backup og meta

Perhatian Ibu Hamil! Jangan Abaikan Simptom UTI, Kalau Tak Rawat, Bayi Akan Lahir Pramatang!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 29/08/2022

    Perhatian Ibu Hamil! Jangan Abaikan Simptom UTI, Kalau Tak Rawat, Bayi Akan Lahir Pramatang!

    Jangkitan saluran kencing (UTI) merupakan antara masalah wanita mengandung yang lazim berlaku. Penyebab utama UTI dalam kalangan wanita yang hamil adalah jangkitan bakteria Escherichia coli.

    Namun, mengapakah wanita yang mengandung lebih berisiko untuk mengalami jangkitan saluran kencing?

    Ketika hamil, wanita akan melalui perubahan demi perubahan pada tubuh badan mereka. Selain perubahan hormon, saluran urethra kaum Hawa yang pendek juga menyebabkan UTI amat berleluasa dalam kalangan wanita mengandung.

    Hampir 1 dalam 10 wanita akan mengalami UTI ketika hamil. Malah, menurut kajian, ia merupakan masalah wanita mengandung yang kedua paling kerap berlaku.

    Masalah wanita mengandung terpaksa mengharungi pelbagai cabaran semasa kehamilan. Jangkitan saluran kencing hanya akan membuatkan wanita lebih tertekan dan tidak selesa.

    Bukan itu sahaja, UTI juga boleh membahayakan bayi dalam kandungan!

    Mengapakah UTI lazim berlaku kepada wanita hamil?

    masalah wanita mengandung

    Fetus yang sedang membesar boleh memberikan tekanan pada kawasan pundi kencing dan saluran urinari. Akibatnya, bakteria senang terperangkap dan air kencing mudah untuk terbocor.

    Bukan itu sahaja, perubahan dari segi fizikal wanita juga memainkan peranan yang penting. Ketika minggu ke-6 kehamilan, hampir semua wanita akan mengalami dilasi uretral.

    Dilasi ini akan menyebabkan saluran urethra berkembang dan membesar sehinggalah wanita tersebut melahirkan anak. Kondisi ini memudahkan pembiakan bakteria di dalam saluran uretra.

    Malah, wanita yang hamil juga mempunyai air kencing yang lebih pekat serta mengandungi campuran gula dan juga hormon yang lebih banyak daripada biasa.

    Ini merupakan salah satu masalah wanita mengandung yang menggalakkan lagi pertumbuhan bakteria. 

    Tambah lagi, dengan kondisi fizikal wanita yang sedang hamil, badan mereka sukar untuk melawan bakteria yang cuba untuk memasuki saluran urethra. Oleh sebab itu, golongan ini lebih berisiko untuk mengalami UTI.

    Cara untuk mengelakkan jangkitan ketika hamil

    masalah wanita mengandung

    Walaupun wanita hamil lebih berisiko untuk mengalami UTI, itu tidak bermaksud masalah ini akan menghantui semua wanita mengandung. Malah, masalah ini juga sebenarnya boleh dielakkan.

    Antara langkah yang berkesan untuk mengelakkan UTI semasa hamil ialah:

    1. Buang air dengan kerap terutamanya sebelum dan selepas melakukan hubungan seks.
    2. Pakai seluar dalam yang dapat menyerap lembapan.
    3. Jangan gunakan pewangi atau sebarang semburan pada kawasan intim.
    4. Minum air dengan mencukupi.
    5. Elakkan penggunaan sabun pada kawasan Miss V.
    6. Basuh kawasan intim dengan air. Pastikan ia bersih dan kering.
    7. Tinggalkan minuman beralkohol. Ia boleh menyebabkan pundi kencing mengalami iritasi.

    Jangkitan saluran kencing yang berlaku ketika kehamilan akan dirawat menggunakan antibiotik. Doktor akan memberikan ubat yang bersesuaian dan selamat untuk anda dan bayi.

    Untuk menghilangkan kesakitan yang berlaku disebabkan oleh UTI, wanita yang mengandung boleh mengambil paracetamol.

    Walau bagaimanapun, dapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu jika anda ingin mencuba sebarang remedi di rumah.

    Masalah wanita mengandung alami UTI, Perhatikan tanda ini

    Jangan sesekali pandang remeh jika anda mengalami simptom seperti:

  • Rasa sakit ketika membuang air kecil.
  • Perlu membuang air kecil dengan lebih kerap pada waktu malam.
  •  Air kencing berwarna keruh.
  • Perlu membuang air kecil secara tiba-tiba lebih kerap daripada biasa.
  • Ada darah dalam air kencing.
  • Sakit pada kawasan abdomen atau di belakang badan.
  • Suhu badan yang tinggi, sering rasa panas dan menggigil.
  • Suhu lebih rendah daripada 36°C.
  • Antara 2 hingga 10% wanita akan mengalami UTI ketika mengandung. Lebih teruk lagi, UTI ni berkemungkinan akan berlaku berulang kali ketika kehamilan.

    Wanita yang pernah dijangkiti UTI lebih berisiko untuk mengalaminya ketika hamil. Sama jugalah dengan wanita yang mempunyai ramai anak.

    Adakah UTI berbahaya ketika mengandung?

    masalah wanita mengandung

    Tidak dinafikan, UTI merupakan salah satu masalah wanita mengandung yang ditakuti ramai. Manakan tidak, sebarang jangkitan ketika hamil merupakan sesuatu yang berbahaya kepada ibu dan juga anak.

    Untuk pengetahuan anda, jangkitan saluran kencing yang tidak dirawat boleh menyebabkan kelahiran pramatang. Malah, ia juga boleh membuatkan ibu mengalami masalah kesihatan seperti demam selepas melahirkan anak.

    Bukan itu sahaja, ibu boleh mengalami pyelonephritis iaitu jangkitan buah pinggang akut. Jangkitan ini membuatkan buah pinggang membengkak dan alami kecederaan kekal.

    Sebab itulah, ibu mengandung yang mengalami simptom UTI perlu berjumpa doktor secepat mungkin. Masalah wanita mengandung ini bukan sahaja akan memudaratkan diri, ia juga akan meletakkan nyawa anak yang dikandung dalam bahaya.

    Sebarang simptom yang dialami oleh ibu perlulah dilaporkan kepada doktor. UTI boleh dirawat menggunakan antibiotik. Oleh sebab itu, pastikan anda mengambil ubat-ubatan seperti yang diarahkan oleh doktor.

    Kesimpulan

    Hampir semua UTI yang dialami ketika mengandung boleh dirawat dengan antibiotik.

    Jangan risau mengenai keselamatan ubat kerana doktor boleh membekalkan ubat yang selamat namun masih lagi efektif untuk membunuh bakteria penyebab jangkitan.

    Jika anda kerap mengalami UTI, dapatkan rawatan daripada doktor. Selain itu, anda boleh cuba minum jus kranberi yang dikatakan dapat mengurangkan jangkitan UTI.

    Namun, berhati-hatilah dengan produk kranberi yang mengandungi kandungan gula yang tinggi.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 29/08/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan