backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Tamiflu: Ubat Terkawal Untuk Influenza Yang Dijual Secara Terbuka, Tak Semua Boleh Ambilnya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 05/10/2022

    Tamiflu: Ubat Terkawal Untuk Influenza Yang Dijual Secara Terbuka, Tak Semua Boleh Ambilnya!

    Sana sini mencari orang mencari vaksin influenza. Agak merunsingkan apabila tersebar berita stok vaksin semakin berkurang dan ada yang memilih untuk mengambil ubat antiviral seperti Tamiflu. Tetapi adakah pengambilan ubat terkawal itu adalah satu tindakan yang tepat?

    Penjualan terbuka

    Baru-baru ini, tular satu status milik salah seorang pengguna laman sosial Twitter mengenai penjualan sejenis ubat antivirus, Tamiflu, dalam sebuah aplikasi membeli-belah atas talian. Mungkin ada yang tidak tahu, Tamiflu, merupakan sejenis ubat kawalan yang boleh membantu merawat influenza tetapi bukan semua individu sesuai untuk mengambilnya.

    Apa yang membimbangkan adalah apabila penjualan ubat terkawal secara terbuka ini mungkin akan menyebabkan risiko yang tidak dijangka kepada kesihatan. Jadi persoalannya di sini, bagaimana pihak yang menjual Tamiflu ini mendapatkan stok bagi jualan tersebut? Adakah terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menjadi dalang kepada perkara ini? Ia merupakan satu isu yang perlu disiasat oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Bagi anda yang tidak pernah mendengar mengenai ubat Tamiflu, teruskan membaca perkongsian artikel daripada Hello Doktor untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai ubat terkawal ini.

    Apa itu Tamiflu?

    Tamiflu atau nama lainnya Oseltamivir Phosphate, adalah ubat antiviral yang berfungsi untuk menyekat tindakan virus influenza A dan influenza B dalam badan anda. Ubat ini digunakan untuk merawat simptom yang disebabkan oleh influenza pada individu yang mempunyai sebarang simptom jangkitan kurang daripada dua hari. 

    Ubat ini merupakan sejenis inhibitor neuraminidase influenza, yang berfungsi mencegah virus selesema daripada berkembang (menghasilkan lebih banyak virus) di dalam badan anda. Antiviral ini hadir dalam dua bentuk dan kedua-duanya perlu diambil secara oral. 

    Ia berfungsi untuk melegakan simptom influenza seperti hidung tersumbat, batuk, sakit tekak, demam atau badan menggigil, kesakitan otot dan kelesuan. Malahan ubat ini juga membantu memendekkan tempoh pemulihan dan penyembuhan sebanyak satu atau dua hari.

    Ubat ini juga boleh digunakan untuk mencegah flu jika anda terdedah kepada seseorang individu yang sudah mengalami jangkitan virus ini, seperti ahli keluarga yang sakit, atau jika jangkitan virus ini sudah menular dalam kalangan masyarakat. Tetapi sebelum anda mengambil ubatan ini, sebaiknya anda mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

    Walaupun Oseltamivir berfungsi untuk menghentikan virus influenza daripada berkembang tetapi ia bukanlah pengganti kepada vaksin influenza. Ubat ini tidak disyorkan sebagai ubat rutin bagi rawatan pencegahan (profilaksis) terhadap jangkitan influenza. Anda tetap perlu mendapatkan suntikan vaksin influenza setiap tahun bagi membantu melindungi diri anda daripada strain baru virus influenza.

    Keberkesanannya dalam merawat influenza

    Terdapat dua kajian klinikal yang melibatkan individu dewasa dengan selesema. Tujuan kajian dilakukan untuk melihat keberkesanan ubat ini, sama ada menjadikan simptom semakin berkurangan atau hilang sepenuhnya.

    Responden yang terlibat dalam kajian ini diberikan sama ada Oseltamivir atau plasebo (rawatan tanpa ubat aktif). Hasilnya, bagi individu yang mengambil ubat Oseltamivir, mereka memerlukan lebih kurang 1.3 hari untuk simptom selesema yang dialami menjadi bertambah baik, berbanding tempoh masa yang lebih lama diperlukan bagi individu yang mengambil plasebo.

    Kajian ubat antiviral ini juga dilakukan kepada kanak-kanak yang mengalami selesema, berusia antara 1 hingga 12 tahun. Mereka turut diberikan ubat sama ada Tamiflu atau plasebo. Bagi kanak-kanak yang mengambil ubat antiviral ini, mereka memerlukan lebih kurang 1.5 hari untuk simptom selesema menjadi berkurangan berbanding tempoh masa yang diperlukan oleh kanak-kanak yang diberikan plasebo. 

    Keberkesanannya dalam mencegah influenza

    Ubat Oseltamivir ini juga dikaji bagi kegunaan dalam mencegah influenza semasa musimnya. Kajian ini melihat kepada jumlah individu yang mengalami flu setelah mengambil ubat antiviral ini. Pengkaji membuat perbandingan jumlah tersebut dengan individu yang mengambil plasebo dan mendapat jangkitan flu.

    Kajian ini turut melibatkan individu sihat yang tidak mengambil suntikan vaksin flu tahunan mereka. Selain itu, individu yang berusia 65 tahun dan ke atas serta tinggal di rumah penjagaan turut terlibat dalam kajian yang dilakukan. Bagi responden yang berusia 65 tahun ke atas ini, hanya beberapa individu sahaja yang mengambil suntikan vaksin. 

    Hasil analisis kajian mendapati, satu peratus daripada mereka yang mengambil ubat antiviral ini mengembangkan jangkitan flu. Manakala, sejumlah empat hingga 12 peratus responden yang tidak mendapatkan ubatan tersebut, mengembangkan jangkitan flu.

    Kesan sampingan

    Pengambilan ubat Oseltamivir ini semestinya mempunyai kesan sampingan yang tersendiri. Ia boleh menyebabkan kesan sampingan ringan atau serius kepada individu yang mengambilnya.

    Apa yang disenaraikan di bawah adalah antara kesan sampingan yang mungkin berlaku. Walau bagaimanapun, tidak semua kesan sampingan berada dalam senarai ini. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kesan sampingan yang berkemungkinan berlaku, anda disarankan untuk berbincang dan mendapatkan rundingan dengan doktor atau ahli farmasi.

    Kesan sampingan umum

    Antara kesan sampingan yang biasa berlaku akibat pengambilan Tamiflu adalah seperti:

    Kebanyakan daripada kesan sampingan mungkin berkurangan dalam tempoh beberapa hari atau beberapa minggu. Namun, jika kesannya tidak berkurangan atau semakin teruk, lakukan pemeriksaan dengan doktor.

    Kesan sampingan serius

    Berikut pula adalah antara kesan buruk yang boleh berlaku. Pastikan anda terus menghubungi doktor anda jika mengalami kesan sampingan yang serius. Anda mungkin boleh menghubungi talian kecemasan jika anda berasakan simptom yang dialami mungkin berisiko untuk mengancam nyawa.

    Kesan sampingan serius yang mungkin berlaku adalah delirium atau tingkah laku tidak normal. Antara tanda-tanda di bawah simptom delirium akut ini adalah seperti:

    • Kelakuan yang pelik
    • Berasa seperti ‘keluar dari badan’ 
    • Halusinasi, iaitu mendengar atau melihat perkara yang tidak nyata

    Selain itu, individu yang mengambil Oseltamivir juga berisiko mengalami reaksi alahan yang teruk.

    Reaksi alahan yang teruk?

    Seperti kebanyakan ubatan, sesetengah individu akan mengalami reaksi alahan. Antara alahan ringan yang mungkin berlaku adalah seperti ruam pada kulit, kegatalan, kulit menjadi kemerahan dan berasa panas.

    Anda akan mengalami ruam pada kulit selepas pengambilan ubat antiviral ini dan ruam yang berlaku boleh mengancam nyawa dan dikenali sebagai sindrom Stevens-Johnson. Dalam situasi ini, ruam yang berlaku adalah serius dan akan menyebabkan munculnya lepuh yang banyak pada kulit anda.

    Bagi reaksi alahan yang teruk pula, ia mungkin jarang berlaku tetapi tidak mustahil untuk terjadi. Antara reaksi alahan yang mungkin dialami adalah seperti bengkak terutamanya pada bahagian kelopak mata, bibir, tangan dan kaki.

    Tindak balas bengkak juga boleh berlaku pada lidah, mulut atau tekak. Keadaan ini sudah tentu akan menyebabkan anda mengalami masalah kesukaran untuk bernafas. Jadi pastikan anda menghubungi doktor jika anda mengalami sebarang simptom selepas pengambilan ubat Tamiflu.

    Boleh berhalusinasi?

    Sesetengah individu yang mengambil ubat Oseltamivir ini akan mengalami delirium atau tingkah laku yang abnormal (pelik). Ini akan menyebabkan mereka cenderung untuk melakukan sesuatu tingkah laku yang tidak normal dan berisiko menyebabkan kecederaan fizikal atau kematian. Berhalusinasi merupakan salah satu cabang delirium, di mana seseorang individu itu mungkin akan mendengar atau melihat sesuatu yang tidak wujud.

    Kesan sampingan ini sering dilihat ke atas kanak-kanak yang mengambil ubatan ini. Jika anak anda mengalami halusinasi, sebaiknya anda perlu menghubungi doktor anda secepat mungkin.

    Mengapa tidak boleh mengambil ubat antiviral ini?

    Memang tidak dinafikan, dalam artikel ini dikongsikan mengenai keberkesannya dalam merawat influenza, jadi mengapa pula ia tidak boleh diambil secara sesuka hati? Berikut adalah beberapa sebabnya:

    Masa yang tepat

    Penyelidikan membuktikan bahawa ubat antiviral ini tidak mendatangkan manfaat jika ambil selepas dua hari berlakunya simptom. Keberkesanan ubat ini hanya akan dapat dilihat jika ia diambil dalam tempoh masa yang betul. Jadi adakah anda tahu masa yang tepat untuk mengambil ubat Oseltamivir ini?

    Membangunkan rintangan antiviral

    Influenza A adalah sejenis virus yang boleh berubah antigenik dan menyebabkan mutasi. Antivirus kumpulan Adamantane sebelum ini berkesan terhadap influenza A namun kadar rintangannya sangat tinggi pada masa kini.

    Pada masa kini, dilaporkan inhibitor neuraminidase influenza, merupakan satu-satunya ubat yang boleh merawat influenza A. Tiada sebarang laporan mengenai rintangan bagi ubat antiviral inhibitor neuraminidase influenza seperti Oseltamivir, Zanamivir dan sebagainya.

    Walau bagaimanapun, daripada penyelidikan terdahulu menunjukkan, jika pengambilan ubat Tamiflu ini dibiarkan tanpa pemantauan dan cara yang betul, ia berisiko tinggi untuk menimbulkan masalah rintangan ubat antiviral ini pada masa akan datang.

    Adakah anda tahu kesannya apabila berlaku rintangan kepada ubat antiviral? Jika ia berlaku pada masa akan datang, maka TIADA LAGI ubatan yang berkesan dan efektif yang boleh digunakan untuk melawan influenza A.

    Kesimpulan

    Sekiranya anda membeli ubatan tersebut kerana berasakan ia adalah ubat pengganti kepada suntikan vaksin influenza, anda silap. Anda masih perlu mendapatkan suntikan vaksin influenza walaupun selepas anda mengambil Tamiflu. Walau apa pun cara yang terbaik adalah untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor terlebih dahulu berkenaan pengambilan ubat Oseltamivir ini. 

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 05/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan