Bagaimana ingin tahu sekiranya anda mempunyai kencing manis atau tidak? Ada kepentingan untuk anda mengetahui tanda kencing manis tinggi gula ini.
Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group
Bagaimana ingin tahu sekiranya anda mempunyai kencing manis atau tidak? Ada kepentingan untuk anda mengetahui tanda kencing manis tinggi gula ini.
Maka, kami akan senaraikan beberapa tanda kencing manis peringkat awal untuk makluman anda semua.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkan di sini.
Keadaan kerap membuang air kecil ini dikenali sebagai poliuria. Antara salah satu tanda kencing manis peringkat awal yang sering berlaku ialah kerap membuang air kecil.
Ini berlaku apabila buah pinggang anda tidak dapat memproses jumlah glukosa yang tinggi dalam badan.
Oleh itu, buah pinggang menyingkirkan sebahagian daripadanya melalui air kencing.
Salah satu tanda kencing manis peringkat awal yang lain ialah kekerapan berasa dahaga lebih daripada biasa.
Apabila anda kerap membuang air kecil, secara automatiknya tubuh badan akan mengalami dehidrasi dan menyebabkan anda dahaga.
Selain itu, apabila gula dalam darah anda berada pada paras yang terlalu tinggi, ia juga boleh menyebabkan anda berasa dahaga dengan lebih kerap.
Anda juga kurang berasa puas walaupun setelah minum banyak air.
Tanda awal lain yang menunjukkan bahawa anda mengalami kencing manis ialah kewujudan tompok gelap pada kulit anda.
Ia lebih kerap berlaku di kawasan sekitar leher, ketiak dan di celah kelangkang.
Selain itu, kulit juga akan menjadi lebih tebal daripada biasa.
Punca yang menyebabkan kewujudan tompok hitam ini adalah kerana keadaan insulin yang berlebihan dalam darah.
Jika luka anda kerap kali mengambil masa yang terlalu lama untuk sembuh, ia juga adalah tanda awal kencing manis.
Salah satu sebab mengapa luka ini lambat sembuh adalah kerana salur darah anda.
Paras gula darah yang tinggi akan menyempitkan salur darah, sekali gus memperlahankan aliran darah.
Ini akan menyebabkan kawasan luka tersebut terhalang daripada mendapat oksigen dan nutrien untuk kembali sembuh.
Selain itu, paras gula darah yang tinggi dalam tempoh yang lama juga boleh merencatkan sistem imun tubuh.
Disebabkan itu, tubuh badan anda akan mengambil masa yang lebih lama untuk melawan jangkitan pada luka tersebut.
Sel-sel tubuh akan menggunakan glukosa sebagai ‘makanan’ atau sumber tenaga untuk mereka kekal berfungsi dengan baik.
Namun, apabila sistem ini telah musnah disebabkan kesan kencing manis, maka sel tubuh tidak lagi dapat menyerap glukosa daripada darah.
Kesannya, tubuh badan anda akan mencari sumber tenaga lain yang kemudiannya menyebabkan anda berasa lapar.
Oleh sebab itu, jika anda kerap berasa lapar melebihi keadaan biasa, ia mungkin tanda kencing manis tinggi gula.
Tanda lain yang mungkin menandakan bahawa anda mempunyai kencing manis ialah gangguan penglihatan.
Penglihatan anda mungkin akan kabur disebabkan kencing manis.
Apabila gula darah terlalu tinggi, ia juga boleh merosakkan salur-salur darah kecil yang terdapat pada mata anda.
Akibatnya, cecair pada mata akan meresap masuk ke dalam lensa atau kanta mata dan menyebabkan penglihatan menjadi kabur.
Apabila anda mengalami diabetes dalam tempoh yang agak lama, ia juga boleh menjejaskan atau merosakkan saraf anda.
Keadaan ini dikenali sebagai neuropati diabetes.
Apabila saraf anda itu mengalami kerosakan akibat kencing manis, tubuh badan anda mungkin akan kerap berasa kebas atau kesemutan.
Antara kawasan yang mungkin sering berasa kebas adalah seperti di kawasan tangan, jari dan juga kaki – ia juga tanda kencing manis tinggi.
Jika anda ada mengalami salah satu daripada simptom di atas ini, ia mungkin bermakna bacaan kencing manis terlalu tinggi. Jadi, segeralah berjumpa dengan doktor untuk melakukan ujian diabetes.
Ini untuk memastikan keadaan diabetes anda dapat dikesan dan dikawal dengan lebih awal sekali gus mengelakkan komplikasi lain.
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen