Fakta Tentang Kanser Paru-Paru Di Malaysia

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kanser paru-paru adalah kanser nombor 3 di Malaysia

Merupakan antara 5 kanser paling kerap berlaku di Malaysia, kanser paru-paru berada di kedudukan ke-3 selepas kanser payudara dan kanser kolorektal (usus). Ia merangkumi 10.2 peratus daripada keseluruhan kes kanser yang dilaporkan di Malaysia.

Mana tidaknya, bilangan orang yang merokok bukanlah angka yang sedikit. Sebanyak 22.8 peratus rakyat Malaysia dilaporkan merokok pada tahun 2016. Dengan rokok sebagai faktor utama bagi kanser ini, tentunya banyak kes yang ditemui.

Bukan sahaja di Malaysia, kanser paru-paru malah dilaporkan oleh World Cancer Research Fund International sebagai kanser nombor satu di dunia pada tahun 2012. Jadi, ia bukan sekadar masalah di dalam negara tetapi merupakan satu isu global.

Kanser paru-paru mencatatkan angka kematian tertinggi

Berbanding dengan kanser lain, kanser paru-paru mempunyai peratusan kematian paling tinggi. Di Malaysia khususnya, 90 peratus daripada kes dikesan pada tahap lanjut (3 dan 4). Pada tahap ini, hanya kurang daripada 20 peratus pesakit hidup lebih daripada 5 tahun selepas diagnosis.

Disebabkan diagnosis yang lewat, kebanyakan pesakit akan menemui ajal dalam tempoh beberapa bulan sahaja selepas diagnosis.

Ujian saringan yang terbaik setakat ini adalah menggunakan pengimbas CT. Namun, tiada program ujian saringan di peringkat nasional di Malaysia. X-ray semata-mata tidak akan dapat mengesan dengan awal. Sebaliknya, ia hanya akan kelihatan jelas pada fillem X-ray apabila tumor sudah bersaiz besar.

Kesedaran masyarakat adalah masih rendah

Meskipun mencatatkan bilangan kes dan angka kematian yang tinggi, kesedaran tentang kanser ini masih pada tahap yang tidak memuaskan. Ramai yang mungkin mempunyai maklumat tentangnya tetapi tidak ramai yang benar-benar mengambil langkah untuk mengelakkan diri daripadanya.

Statistik merokok terus meningkat.

Terdapat banyak pilihan rawatan di Malaysia

Bidang kesihatan di Malaysia berkembang selari dengan pemodenan teknologi perubatan di peringkat global. Bagi kanser paru-paru, terdapat banyak pilihan rawatan di Malaysia.

Pilihan yang ada termasuk:

  • Pembedahan.
  • Radioterapi/radiosurgeri.
  • Kemoterapi.
  • Imunoterapi.
  • Terapi bersasar (targetted therapy).

Setiap pilihan adalah berbeza mengikut tahap kanser dan keadaan pesakit. Perubahan yang berlaku dalam cara merawat kanser paru-paru telah memberikan dimensi baru kepada doktor dan pesakit dalam melihat kes kanser paru-paru.

Kini, kelangsungan hidup mampu dilanjutkan dengan rawatan yang betul.

Bagaimana kanser paru-paru menyebabkan kematian?

Terdapat banyak cara kanser ini menyebabkan kematian. Ini termasuk:

  • Tisu kanser menjejaskan tisu normal paru-paru sehingga pesakit gagal mengambil oksigen daripada udara. Ini menyebabkan sesak nafas.
  • Jangkitan paru-paru. Pesakit kanser secara amnya mempunyai sistem ketahanan (imun) badan yang lemah. Ditambah dengan tisu paru-paru yang rosak, pesakit berisiko tinggi mendapat jangkitan.
  • Kanser merebak (metastasis). Sel-sel kanser mungkin masuk ke dalam darah dan pergi ke organ-organ lain seperti otak, hati dan tulang. Semua ini akan melemahkan lagi sistem badan pesakit.
  • Pendarahan paru-paru (hemothorax). Sel-sel kanser boleh menyerang saluran darah sehingga berlaku pendarahan. Keadaan ini mengakibatkan pesakit susah bernafas dan lebih berisiko mendapat jangkitan.

Dalam kebanyakan kes, tiada satu sebab yang khusus tetapi biasanya berpunca daripada kombinasi oleh beberapa sebab di atas.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut