Pernah tak terfikir mengapa walaupun anda sudah diet, tetapi berat badan anda masih belum juga turun? Jawapannya mungkin terletak pada waktu makan diet anda!
Sebenarnya, waktu makan yang tidak teratur boleh menganggu sistem metabolisme tubuh dan menyebabkan penambahan berat badan atau rasa lapar yang tidak terkawal.
Oleh itu, mengatur waktu makan diet dengan bijak bukan sahaja membantu anda mencapai berat badan ideal, malah ia juga dapat membekalkan tenaga sepanjang hari.
Ingin tahu bagaimana untuk menyusun jadual waktu makan yang betul? Teruskan membaca artikel ini untuk ketahuinya dengan lebih lanjut!
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Rahsia di sebalik waktu makan diet yang betul
Mengatur waktu makan diet dengan bijak adalah seperti memberikan “jadual tetap” kepada tubuh anda untuk bekerja dengan lebih efisien.
Tubuh manusia itu umpama mesin yang memerlukan tenaga pada waktu tertentu untuk berfungsi secara optimum. Jika anda makan pada waktu yang salah atau tidak teratur, tubuh anda akan keliru dan mula menyimpan lebihan kalori sebagai lemak.
Di sinilah konsep chrononutrition memainkan peranan penting dalam usaha anda untuk mendapatkan berat badan yang ideal!
Menurut John Hopkins Medicine, Chrononutrition ialah pendekatan pemakanan yang menekankan pentingnya bila anda makan, bukan sekadar apa yang anda makan.
Konsep ini berdasarkan irama sirkadian tubuh, iaitu jam biologi semula jadi yang mengawal pelbagai fungsi tubuh seperti metabolisme, pencernaan dan pembakaran kalori.
Mengikut waktu makan yang sesuai dengan irama sirkadian boleh membantu tubuh berfungsi dengan lebih cekap, membakar lemak dengan optimum, dan menstabilkan kadar gula dalam darah anda.
Berikut adalah waktu makan yang betul yang anda perlu lakukan untuk memastikan diet anda berkesan:
Jadual diet sebulan #1. Sarapan awal pagi
Sarapan pagi adalah waktu makan yang paling penting untuk anda yang ingin tampil kurus dan langsing! Ia adalah waktu makan diet yang ideal kerana memberikan isyarat kepada tubuh untuk mula membakar kalori selepas berehat semalaman.
Memulakan hari dengan perut kosong boleh menyebabkan anda merasa lesu dan cenderung memilih makanan yang tidak sepatutnya dimakan pada waktu tengah hari.
Jadi, jangan lupa untuk bersarapan dalam tempoh 1 jam selepas bangun tidur, sekitar jam 7 hingga 9 pagi ya? Pilih hidangan kaya protein seperti telur rebus, oatmeal atau yogurt untuk tenaga yang tahan lama.
#2. Makan tengah hari
Jadual waktu makan tengah hari seharusnya diambil sekitar empat hingga lima jam selepas anda bersarapan.
Misalnya, jika anda bersarapan pada pukul 7 pagi, pastikan anda makan tengah hari antara jam 11 pagi hingga 2 petang.
Makan tengah hari yang kaya dengan protein dan serat dapat membantu mengatasi penurunan tenaga sekitar jam 2 atau 3 petang, di mana kebanyakkan orang akan mula merasa lesu dan keletihan.
Pastikan sajian tengah hari anda seimbang dengan karbohidrat kompleks seperti:
- Nasi perang atau ubi keledek
- Protein tanpa lemak (ayam panggang atau ikan bakar)
- Sayur-sayuran
Ingat ya, jangan ambil makanan yang terlalu tinggi karbohidrat, lemak, atau gula kerana ia boleh menyebabkan rasa mengantuk dan kurang bertenaga!
#3. Jadualkan snek pagi dan petang untuk kawal kelaparan
Rasa lapar yang melampau boleh menggagalkan pelan diet anda. Inilah sebabnya snek ringan amat penting.
Sekitar jam 10-11 pagi dan 3-4 petang, ambil snek sihat seperti buah, segenggam kacang badam atau yogurt rendah lemak.
Ini akan menstabilkan kadar gula dalam darah dan mengelakkan anda makan berlebihan pada waktu makan utama.
#4. Jadual waktu makan malam: pastikan ringan dan tidak terlalu lewat
Kini, kita sudah pun tiba di waktu penghujung hari! Walaupun namanya ‘makan malam’, ia tidak bermakna anda perlu makan pada lewat malam.
Sebaliknya, waktu makan diet yang ideal untuk anda pada detik ini adalah sekitar waktu senja iaitu sebelum jam 8 malam.
Makan malam seharusnya lebih ringan berbanding makan tengah hari. Pilih makanan seperti sup, salad atau ikan kukus bersama sayur.
Elakkan makan lewat malam atau snek berlebihan!
Jangan makan terlalu lewat kerana makan lewat malam boleh menyebabkan kalori tubuh badan anda tidak dibakar dengan baik dan akhirnya ia akan disimpan sebagai lemak.
Jika anda sering lapar sebelum tidur, pilih snek yang ringan seperti susu rendah lemak atau sebiji buah sahaja.
Namun, pastikan snek ini diambil sekurang-kurangnya 2 jam sebelum waktu tidur untuk memberi ruang kepada tubuh mencerna makanan dengan baik.
Konsistensi adalah kunci utama
[embed-health-tool-bmi]