Yang mana satu kuih Kelantan kegemaran anda? Pasti ramai yang menggemari kuih akok dan ada juga yang lebih suka kuih tradisional Kelantan lain seperti nekbat. Kuih Kelantan manis? Ya, kebanyakannya agak manis namun ada juga yang tidak berapa manis dan rendah kalori. Ini antara jenis kuih tradisional negeri Cik Siti Wan Kembang yang lebih sihat untuk anda.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
5 jenis kuih Kelantan yang sedap dan rendah kalori
Negeri-negeri pantai timur amat dikenali ramai sebagai negeri yang menarik dengan pelbagai tarikan pelancongan.
Ini termasuklah tarikan makanan tradisi yang kebanyakannya agak sukar dijumpai di bandar-bandar besar. Kesempatan mengunjungi negeri pantai timur seperti Kelantan memberikan peluang kepada kita untuk merasai kuih tradisional Kelantan.
Berikut adalah antara pilihan jenis kuih negeri Cik Siti Wan Kembang yang lebih sihat berserta fakta nutrisinya.
#1. Kuih akok
Siapa sahaja yang tidak pernah mendengar kuih akok ini. Kuihnya yang seakan-akan kuih bakar, namun berwarna kuning (kadangkala hijau) dan mempunyai tekstur yang jauh lebih lembut.
Kuih akok biasanya diperbuat daripada telur itik sebagai ramuan utama.
Ia mempunyai kalori antara 85 hingga 100 bergantung kepada saiz bagi satu biji.
Selain itu, ia mempunyai 94% kandungan protein, selebihnya adalah karbohidrat dan juga lemak. Jika anda membuat sendiri di rumah, kurangkan penggunaan gula dalam ramuannya.
#2. Beko pandan
Walaupun mempunyai kandungan gula, beko pandan biasanya tidaklah terlalu manis berbanding kuih-muih Kelantan yang lain.
Kuih ini diperbuat daripada tepung pulut, telur, parutan kelapa, air daun pandan dan sedikit minyak masak.
Ia juga dibakar ketika proses memasak, membuatkannya lebih sihat. Untuk menjadikannya lebih kurang kalori, kurangkan penggunaan gula dan tepung pulut, serta lebihkan sedikit kelapa parut.
#3. Kuih Kelantan: Belebat ubi stelo
Menarik bukan namanya? Ia seolah-olah kuih lepat, namun teksturnya lebih basah, berlemak dan mempunyai potongan ubi stelo atau ubi keledek.
Biasanya, potongan ubi berwarna ungu dan oren dicampurkan sekali ketika membuat kuih ini untuk menjadikannya lebih menarik.
Seperti kuih lepat, ia juga dimasak dengan cara dikukus. Oleh itu, nilai kalorinya juga lebih rendah berbanding kuih yang lain.
Namun, memandangkan kandungan karbohidratnya agak tinggi, anda tidak boleh memakannya dalam kuantiti yang banyak.
#4. Kuih tahi itik
Walaupun namanya agak kurang menarik, namun ramai mengakui keenakan kuih ini. Ia diperbuat daripada putih telur, santan, gula, tepung pulut dan juga tepung beras.
Kesemua bahan ini dicampur dan dimasak sehingga agak kental sebelum dibentuk-bentuk. Rasanya manis dan sedikit berlemak.
Untuk menjadikannya lebih sihat, kurangkan penggunaan gula jika anda membuatnya sendiri di rumah.
#5. Kuih Kelantan: Pulut panggang
Pulut panggang diperbuat daripada pulut yang diisi dengan inti ikan bersama kelapa dengan rasa sedikit berlemak dan manis.
Di negeri Kelantan, inti pulut panggang biasanya berwarna merah keperangan manakala di negeri Terengganu, ia berwarna kelabu.
Kuih ini mempunyai kandungan nutrisi yang agak lengkap iaitu karbohidrat daripada pulut, protein daripada isi ikan dan juga vitamin daripada kelapa parut.
Namun kalorinya agak tinggi iaitu sekitar 200 kalori bagi sebiji pulut panggang. Oleh itu, makanlah dengan berpada-pada.
Kesimpulan
Proses pembuatan manisan atau kuih-muih biasanya akan melibatkan penggunaan gula.
Namun, anda boleh memilih untuk mengambil jenis kuih seperti di atas yang kurang kandungan karbohidrat, gula atau lemak dalam pembuatannya.
Selain itu, bagi mengurangkan kalori harian, hadkan kuantiti kuih yang ingin dimakan agar tidak berlebih-lebihan.
[embed-health-tool-bmr]