisu daripada haiwan seperti ayam, lembu atau kambing. Ia ditambah dengan rempah, ramuan dan sayuran tertentu.
Bone broth tak jauh berbeza dengan sup tulang, cuma ia direbus untuk tempoh masa yang lebih lama.
Bagi anda yang masih keliru, ia seperti sup ayam biasa yang dimasukkan isi ayam, sayuran seperti lobak, kentang dan sebagainya.
Namun, untuk menghasilkan bone broth ini akan dimasukkan bahagian tulang haiwan seperti kaki ayam, rangka ayam, tulang lembu atau tulang kambing. Bahan-bahan tersebut dianggap sebagai bahan asas kepada stok air rebusan.
Selepas direbus untuk tempoh masa tertentu, ia biasanya akan disimpan dalam bentuk kiub dan akan digunakan sebagai bahan penambah rasa dalam masakan kerana penggunaan garam dan gula untuk makanan si kecil sangat tidak digalakkan.
Apa yang tidak diketahui, ia sebenarnya mempunyai banyak kebaikan kesihatan diri seperti membantu masalah pencernaan, meningkatkan sistem imun dan pelbagai lagi.
Sup tulang ini juga dikatakan sering disyorkan sebagai sebahagian daripada diet sindrom usus dan psikologi (gut and psychology syndrome, GAPS) untuk pelbagai penyakit seperti autisme dan gangguan hiperaktif kekurangan perhatian (ADHD).
Kajian mengenai sup tulang
Penggunaan stok air rebusan sebagai bahan penambah rasa boleh dikatakan popular tetapi setakat ini tidak banyak kajian saintifik mengenai bone broth ini.
Kajian terawal yang ada adalah dari tahun 1934 yang dilakukan oleh seorang pakar diet dan pakar pediatrik.
Dalam penyelidikan ini mereka menganalisis komposisi pemakanan pada 2 jenis sup tulang, 1 tanpa sebarang bahan tambahan dan yang ke-2 telah dicampur dengan sayur-sayuran.
Hasilnya mendapati, bone broth merupakan sumber nutrien yang lemah. Pun begitu apabila ditambahkan dengan sayur-sayuran, ia meningkatkan kandungan beberapa nutrisi penting termasuk kalium, kalsium, magnesium dan zat besi.
Jadi apa yang boleh disimpulkan adalah seperti sup ayam biasa, sup tulang boleh diberikan dan baik untuk kesihatan diri anak jika ia digabungkan dengan sayuran untuk memperolehi nutrisi seimbang.
Kebaikan daripada aspek kesihatan diri
Mungkin masih ada di antara anda yang tidak mengetahui manfaat stok air rebusan ini. Ia dikatakan baik bukan sahaja untuk kanak-kanak bahkan kepada individu dewasa juga.
Berikut adalah beberapa kebaikan sup tulang untuk diberikan kepada anak.
- Baik untuk kuku, kulit dan rambut
Kandungan kolagen dan gelatin dalam makanan ini akan merangsang pertumbuhan rambut, kulit dan kuku yang lebih sihat.
- Mengatasi jangkitan
Memandangkan bone broth tidak jauh bezanya dengan sup ayam, maka ia turut dianggap sebagai penyelesaian kepada masalah selesema.
Berdasarkan kajian, ia dapat mengurangkan jangkitan dan melawan virus selesema.
- Meningkatkan pencernaan
Bone broth dianggap baik untuk kesihatan diri kerana kandungan gelatin di dalamnya akan bertindak sebagai koloid hidrofilik – membantu jus pencernaan.
Ia juga memainkan peranan penting dalam melindungi lapisan mukosa pada saluran pencernaan.
- Mengurangkan keradangan dan sakit sendi
Jika anda mempunyai masalah arthritis, pengambilan bone broth setiap hari dapat membantu mengelakkan kesakitan.
Glukosamin yang terdapat di dalam stok air rebusan ini dapat merangsang pertumbuhan kolagen baru, sekali gus mengurangkan kesakitan dan membantu memperbaiki sendi rosak.
Kandungan arginin di dalamnya juga membantu merawat keradangan.
- Membaiki tulang
Disebabkan sup ini kaya dengan nutrien seperti kalsium, magnesium dan fosforus, maka ia dapat membantu dalam proses pembentukan, pertumbuhan dan pembaikan tulang yang lebih sihat.
- Mempunyai kesan menenangkan
Air rebusan ini mengandungi glisin asid amino yang mempunyai kesan untuk menenangkan badan, meningkatkan kualiti tidur dan memberikan ketenangan pada fikiran.
- Makanan tambahan yang sihat
Berbanding suplemen tambahan yang diambil secara pil, sup tulang buatan sendiri ini mengandungi lebih banyak nutrien.
Malahan teknik memasak perlahannya membantu mengekalkan nutrien tersebut dengan lebih lama.
Berikan sup tulang pada bayi
Mesti ada mommies yang nak tahu, sesuai ke bone broth untuk diberikan pada bayi?
Stok air rebusan yang disimpan dalam bentuk kiub ini boleh diberikan kepada si manja sebaik sahaja dia bersedia untuk menerima makanan pejal. Maksudnya selepas berusia 6 bulan ke atas.
Pun begitu, pastikan anda memberikannya dalam jumlah yang kecil sahaja.
Harus diingatkan bahawa pemberian bone broth kepada anak kecil bukanlah untuk menggantikan susu ibu.
Sebaliknya ia diberikan sebagai makanan tambahan lain selain susu ibu dan makanan pejal.
Namun, sekiranya anda mempunyai sebarang kebimbangan atau keraguan, sebaiknya dapatkan rundingan dan nasihat daripada pakar pediatrik terlebih dahulu.
[embed-health-tool-bmr]