backup og meta

Harga Minyak Masak Naik, Ada Plan Nak DIY Minyak Sendiri Di Rumah, Tapi Selamat Ke?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 19/09/2022

    Harga Minyak Masak Naik, Ada Plan Nak DIY Minyak Sendiri Di Rumah, Tapi Selamat Ke?

    Sejak berlakunya kenaikan harga minyak masak di Malaysia baru-baru ini, ia mula menggusarkan ramai pihak terutamanya kumpulan pengguna. Mana tidaknya, harga minyak masak terkini meningkat sehingga sekali ganda daripada harga sebelumnya.

    Disebabkan itu, ramai yang mula berkongsi cara menghasilkan minyak masak sendiri di rumah.

    Persoalannya, adakah selamat dan berbaloi untuk kita hasilkan minyak masak DIY ini?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan, anda boleh klik di sini.

    Mengapa kenaikan harga minyak masak di Malaysia boleh berlaku?

    kenaikan harga minyak masak

    Baru-baru ini, harga minyak masak terkini di Malaysia telah meningkat untuk semua jenis botol bermula daripada botol 1 kilogram sehinggalah ke botol 5 kilogram.

    Sebelum ini, harga runcit maksimum minyak masak bagi botol 5 kilogram berharga RM29.70. Namun kini ia boleh mencapai harga sehingga RM43.

    Begitu juga dengan botol 1, 2 dan 3 kilogram, harga siling bagi kesemua kemasan botol ini telah dimansuhkan dan menyebabkan peningkatan harga tanpa kawalan.

    Kenaikan harga minyak masak ini berlaku disebabkan pemansuhan subsidi minyak masak sawit yang telah dilaksanakan oleh kerajaan bermula 1 Julai 2022.

    Rentetan daripada pemansuhan subsidi ini, maka harga minyak sawit tidak akan dikawal oleh kerajaan dan boleh menyebabkan kenaikan harga secara mendadak.

    Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, tujuan pemansuhan subsidi minyak masak sawit ini adalah untuk memastikan kestabilan bekalan minyak masak di pasaran.

    Selain itu, ia juga dapat menstabilkan harga minyak masak sawit dalam jangka masa panjang.

    Namun, kenaikan harga minyak masak ini tidak melibatkan minyak masak pek polibag 1 kilogram yang masih kekal pada harga siling RM2.50 bagi satu pek.

    Kenaikan harga minyak masak membebankan pengguna

    kenaikan harga minyak masak

    Rata-rata pengguna di Malaysia mengeluh dengan kenaikan harga minyak masak sawit ini.

    Ini kerana, minyak masak sawit telah lama menjadi antara bahan keperluan dalam masakan kita setiap hari di negara ini.

    Pengguna tidak mempunyai pilihan lain selain daripada terus membeli minyak ini walaupun dengan harga yang tinggi.

    Kesan ini bukan hanya melibatkan isi rumah pengguna, tetapi juga kepada peniaga dan penjaja makanan.

    Mahu tidak mahu, harga makanan juga akan terpaksa dinaikkan dan ini pastinya akan memberikan kesan kepada pengguna yang mahu membeli makanan bermasak daripada para peniaga. 

    Ramai kongsikan cara buat minyak masak sawit di rumah

    Sejak berlakunya peningkatan harga minyak masak terkini, ramai yang berkongsi cara dan juga tip bagi menghasilkan minyak masak sendiri di rumah daripada biji sawit.

    Tujuannya adalah untuk berjimat cermat selain dapat mengurangkan kos membeli di kedai.

    Antara kaedah popular menghasilkan minyak masak sawit yang banyak dikongsikan di media sosial adalah seperti berikut:

  • Bersihkan buah sawit yang telah matang dan kemudian kukus buah sawit tersebut selama beberapa minit.
  • Setelah dikukus, biarkan buah sawit tersebut sejuk terlebih dahulu sebelum ia dikopek.
  • Setelah buah sawit sejuk, kopek buah tersebut dan kukus sekali lagi untuk kali yang kedua.
  • Setelah siap dikukus, ambil kain yang bersih dan perahkan buah sawit tadi untuk mendapatkan minyaknya.
  • Setelah diperah menggunakan kain, tapis minyak sawit dan masak sekejap di atas dapur bagi mendapatkan tekstur minyak yang lebih pekat.
  • Setelah siap, minyak tersebut boleh disimpan dan digunakan untuk memasak.
  • Adakah selamat untuk hasilkan minyak masak sawit sendiri di rumah?

    Sejak berlakunya kenaikan harga minyak masak secara mendadak, ramai yang mungkin terfikir untuk melakukan kaedah penghasilan minyak secara homemade ini.

    Namun, ada juga yang bertanya, adakah selamat untuk menghasilkan minyak sawit di rumah? Jawapannya, ia selamat untuk dihasilkan dan digunakan di rumah.

    Namun, ia bukanlah satu kaedah yang berbaloi atau praktikal untuk dilakukan.

    Ini kerana, untuk mendapatkan jumlah minyak yang banyak, anda memerlukan puluhan atau mungkin ratusan kilogram buah sawit matang untuk diproses.

    Selain itu, penghasilan minyak masak secara homemade juga akan mengambil masa yang lebih panjang dan ia tidak berbaloi dengan kuantiti minyak yang akan anda peroleh.

    Bukan itu sahaja, jika anda tinggal di kawasan bandar, anda juga akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan buah sawit segar bagi menghasilkan minyak.

    Jadi, ia bukanlah satu kaedah yang kononnya boleh menjimatkan kos anda walaupun penghasilan minyak masak secara homemade ini selamat untuk dikonsumsi. 

    Apa yang boleh kita lakukan untuk kurangkan kos minyak masak sawit?

    kenaikan harga minyak masak

    Buat masa ini, cara yang lebih praktikal adalah dengan mendapatkan minyak masak 1 kilogram dalam kemasan polibag.

    Ini kerana, harganya masih lagi terkawal dan murah.

    Namun, anda mungkin berhadapan dengan masalah kekurangan stok disebabkan ramai yang mencari minyak masak dalam kemasan ini.

    Selain itu, anda juga boleh cuba mengurangkan kuantiti minyak masak sawit ketika memasak.

    Jika sebelum ini anda menggunakan sekitar dua senduk minyak untuk menumis, kurangkan kepada satu senduk sahaja.

    Bukan itu sahaja, anda juga boleh cuba memperbanyak kaedah memasak yang tidak menggunakan minyak seperti teknik mengukus atau mereneh.

    Ia bukan sahaja tidak menggunakan minyak masak, malah ternyata lebih menyihatkan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 19/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan