backup og meta

Rawatan Kanser Paru-Paru, Ini Pembedahan & Ubatan Yang Perlu Pesakit Kanser Tahu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 19/10/2022

    Rawatan Kanser Paru-Paru, Ini Pembedahan & Ubatan Yang Perlu Pesakit Kanser Tahu

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Paru-Paru, sila dapatkannya di sini.

    Ada pelbagai cara merawat atau mencegah kanser atau radang yang boleh dicadangkan oleh doktor kepada pesakit barah paru-paru. Pesakit boleh pilih untuk melakukan rawatan setempat, rawatan sistemik ataupun rawatan alternatif yang lain.

    Setiap rawatan mempunyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri. Oleh itu, berbincangkan dengan doktor anda berkenaan cara merawat kanser yang bersesuaian dengan jenis dan tahap kanser yang anda alami.

    Rawatan setempat (local treatment)

    1. Pembedahan 

    Jika pesakit mempunyai kanser atau radang paru-paru yang masih belum merebak, doktor akan mencadangkan supaya pesakit melakukan pembedahan untuk membuang sel kanser tersebut dari badan. Pembedahan merupakan cara merawat kanser yang paling lazim dilakukan. 

    Ketika pembedahan, doktor akan membuang sel kanser tersebut bersama sedikit tisu disekelilingnya. Jumlah tisu yang dibuang bergantung kepada saiz dan juga sejauh mana tumor telah merebak.

    Terdapat 4 jenis pembedahan paru-paru:

    • Wedge resection – Doktor akan membuang sebahagian kecil paru-paru dalam bentuk baji.
    • Segmentectomy – Pembedahan ini akan membuang bahagian paru-paru yang lebih besar, tetapi bukan seluruh lobus.
    • Lobectomy – Pembedahan untuk membuang seluruh lobus paru-paru.
    • Pneumonectomy – Pembedahan untuk membuang seluruh organ paru-paru.

    2. Terapi radiasi

    Terapi radiasi menggunakan pancaran tenaga berkuasa tinggi yang menyerupai X-ray ataupun partikel lain seperti proton untuk membunuh sel kanser.

    Sama seperti pembedahan, terapi radiasi tidak boleh digunakan untuk merawat kanser yang telah merebak ke bahagian badan yang lain. Sinaran yang digunakan ketika terapi radiasi ini akan diarahkan terus kepada bahagian badan yang memerlukan rawatan.

    Walau bagaimanapun, rawatan jenis ini turut membunuh sel yang sihat. Atas sebab ini, ia tidak boleh digunakan untuk merawat kawasan yang besar.

    Pesakit yang menghidap kanser paru-paru boleh menjalani terapi radiasi sebelum ataupun selepas pembedahan. Selalunya terapi ini dilakukan secara kombinasi dengan rawatan yang lain seperti pembedahan ataupun kemoterapi.

    Rawatan sistemik

    1. Kemoterapi

    Kemoterapi merupakan sejenis rawatan yang menggunakan ubat untuk membunuh sel kanser yang sedang membesar dan merebak dengan aktif. Ubat kemoterapi akan diberikan melalui saluran intravena pada bahagian lengan atau diambil secara oral.

    Pesakit yang menghidap kanser paru-paru tahap akhir akan diberikan rawatan ini dengan tujuan untuk melegakan simptom dan kesakitan yang mereka alami.

    Kemoterapi telah terbukti dapat membantu meningkatkan jangka hayat pesakit kanser dan memperbaiki kualiti hidup mereka. 

    2. Terapi bersasar (targeted theraphy)

    Terapi bersasar ialah rawatan yang menyasarkan gen, protein atau tisu yang spesifik lalu menghalang mereka daripada membesar ataupun menjangkiti sel lain.

    Terapi ini menggunakan ubat yang boleh diberikan secara oral atau melalui saluran intravena.

    Cara merawat ini selalunya diberikan kepada individu yang mengalami kanser atau radang paru paru secara berulang ataupun yang sudah mencapai tahap kritikal.

    Beberapa jenis terapi bersasar hanya berfungsi jika sel yang disasarkan mempunyai mutase genetic yang tertentu. Oleh itu, sebelum melakukan rawatan ini, doktor akan memeriksa sama ada sel tersebut mempunyai respons yang positif atau tidak terhadap ubat yang diberikan.

    3. Terapi imun

    Terapi imun merupakan sejenis rawatan yang menggunakan sistem imunisasi sendiri untuk melawan sel kanser dalam badan.

    Ubat yang diberikan sewaktu terapi imun membantu badan untuk mengenal pasti sel kanser yang berbahaya. Oleh itu, sistem imun badan boleh menyerang sel kanser tersebut dan memusnahkannya.

    Walau bagaimanapun, seperti rawatan kanser yang lain, terapi imun juga mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri seperti rasa penat, batuk-batuk, sesak nafas dan loya.

    Terapi imun boleh mengakibatkan inflamasi pada organ badan. Oleh itu, sebelum anda melakukan apa-apa jenis terapi, berbincang dengan doktor terlebih dahulu supaya anda lebih bersedia ketika menerima rawatan nanti.

     

    Rawatan alternatif

    Selain rawatan yang dinyatakan di atas, ada beberapa rawatan alternatif yang boleh dilakukan oleh pesakit yang menghidap kanser. Malah, ada pesakit yang mengakui bahawa rawatan alternatif ini berkesan untuk melegakan simptom yang mereka alami.

    Namun, jika anda mempertimbangkan untuk melakukan rawatan alternatif, pastikan anda membuat kajian terlebih dahulu. Pastikan cara rawatan yang digunakan selamat untuk merawat pesakit radang paru paru. 

    Rawatan alternatif yang tidak mempunyai sebarang sokongan dari segi saintifik boleh membawa mudarat kepada pesakit. Jadi, pastikan anda elakkan sebarang rawatan yang banyak memberikan janji-janji palsu seperti:

    1.   Boleh memulihkan kanser
    2.   Menghalang anda daripada mengambil ubat-ubatan yang diberikan oleh pihak hospital
    3.   Anda terpaksa berjumpa pengamal perubatan ini secara rahsia

    Pastikan anda bercakap dengan doktor terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang rawatan alternatif.

    1. Akupuntur

    Akupuntur merupakan sejenis rawatan tradisional yang berasal daripada negara China. Rawatan ini tidak menyakitkan dan terbukti dapat mengurangkan simptom yang dialami pesakit kanser paru-paru seperti kesakitan, depresi, keresahan, dan loya.

    Mengikut kajian, pesakit kanser paru-paru yang melakukan amalan meditasi, berurut, dan akupuntur disamping mengikuti rawatan standard di hospital mengakui simptom mereka berkurangan dan dapat hidup dengan lebih selesa.

    2. Urutan

    Urutan merupakan sejenis rawatan yang boleh dilakukan untuk menenangkan pesakit. Tukang urut selalunya akan menggunakan tangan dan kaki mereka untuk mengurut kawasan otot pesakit supaya kesakitan yang dialami dapat dikurangkan.

     Jenis urutan yang kerap digunakan bersama rawatan kanser ialah:

    1.   Urutan aromaterapi menggunakan minyak pati
    2.   Refleksologi, atau reflesologi kaki

    Selain mengurangkan kesakitan yang pesakit alami, cara merawat jenis ini juga boleh bantu pesakit radang paru paru tidur lebih lena dan mengurangkan kepenatan yang dialami pesakit.

     3. Hipnosis

    Menurut Wellness Institut, rawatan hipnosis dapat membantu pesakit untuk meredakan kegelisahan, rasa loya dan sakit yang disebabkan oleh kanser. Hipnosis merupakan satu cara merawat kanser yang masih asing bagi rakyat Malaysia. 

     4. Meditasi

    Meditasi merupakan satu amalan yang boleh dilakukan untuk mengurangkan tekanan yang diakibatkan oleh kanser paru-paru. Individu yang mengamalkan meditasi dan kawalan pernafasan yang betul juga dapat membantu paru-paru mereka berfungsi dengan lebih baik.

     

    Ubat-ubatan berasaskan herba

    cara merawat kanser

    Ubat-ubatan berasaskan herba boleh digunakan untuk merawat penyakit dan sihatkan badan. Walau bagaimanapun, masih tiada bukti kukuh yang menyokong penggunaan ubat-ubatan berasaskan herba untuk merawat kanser paru-paru.

    Namun, kajian masih dijalankan di seluruh dunia untuk mencari herba yang sesuai digunakan untuk merawat kanser paru-paru. 

    Sebagai contoh, sebuah kajian telah dijalankan oleh Rama S Ranga mendapati bahawa ubat tradisional India, Rasagenthi Lehyam (RL) mempunyai sifat anti-kanser yang boleh digunakan untuk merawat kanser paru-paru.

    Walau bagaimanapun, masih banyak lagi kajian yang perlu dilakukan sebelum herba ini dapat digunakan sebagai ubat untuk merawat kanser paru-paru.

    Berhenti merokok

    Amalan merokok merupakan punca utama yang mengakibatkan kematian dalam kalangan pesakit kanser. Hampir 85% kes kanser paru-paru adalah berkaitan dengan amalan merokok.

    Salah satu cara yang berkesan untuk mengurangkan risiko kanser paru-paru ialah dengan berhenti merokok. 

    Individu yang berhenti merokok boleh meningkatkan kadar survival kanser paru-paru tidak kira semasa bila mereka berhenti dari merokok.  

    Elakkan pendedahan asap sekunder

     Individu yang tidak merokok boleh terdedah dengan asap sekunder melalui:

    1.   Individu lain yang merokok
    2.   Pendedahan kepada asap rokok ataupun paip.

    Menurut kajian, individu yang tinggal dengan perokok mempunyai risiko untuk menghidap kanser paru-paru sebanyak 20% hingga 30%.

    Anda boleh elakkan asap sekunder dengan beberapa cara yang mudah. Salah satunya ialah dengan mengharamkan amalan merokok di dalam rumah, Jangan benarkan ahli keluarga atau kawan-kawan anda merokok di dalam kenderaan.

    Uji rumah untuk kehadiran gas radon

    Disebabkan gas radon tidak mempunyai sebarang bau atau rasa, hanya satu cara sahaja yang boleh anda lakukan untuk mengetahui sama ada rumah anda dicemari dengan gas radon iaitu dengan cara mengujinya.

    Anda boleh minta pertolongan daripada pihak profesional atau beli kit yang boleh didapati di kedai hardware yang berdekatan.

    Elakkan pendedahan terhadap karsinogen di tempat kerja

    Jika anda terdedah dengan bahan kimia beracun di tempat kerja, pastikan anda menggunakan pakaian perlindungan yang bersesuaian untuk elakkan diri daripada terdedah dengan bahan kimia yang boleh memudaratkan paru-paru anda.

    Sebelum memulakan kerja, pastikan anda rujuk MSDS (Material Safety Data Sheet) untuk mengetahui bahaya dan risiko bahan yang anda gunakan semasa kerja terhadap kesihatan diri. 

    Ambil makanan yang sihat

    cara merawat kanser

    Amalkan makan lebih sayur dan buah-buahan dalam diet seharian. Jika boleh, makan dua hidangan buah-buahan dan lima hidangan sayur setiap hari untuk rendahkan risiko anda menghidap kanser. Pesakit yang amalkan diet sihat sebegini boleh menghalang kanser dari berulang.

    Senaman

    Senaman boleh membantu menghalang dan merawat kanser atau radang paru-paru dengan cara mengurangkan inflamasi, mengekalkan berat badan atau paras normal dan bantu menguatkan sistem imun badan.

    Amalkan senaman aerobik selama 30 minit sebanyak 3 kali seminggu untuk badan yang lebih cergas dan sihat. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 19/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan