Selain itu, ia juga boleh berlaku disebabkan jangkitan ataupun iritasi pada saluran pernafasan. Antara penyakit lain yang boleh menyebabkan batuk berdarah adalah:
- Bronkitis akut atau kronik.
- Saluran pernafasan yang tercedera disebabkan sista fibrosis.
- Pneumonia.
- Batuk kering.
- Penyakit penghalang pulmonari kronik (COPD).
- Jangkitan parasit.
- Embolisme pulmonari.
- Trauma pada kawasan dada.
- Penyalahgunaan dadah (terutamanya kokain).
Kadangkala, individu yang mengalami hidung berdarah yang teruk atau pendarahan dari kawasan mulut dan tekak juga boleh mengalami simptom seakan-akan batuk berdarah.
Batuk berdarah boleh buatkan sesiapa sahaja menjadi panik. Malah, simptom ini juga boleh membuatkan anda jadi keliru dan tidak tahu sama ada anda perlu bantuan perubatan ataupun tidak.
Sebagai panduan, dapatkan bantuan jika anda mengalami simptom lain seperti:
- Darah di dalam tinja.
- Sakit dada.
- Hendak pitam atau pening kepala.
- Tidak lalu makan.
- Sesak nafas.
- Pengurangan berat badan.
- Rasa lemah dan tidak bertenaga.
Berjumpalah doktor dengan segera untuk mendapatkan diagnosis yang berkenaan. Batuk berdarah merupakan satu kecemasan, lebih-lebih lagi jika amaun yang keluar lebih daripada 1/3 cawan.
Batuk berdarah disebabkan oleh kanser paru-paru

Kanser paru-paru selalunya tidak akan menyebabkan sebarang simptom sehinggalah ia telah merebak. Namun, ada juga pesakit yang mengalami simptom sebelum didiagnosis.
Namun, jika anda mengalami batuk berdarah, masih ada kemungkinan untuk ia berlaku disebabkan penyakit lain. Paling penting, pastikan anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Batuk berdarah disebabkan oleh kanser paru-paru merupakan salah satu simptom utama penyakit tersebut. Tetapi, ada juga beberapa simptom lain yang perlu diperhatikan seperti:
- Batuk yang tidak sembuh atau semakin teruk.
- Sakit dada ketika batuk, bernafas atau ketawa.
- Suara menjadi garau.
- Tidak berselera makan.
- Sesak nafas.
- Penat dan sering rasa lemah.
- Jangkitan seperti bronkitis dan pneumonia yang sukar untuk sembuh.
Perokok dan mereka yang terdedah kepada asap sekunder merupakan golongan yang paling berisiko untuk menghidap kanser paru-paru.
Setiap rokok yang dibakar, semakin tinggilah risiko untuk menghidap kanser paru-paru. Berhenti merokok, tidak kiralah pada usia apapun dapat membantu mengurangkan risiko kanser paru-paru dengan drastik.
Kesimpulan
Batuk berdarah disebabkan oleh kanser paru-paru merupakan satu simptom yang berbahaya dan merisaukan. Namun, ia juga boleh berlaku disebabkan penyakit lain seperti bronkitis, pneumonia atau COPD.
Oleh sebab itu, diagnosis oleh doktor amat penting sebelum anda bertindak membuat sebarang kesimpulan.
Rawatan untuk masalah batuk berdarah berbeza mengikut penyakit. Jika ia bersifat sederhana dan sementara, ia boleh dirawat menggunakan ubat batuk.
Namun, batuk yang berlangsung dalam jangka masa panjang perlu diperiksa oleh doktor dengan kadar segera.
Malah, dalam 15 hingga 20% kes batuk berdarah, doktor tidak dapat mengenal pasti sebab dan punca di sebalik simptom tersebut. Malah, penyakit ini juga didapati sembuh dengan sendirinya.
Jika anda risau mengenai kanser paru-paru, pastikan anda berhenti merokok. Merokok bukan sahaja menjadi punca utama kanser paru-paru, ia juga punca kanser lain seperti kanser mulut dan tekak, perut, kolon, hati dan banyak lagi.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen