Keputusan sama ada hendak meneruskan atau menukar protokol rawatan akan dibuat berdasarkan kepada tindak balas sel kanser terhadap rawatan tersebut.
Perkara seperti inilah yang akan mempengaruhi potensi kesembuhan seseorang.
Kesembuhan secara total tampak mustahil pada peringkat kanser ini namun kawalan simptom dan pertumbuhan kanser masih boleh dicapai bagi memaksimumkan tahap kesihatan penghidap.
Modaliti rawatan bagi penghidap kanser tahap akhir

Terdapat beberapa rawatan kanser yang boleh dipreskripsikan oleh doktor kepada penghidap kanser perut tahap akhir.
Antara rawatan yang boleh menjadi pilihan adalah:
- Pembedahan – Pakar bedah akan memotong sebahagian atau keseluruhan perut yang mempunyai ketumbuhan. Situasi ini boleh membantu meredakan masalah kesakitan dan pendarahan. Apabila sebahagian perut sudah dipotong, doktor akan menyambungkannya kepada usus kecil bagi membolehkan aliran makanan berlaku secara normal
- Terapi radiasi dan kemo – Sama seperti rawatan bagi masalah kanser lain, kedua-dua terapi ini boleh digunakan bagi merawat simptom, melegakan kesakitan dan mengecilkan saiz tumor supaya ia boleh dibuang melalui pembedahan
- Terapi laser – Kaedah ini melibatkan penggunaan tiub yang dipanggil endoskop untuk memusnahkan sel kanser menggunakan laser. Kaedah ini turut dikenali sebagai ablasi tumor endoskopik
- Terapi bersasar – Rawatan ini melibatkan penggunaan ubat untuk menyerang kanser secara spesifik. Ubat yang digunakan juga boleh menguatkan sistem imun untuk menyerang sel kanser
- Rawatan suplemental – Oleh sebab ketumbuhan dalam perut boleh menghalang proses fisiologi makan, ia boleh menyebabkan masalah malnutrisi. Bagi pesakit kanser tahap akhir, rujukan kepada pakar pemakanan boleh membantu meningkatkan tahap kesihatan mereka. Doktor juga boleh mempreskripsikan suplemen atau ubat untuk melegakan simptom
Berapa lama pesakit kanser perut boleh hidup?
Seperti kanser lain, kadar kelangsungan hidup bagi pesakit kanser perut hanya bersifat relatif.
Terdapat pelbagai jenis faktor yang boleh mempengaruhi keadaan kesihatan pesakit.

Anda perlu ingat:
- Terdapat pelbagai jenis faktor yang boleh mempengaruhi prognosis seseorang seperti usia, tahap kesihatan keseluruhan dan jenis rawatan yang diberi
- Kadar kelangsungan hidup hanya berguna pada awal diagnosis dibuat
- Kadar kelangsungan hidup bagi pesakit kanser perut adalah nilai perbandingan di antara pesakit kanser tersebut dengan populasi umum yang tidak menghidap kanser
- Statistik yang datang bersama dengan ramalan kadar kelangsungan hidup dibuat berdasarkan kepada rekod pesakit terdahulu. Teknologi dan protokol rawatan berubah sepanjang zaman dan ia boleh menjadi bertambah baik apabila kita lebih memahami akan proses patologi kanser
Jika dilihat pada data yang direkodkan dalam program SEER ( Surveillance, Epidemiology and End Results), kadar kelangsungan hidup 5 tahun secara keseluruhan bagi kanser perut adalah 31.5%.
Manakala bagi pesakit kanser tahap akhir pula adalah pada sekitar 5.3%. Data tersebut merekodkan kes bagi individu yang telah didiagnosis di antara tahun 2009 hingga 2015.
Sekiranya anda ragu-ragu, sila bertanyakan kepada doktor anda untuk keterangan lanjut.
Konklusi
Kanser perut adalah sejenis barah yang jarang didiagnosis di seluruh dunia.
Ia berpunca daripada manifestasi tanda kanser perut yang lambat menyebabkan kesukaran untuk membuat diagnosis awal.
Jika anda mengalami tanda kanser perut, jangan lengahkan lagi. Jumpa dengan doktor anda sekarang untuk pengesahan dan rawatan sekiranya perlu.