backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Ini Bahaya Kencing Kotor Buat Ibu Hamil! Jangan Ambil Ringan, Ya Mama!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Halifah · Disemak pada 20/02/2024

Ini Bahaya Kencing Kotor Buat Ibu Hamil! Jangan Ambil Ringan, Ya Mama!

Mungkin ramai bakal ibu yang merungut tatkala doktor meminta mereka memberikan sampel air kencing semasa temu janji rutin. Mana tidaknya, ramai ibu mengandung yang lain beratur untuk memberikan sampel air kencing dan anda sangat yakin bahawa anda tidak ada masalah kencing kotor semasa mengandung. 

Perkataan “menyusahkan” sememangnya lazim digunakan bagi mendefinisikan keadaan tersebut. Namun, adakah ujian air kencing tersebut dianggap tidak perlu kepada ibu yang tidak mengalami sebarang simptom kencing kotor semasa mengandung?

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

Kencing kotor lazim dialami wanita

Apabila kita berbicara tentang kencing kotor, pasti anda akan terbayangkan air kencing keruh umpama air teh dan berkeladak. Hakikatnya, bukan semua individu yang mengalami masalah kencing kotor dapat didiagnosis daripada rupa air kencing mereka.

Jangkitan kuman pada saluran kencing (UTI) merupakan masalah kesihatan yang lazim dialami oleh golongan wanita. Pada kebanyakan kes, jangkitan ini disebabkan oleh bakteria, namun ada juga yang disebabkan oleh kulat atau virus meskipun ia jarang berlaku.

Saluran kencing melibatkan organ buah pinggang, salur ureter (menghubungkan buah pinggang ke pundi kencing), pundi kencing dan salur urethra (saluran yang membawa keluar air kencing).

Kebanyakan UTI yang berlaku hanya melibatkan salur urethra dan pundi kencing. Jika jangkitan tersebut berlaku pada organ buah pinggang atau salur ureter, kebiasaannya individu tersebut akan mengalami simptom yang lebih teruk.

Mengapa wanita lebih berisiko?

  • Salur urethra wanita lebih pendek berbanding dengan lelaki
  • Kedudukan salur urethra wanita yang berdekatan dengan vagina dan anu, memudahkan kuman merebak
  • Penggunaan pelbagai jenis produk kontraseptif seperti spermisida (pembunuh sperma) menyebabkan populasi bakteria baik pada faraj berubah
  • Wanita menopaus mengalami perubahan hormon  

Kencing kotor semasa mengandung

kencing kotor semasa mengandung
Simptom kencing kotor.

Kencing kotor semasa mengandung memang boleh mendatangkan risiko bahaya kepada ibu dan janin di dalam kandungan. Namun, pernah tak anda terfikir, kenapa wanita hamil lebih berisiko kencing kotor semasa hamil 37 minggu?

Perubahan hormon yang berlaku ketika hamil bukan sahaja boleh memberikan kesan positif kepada janin untuk membesar, ia juga boleh menyebabkan kekuatan otot salur ureter dan pundi kencing bertambah renggang.

Apabila rahim mula membesar, ia berupaya untuk menyekat lebih banyak air kencing. Ditambah pula dengan kelemahan otot pundi kencing untuk menolak air kencing keluar, ia boleh menyebabkan berlakunya jangkitan kuman.

Faktor-faktor lain seperti peningkatan tahap keasidan air kencing dan gula yang terdapat di dalamnya berikutan perubahan hormon yang berlaku menjadikan wanita hamil mudah untuk didiagnosis dengan masalah kencing kotor.

Tanpa rawatan, jangkitan tersebut boleh menjadi semakin teruk sehingga menyebabkan keradangan pada organ buah pinggang

Apabila sudah sampai ke tahap itu, kuman yang terdapat pada sistem salur kencing wanita hamil mudah untuk bergerak masuk ke dalam aliran darah.

Jika tidak dirawat dengan serta merta, ibu yang mengalami kencing kotor semasa mengandung boleh mati.

Jadi, adakah anda enggan menjalani ujian air kencing seperti yang dipinta oleh doktor hanya kerana anda rasa prosedur tersebut menyusahkan dan anda tidak mengalami sebarang tanda kencing kotor semasa hamil?

Ketahuilah bahawa kencing kotor tidak selalunya didiagnosis pada mereka yang mempunyai air kencing yang keruh atau berkeladak. Mereka yang mempunyai masalah kencing kotor semasa mengandung kebiasaannya akan mengalami simptom seperti:

  • Rasa terbakar sewaktu kencing
  • Darah di dalam air kencing
  • Air kencing keruh
  • Kerap kencing ketika hamil trimester 3 walaupun hanya sedikit urin yang keluar
  • Tidak dapat menahan kencing
kencing kotor
Jenis kencing tak lawas.

Jika seseorang itu mengalami jangkitan pada buah pinggang, antara tanda kencing kotor semasa hamil yang akan dialami adalah:

  • Demam
  • Loya
  • Muntah
  • Sejuk menggigil
  • Sakit pada bahagian belakang badan, di bawah rusuk

Ambil langkah berjaga-jaga

jangkitan kencing kotor ketika mengandung
Punca kencing kotor terjadi.

Ujian saringan yang dilakukan oleh doktor merupakan satu keperluan bagi mengelakkan berlakunya komplikasi kencing kotor seperti jangkitan buah pinggang. Jika anda disahkan positif jangkitan, cara hilangkan kencing kotor dengan cepat adalah dengan memberikan antibiotik dengan serta merta.

Doktor akan menentukan jenis antibiotik yang selamat dimakan oleh anda mengikut kepada keperluan semasa. Jika anda hamil, sudah semestinya antibiotik yang diberikan tidak akan menyebabkan komplikasi kepada anda mahupun anak di dalam kandungan.

Bagaimana pula dengan mereka yang tidak dijangkiti? Anda boleh mencuba tip berikut untuk mengelakkan berlakunya tanda kencing kotor semasa hamil:

  • Minum air mengikut kadar saranan harian (6-8 gelas) atau seperti yang dipreskripsikan oleh doktor anda.
  • Jangan bertangguh untuk membuang air kecil kerana ia boleh menyebabkan lebih banyak bakteria membiak di dalam pundi kencing.
  • Selepas membuang air kecil, pastikan anda mengelap kemaluan dari depan ke belakang. Ia boleh meminimumkan risiko bakteria untuk merebak dari kawasan punggung ke faraj.
  • Pakai pakaian dalam yang longgar dan diperbuat daripada kapas.
  • Tukar tuala wanita atau seluar dalam dengan lebih kerap.
  • Elakkan daripada mengambil minuman bergula atau berkafein.

Konklusi

Kencing kotor semasa mengandung lazim dialami oleh wanita hamil. Pemeriksaan awal oleh doktor penting bagi memastikan komplikasi kencing kotor dapat dielakkan.

Jika anda mengalami tanda kencing kotor semasa hamil seperti yang tersenarai di atas, pastikan anda mendapatkan khidmat nasihat dan pemeriksaan kesihatan daripada doktor.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Halifah · Disemak pada 20/02/2024

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan