backup og meta

Patutlah Cirit Birit Bertambah Teruk, Ini Makanan Yang Patut Anda Elakkan!

Fakta Disemak oleh Nurul Halifah


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 10/01/2023

    Patutlah Cirit Birit Bertambah Teruk, Ini Makanan Yang Patut Anda Elakkan!

    Tahukah anda tentang beberapa makanan penyebab cirit birit? Ini kerana semasa anda mengalami cirit birit, keinginan untuk membuang air besar akan lebih tinggi di waktu ini.

    Keadaan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja pada bila-bila masa. Ia juga boleh berlangsung selama beberapa minggu. Sekali gus, ia boleh memberi kesan kepada kehidupan harian anda.

    Terdapat pelbagai penyebab cirit birit, tetapi yang paling biasa terjadi adalah disebabkan tabiat buruk kita sendiri. Sebagai contoh, makan makanan yang tidak bersih atau tidak mencuci tangan.

    Steven Kussin, MD, Pakar Gastroenterologi New York dan pengarang Doctor, Your Patient Will See You Now, berkata mencuci tangan adalah salah satu cara yang paling berkesan untuk elak kuman dan bakteria yang boleh menyebabkan cirit-birit.

    “The American Society of Microbiology mendapati bahawa 97% wanita dan 92% lelaki mengatakan mereka membasuh tangan selepas menggunakan tandas. Walau bagaimanapun, hanya 75% wanita dan 58% lelaki sahaja yang sebenarnya melakukannya,” kata Dr. Kussin.

    Menurut Dr. Kussin, hanya dengan membasuh tangan dengan kerap, anda boleh menghentikan cirit-birit atau sekurang-kurangnya elak daripada menjadi lebih teruk.

    Oleh itu, berikut merupakan makanan penyebab cirit birit yang harus anda elakkan. 

    Makanan penyebab cirit birit 

    #1. Penyebab cirit birit – Elakkan produk tenusu

    penyebab cirit birit

    Produk tenusu boleh membuatkan keadaan anda menjadi lebih teruk.

    Menurut Sandra Quezada, Penolong Profesor di Universiti Maryland, seperti yang dilaporkan oleh WebMD, mengesyorkan bahawa jika anda mengalami cirit-birit kronik, anda disarankan menghentikan semua penggunaan tenusu. 

    “Salah satu makanan dan minuman paling biasa yang boleh menyebabkan cirit-birit kronik adalah yang mengandungi tinggi laktosa,” katanya. 

    #2. Penyebab cirit birit – Makanan tinggi serat

    Serat adalah baik untuk badan dan hendaklah sentiasa diletakkan dalam diet anda.

    Walau bagaimanapun, Dr. Kussin mengesyorkan bahawa anda harus mengehadkan makanan yang tinggi serat seperti sayur-sayuran dan bijirin penuh kerana ia akan menjadi sukar untuk dihadam apabila mengalami cirit-birit.

    #3. Penyebab cirit birit – Gluten

    Selain menyekat pengambilan serat, anda harus elak makanan yang mengandungi gluten  iaitu protein yang terkandung dalam produk yang diproses seperti tepung gandum.

    Selalunya, individu yang perlu elak pengambilan gluten adalah mereka yang mempunyai penyakit seliak (ketidakupayaan untuk memproses gluten).

    Meskipun anda tidak mengalami penyakit seliak, keadaan anda akan menjadi lebih baik jika elak mengambil gluten, terutamanya apabila  mengalami cirit-birit.

    Selain itu, Dr. Kussin juga menyarankan bahawa pesakit perlu ambil makanan yang mudah dicerna seperti sup, roti bakar, daging tanpa lemak dan minum banyak air kosong. 

    #4. Makanan berminyak dan berlemak

    penyebab cirit birit

    Makanan berminyak dan berlemak boleh menegangkan otot abdomen lalu membuatkan cirit-birit semakin teruk.

    “Makanan ini boleh melambatkan pengosongan perut, sehingga membuatkan perut terasa kembung,” kata Douglas.

    #5. Alkohol dan kafein

    Alkohol dan kafein, kedua-duanya boleh menyebabkan cirit-birit. Jika anda sudah terbiasa minum kopi pada waktu pagi atau di waktu malam, anda perlu berhenti untuk seketika bagi mengelakkan keadaan dari menjadi lebih buruk.

    #6. Ubat yang menghentikan cirit-birit

    Jika anda ingin mengambil ubat cirit birit disebabkan oleh virus ia dibolehkan, tetapi jangan guna ubat-ubatan yang menghalang kekerapan pergerakan usus.

    Jadi, apa yang perlu dilakukan?

    #1. Minum banyak air masak 

    Cirit-birit boleh menyebabkan anda kehilangan banyak cecair. Jadi, anda perlu kekalkan diri dalam keadaan terhidrat.

    Selain minum banyak air masak, anda juga boleh amalkan jus buah-buahan dan sup, yang boleh menggantikan jumlah cecair dan elektrolit yang hilang dalam badan. 

    #2. Basuh tangan dengan kerap

    Cara yang paling mudah untuk elak kuman dan bakteria adalah dengan mencuci tangan secara berkala. Kaedah ini adalah sangat mudah, tetapi ramai yang tidak melakukannya dengan betul atau langsung tidak mengamalkannya.

    Semasa mencuci tangan apa yang perlu anda buat adalah menggosok kedua-dua tapak tangan, belakang tangan, jari jemari dan kuku. Lakukan sekurang-kurangnya 20 saat.

    Pastikan anda melakukannya sebelum dan selepas menyediakan makanan. Juga basuh tangan sebelum dan selepas makan. Selain, setiap kali menyentuh haiwan kesayangan atau selepas menggunakan tandas. 

    #3. Apabila keadaan bertambah buruk, jangan abaikan simptom yang muncul 

    Jika anda mengalami cirit-birit yang teruk lebih daripada 4 minggu, cirit-birit berdarah, cirit-birit berlaku hanya pada waktu malam, atau diikuti sakit perut, loya, muntah-muntah, demam dan kehilangan berat badan, sila segera berjumpa doktor.

    Pemeriksaan doktor adalah pilihan yang terbaik jika terdapat tanda-tanda penyakit yang lebih serius.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Nurul Halifah


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 10/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan