backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Penghidap Diabetes, 3 Jenis Vitamin Ini Boleh Bantu Kurangkan Masalah Saraf Anda!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 22/02/2022

    Penghidap Diabetes, 3 Jenis Vitamin Ini Boleh Bantu Kurangkan Masalah Saraf Anda!

    Antara komplikasi yang sering dialami oleh penghidap diabetes ialah neuropati atau kerosakan pada saraf. Namun, ada beberapa vitamin untuk saraf yang boleh membantu merawat masalah saraf ini. Apakah jenis vitamin untuk urat saraf itu?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkan di sini.

    Neuropati, kesan dan komplikasi akibat diabetes

    Neuropati adalah keadaan di mana berlakunya kerosakan pada saraf yang boleh menyebabkan simptom-simptom yang menyakitkan kepada penghidapnya.

    Neuropati biasa berlaku disebabkan kesan diabetes atau kencing manis. Ia juga boleh berlaku sebagai kesan sampingan bagi rawatan kemoterapi.

    Bagi komplikasi neuropati yang disebabkan oleh diabetes, ia dikenali sebagai neuropati diabetes.

    Apabila seseorang penghidap diabetes itu mengalami masalah saraf seperti ini, biasanya ia menyebabkan rasa kebas atau kesemutan pada bahagian kaki dan juga tangan.

    Selain itu, ia juga boleh menyebabkan rasa sakit pada sistem penghadaman.

    Bagi mereka yang mengalami sakit saraf yang lebih teruk, mereka mungkin akan kehilangan deria rasa sentuhan mereka.

    Oleh sebab itu, dalam beberapa kes diabetes, ada dalam kalangan penghidapnya yang perlu memotong sebahagian daripada anggota badan bahagian bawah seperti kaki, betis atau jari kaki.

    vitamin untuk saraf

    Kesemua ini adalah kesan atau komplikasi akibat daripada neuropati diabetes. 

    Vitamin untuk saraf yang boleh membantu mengurangkan simptom

    Masalah saraf adalah antara komplikasi yang sering berlaku kepada penghidap diabetes.

    Ada yang bertanya, adakah masalah saraf ini boleh dirawat melalui penggunaan suplemen vitamin tertentu?

    Terdapat sesetengah jenis vitamin atau suplemen tertentu yang boleh membantu masalah saraf dalam kalangan penghidap diabetes.

    Vitamin untuk saraf ini berperanan mengurangkan simptom neuropati yang dialami oleh mereka.

    Berikut adalah antara jenis vitamin untuk saraf yang sesuai bagi penghidap diabetes:

    Vitamin untuk urat saraf 1: Vitamin B-12

    vitamin untuk saraf

    Vitamin B-12 yang biasa terdapat dalam produk berasaskan daging haiwan berfungsi sebagai neurotransmiter.

    Ia membantu menguatkan fungsi saraf selain membantu menghasilkan sel darah merah.

    Mereka yang kekurangan vitamin B-12 dalam tubuh badan mereka lebih berisiko untuk mengalami masalah saraf dan masalah neuropati.

    Ada kajian kecil yang menunjukkan bahawa pengambilan suplemen vitamin B-12 boleh membantu mengurangkan rasa sakit akibat neuropati diabetes.

    Suplemen vitamin B-12 adalah selamat untuk diambil oleh pesakit diabetes dengan mengikuti arahan pengambilan yang betul.

    Selain daripada vitamin B-12, jenis vitamin B yang lain juga boleh membantu dalam mengurangkan simptom neuropati diabetes.

    Ini termasuklah vitamin B-9 atau folat, vitamin B-6 dan juga vitamin B-1. 

    Vitamin untuk saraf 2: Acetyl-l-carnitine atau ALC

    ALC dihasilkan secara semula jadi oleh tubuh badan manusia melalui buah pinggang dan juga hati.

    ALC berperanan mengurangkan tekanan oksidatif serta terlibat dalam fungsi dan penjanaan semula sel saraf.

    Kajian ada menunjukkan, pengambilan suplemen ALC bagi penghidap neuropati diabetes boleh membantu mengurangkan rasa sakit mereka.

    Selain itu, ia juga didapati boleh memperbaiki masalah deria lain dan memperbaiki fungsi saraf ke paras yang lebih baik.

    Ada juga kajian menyatakan bahawa kesan ALC ini akan lebih baik jika diambil pada peringkat awal.

    Namun, lebih banyak kajian diperlukan untuk mengesahkannya dengan lebih kuat.

    Jika anda ada mengambil ubat pencair darah seperti Coumadin dan Jantoven, anda tidak boleh mengambil suplemen ALC ini.

    Ini kerana ia boleh meningkatkan kesan ubat pencair darah tersebut yang boleh menyebabkan pendarahan. 

    Vitamin untuk urat saraf 3: Asid alfa-lipoik

    vitamin untuk saraf

    Asid alfa-lipoik adalah sejenis antioksidan yang boleh didapati dalam kebanyakan makanan yang kita makan.

    Fungsi antioksidan adalah untuk mengelakkan kerosakan tisu tubuh badan manusia (tekanan oksidatif).

    Apabila seseorang itu mengalami neuropati diabetes, tekanan oksidatif yang berlaku akan menjejaskan saraf mereka.

    Dalam kajian berskala kecil, penggunaan suplemen asid alfa-lipoik boleh membantu mengurangkan rasa sakit pada saraf penghidap neuropati diabetes.

    Selain itu, ia juga dilihat boleh membantu mengurangkan simptom sakit saraf dan meningkatkan fungsi saraf.

    Kajian mendapati, suplemen asid alfa-lipoik ini boleh membantu mengurangkan rasa seperti terbakar dan dicucuk-cucuk dalam masa beberapa minggu selepas penggunaan.

    Bagi mereka yang kekurangan kandungan vitamin B-1 dalam tubuh, anda disarankan untuk tidak mengambil suplemen ini.

    Ini kerana ia boleh menyebabkan ketoksikan dalam tubuh badan.

    Mereka yang kerap mengambil minuman beralkohol juga dilarang untuk mengambil suplemen ini. 

    Mesti dapatkan nasihat doktor

    Apa yang kami kongsikan di sini adalah sebagai maklumat tambahan untuk penghidap diabetes yang mempunyai masalah saraf.

    Vitamin untuk saraf ini boleh diambil namun anda perlu mendapatkan nasihat doktor yang merawat anda terlebih dahulu.

    Ini kerana, sesetengah vitamin untuk urat saraf ini mungkin boleh mengganggu keberkesanan ubat diabetes yang sedang anda ambil.

    Selain itu, sesetengah vitamin untuk saraf ini juga mungkin boleh meningkatkan risiko anda untuk mengalami masalah pada buah pinggang.

    Oleh itu, ia tidak boleh diambil sesuka hati tanpa nasihat daripada doktor. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 22/02/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan