Oleh yang demikian, insulin memainkan peranan penting dalam mengawal paras gula dalam darah, malah menghindari komplikasi kencing manis seperti buta, masalah jantung, masalah buah pinggang dan kerosakan urat saraf[3]. Penghidap kencing manis juga mempunyai risiko dua kali ganda untuk mendapat serangan jantung[4].
Pemahaman berkaitan peranan insulin sangat penting dalam menguruskan masalah kesihatan tersebut. Jika anda didiagnosis dengan kencing manis jenis 1 atau 2, anda perlu tahu bagaimana cara untuk mengenal pasti fakta atau mitos berkenaan dengan insulin. Pengetahuan tentang terapi insulin boleh membantu anda menguruskan masalah kencing manis dengan lebih berkesan.
Fakta dan mitos
Mitos: Insulin adalah jalan terakhir bagi pesakit kencing manis.
Fakta: Anda mungkin menyangka terapi insulin hanya diberi apabila keadaan kesihatan anda semakin teruk. Hakikatnya, insulin adalah rawatan yang boleh memberi kesan sama seperti insulin semula jadi yang dihasilkan oleh badan. Justeru, ia adalah salah satu langkah terbaik untuk mengawal paras gula dalam darah[5].
Mitos: Apabila rawatan insulin dipreskripsi kepada pesakit diabetes jenis 2, ia bermakna mereka gagal mengawal keadaan kesihatan mereka.
Fakta: Diabetes jenis 2 merupakan penyakit yang progresif. Lama kelamaan, pankreas akan mula hilang keupayaan untuk menghasilkan insulin mengikut keperluan badan, maka ubat sahaja tidak cukup untuk mengawal gula pada tahap yang optimum. Pada tahap ini, penggunaan insulin bagi memastikan paras gula berada pada tahap yang sihat amat digalakkan[6].