Pernah tak anda terlihat gejala kencing manis iaitu warna gelap pada permukaan kulit di bahagian leher, ketiak dan beberapa lokasi lain pada mereka yang menghidap kencing manis atau penyakit diabetes?
Jika anda tertanya-tanya, itu bukan daki tau. Tak kiralah jika anda sental dengan sabun mana pun, ia tidak akan hilang.
Keadaan kulit tersebut dikenali sebagai akantosis nigrikans. Ia kebiasaannya merupakan pengisyaratan badan bahawasanya anda mungkin mengalami keadaan kesihatan yang serius seperti gejala kencing manis.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.
Gejala kencing manis & masalah kulit akantosis nigrikans
Akantosis nigrikans merupakan masalah hiperpempigmenan (kulit menjadi gelap disebabkan oleh pengumpulan lebihan melanin) yang kerap kali terjadi pada bahagian badan seperti:
- Ketiak
- Kelangkang
- Leher
- Siku
- Lutut
- Buku tangan
- Bibir
- Tapak tangan
- Tapak kaki
Ia sering dikaitkan dengan penyakit diabetes. Walau bagaimanapun, jika anda mengalami keadaan ini, tidak semestinya anda mempunyai masalah kencing manis.
Terdapat punca lain yang boleh memberikan manifestasi kulit yang sebegini rupa. Rawatan terhadap punca tersebut akan mengembalikan warna kulit pada bahagian yang tersenarai kembali pulih kepada warna kulit asal.
Selain daripada penyakit diabetes, faktor risiko lain seperti individu yang mengalami masalah berat badan berlebihan dan mereka yang mempunyai keadaan prediabetes turut menyumbang kepada terjadinya permasalahan ini.
Menurut Akademi Dermatologi Amerika, individu yang berasal daripada keturunan Afrika, Carribean dan Hispanik berisiko tinggi untuk mendapat akantosis nigricans apabila jisim berat badan mereka (BMI) melebihi paras normal.
Ia mempunyai pola distribusi yang sama mengikut jantina. Perlu juga diingatkan bahawa kanak-kanak yang mengalami permasalahan kulit ini mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat masalah kencing manis apabila mereka dewasa kelak.
Ini bermakna, selain daripada menjadi gejala kencing manis, ia juga boleh dijadikan indikator kepada risiko untuk mendapat penyakit kronik kelak. Maka rawatan pencegahan berkaitan dengan penyakit tertentu seperti perubahan gaya hidup perlu dimulakan pada peringkat awal.
Insulin tinggi punca akantosis nigrikan?
Tidak hairanlah mengapa ramai dalam kalangan individu yang sering beranggapan akantosis nigrikan ini berlaku spesifik sebagai gejala kencing manis.
Ini berikutan tompokan hitam kulit tersebut merupakan kesan daripada sel kulit epidermal yang tumbuh secara laju disebabkan oleh paras insulin yang tinggi dalam darah.
Bila lagi paras insulin tinggi di dalam darah? Punca yang paling lazim adalah kencing manis jenis 2. Proses patologikal yang berlaku bagi mereka yang menghidap penyakit diabetes jenis 2 menyebabkan paras insulin tinggi di dalam darah.
Insulin merupakan hormon yang dirembeskan oleh sel beta pankreas bertujuan untuk membuka laluan masuk untuk glukosa ke dalam sel. Laluan tersebut dikunci oleh reseptor insulin yang terletak pada permukaan sel. Glukosa perlu dibantu oleh insulin untuk masuk ke dalam sel melalui ikatan di antara insulin dan reseptor insulin.
Dalam individu yang sihat, permukaan sel mereka akan mempunyai jumlah reseptor insulin yang mencukupi. Tetapi, buat mereka yang menghidap gejala kencing manis jenis 2, jumlah reseptor tersebut berkurangan menyebabkan paras glukosa di dalam darah tinggi kerana ia tidak boleh masuk ke dalam sel dan paras insulin tinggi kerana tidak banyak pengikatan dengan reseptor insulin berlaku.
Keadaan ini dipanggil sebagai kerintangan insulin. Selain daripada membuka laluan untuk glukosa masuk ke dalam sel, insulin juga boleh merangsang pertumbuhan sel kulit pada kadar yang sangat cepat. Ini akan menyebabkan kulit anda menjadi gelap memandangkan sel baru tersebut mempunyai banyak molekul melanin.
Model ini menguatkan kencing manis sebagai punca kepada terjadinya masalah akantosis nigrikan. Ia merupakan satu faktor ramalan yang kuat untuk tahu berkenaan dengan kebarangkalian seseorang individu itu untuk mendapat kencing manis kelak.
Jika bukan gejala kencing manis?
Percaya ataupun tidak, bukan semua individu yang mempunyai masalah kulit akantosis nigrikan menghidap kencing manis. Ada dalam kalangan mereka yang mengalami permasalahan ini berikutan daripada kesan sampingan ubat seperti pil cegah kehamilan, ubat tiroid dan suplemen bina badan.
Persamaan kesan ubat tersebut dengan penyakit diabetes adalah ia juga akan menyebabkan perubahan pada paras insulin di dalam darah. Jika individu yang menggunakan ubat tersebut berhenti mengambilnya, akantosis nigrikan akan hilang.
Keadaan kesihatan lain seperti penyakit Addison, sindrom ovari polisistik dan hipotirodisme juga boleh menjadi punca kepada berlakunya masalah kulit ini. Paling jarang berlaku adalah apabila akantosis nigrikan merupakan manifestasi kanser seperti kanser perut dan limfoma.
Diagnosis dan rawatan terhadap gejala kencing manis
Bukannya sukar pun untuk kita mengenal rupa akantosis nigrikan melalui penglihatan mata kasar. Persoalan yang akan menarik minat doktor adalah berkenaan dengan paras gula di dalam darah anda. Jika ia tinggi, maka anda akan didiagnosis dengan penyakit kencing manis.
Bagi mereka yang tidak didiagnosis dengan masalah kronik tersebut, penting untuk anda memberitahu doktor berkenaan dengan ubat-ubatan, suplemen atau penyakit kronik yang anda hidapi bagi memudahkan doktor untuk mencapai sesuatu diagnosis.
Jika anda mempunyai akantosis nigrikan, ketahuilah bahawa ia cuma simptom kepada sesuatu penyakit atau kesan sampingan kepada sesuatu rawatan. Ia bukan penyakit maka cara untuk menghilangkannya adalah dengan merawat penyakit sedia ada agar jumlah insulin di dalam darah menurun.
Jika anda mempunyai masalah berat badan berlebihan, tukar gaya hidup anda kepada yang lebih aktif. Bagi sesetengah individu, ubat-ubatan akan dipreskripsikan supaya jumlah gula di dalam darah mereka terkawal.
Kebanyakan rawatan seperti sabun antibakteria, terapi laser dan pencerah kulit hanya mampu untuk menutupi keburukan rupa akantosis nigrikan tersebut. Ia tidak akan hilang melainkan punca kepada terbentuknya tompokan masalah kulit tersebut telah dirawat
Konklusi
Jika anda mempunyai masalahan kulit tersebut atau menyangka ia gejala kencing manis, sila berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan kesihatan dan rawatan lanjut. Akantosis nigrikan hanya boleh dirawat jika punca kepada masalah kulit itu dirawat. Amalkan gaya hidup sihat, pantau paras gula dalam darah dan lakukan aktiviti senaman secara kerap.
Jika anda bergelut dengan masalah berat badan berlebihan, minta rujukan kepada pakar pemakanan. Penurunan berat badan bukan sahaja akan dikaitkan dengan penurunan risiko untuk anda mendapat kencing manis malah penyakit kronik yang lain seperti hipertensi, masalah jantung dan strok.
[embed-health-tool-bmi]