Mengapa pedal ada batu apabila dibersihkan?
Sebelum ini, pernah tular kes di mana seorang pembeli ayam menunjukkan pedal yang dipenuhi dengan batu-batu kecil.
Malah, gambar pedal tersebut telah ditularkan dengan menyatakan bahawa dirinya seolah-olah telah ditipu kerana berat pedal yang dipenuhi dengan batu.
Persoalannya, adakah peniaga ayam sengaja berbuat seperti yang didakwa?
Untuk pengetahuan pembaca, haiwan seperti ayam dan burung-burung lain tidak mempunyai gigi untuk mengunyah atau menghancurkan makanan yang dimakan.
Jadi, sewaktu makan, ayam akan terus menelan makanannya tanpa disiat atau digigit.
Untuk tujuan menghancurkan atau melumatkan makanan yang dimakan, ayam akan menelan bersama batu-batu kecil atau pasir yang akan bertindak sebagai gigi atau bahan pengisar makanan dalam pedal.
Dengan itu, makanan yang telah dimakan akan menjadi lebih kecil atau hancur disebabkan kehadiran batu-batu ini selain enzim dalam pedal.
Jadi, ia adalah satu perkara yang biasa atau semula jadi jika anda menjumpai ketulan batu dan pasir dalam pedal ayam yang dibeli.
Cuci bersih pedal sebelum dimasak

Memandangkan pedal adalah sebahagian daripada saluran pencernaan ayam, maka ia perlu dibersihkan dengan sebaik mungkin sebelum mula dimasak.
Jika tidak, anda pasti akan memasak bersama segala kotoran dan pasir yang terdapat pada pedal tersebut.
Apabila anda membersihkan pedal, belah ia dan bersihkan dengan menggunakan air paip sehingga tiada sebarang kotoran yang melekat.
Setelah itu, kopek dan tanggalkan selaput putih atau kekuningan yang terdapat pada bahagian dalam pedal tersebut.
Kemudian, bilas bersih sekali lagi dan barulah boleh dimasak.
Kesimpulan
Pedal merupakan antara sumber protein, vitamin dan mineral yang sangat baik dan juga murah.
Ia juga kurang kandungan lemak berbanding jenis protein yang lain.
Namun, anda tidak boleh memakannya setiap hari. Ini kerana, ia mengandungi kandungan kolesterol yang agak tinggi.
Oleh itu, jika anda memasak lauk seperti pedal masak kicap atau pedal goreng kunyit, kurangkan jumlah pedal dalam pinggan anda.
Ia sememangnya sedap tetapi boleh membahayakan kesihatan jika dimakan terlalu banyak.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen