backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Demam, Badan Menggigil & Cirit-birit? Ini Antara Simptom Kencing Tikus, BAHAYA!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 07/12/2023

    Demam, Badan Menggigil & Cirit-birit? Ini Antara Simptom Kencing Tikus, BAHAYA!

    Leptospirosis atau kencing tikus merupakan sejenis penyakit yang berlaku disebabkan jangkitan bakteria Leptospira. Bakteria ini dijumpai di dalam tanah dan air yang dicemari oleh kencing haiwan. Ada banyak haiwan yang boleh menjadi punca penyakit leptospirosis, namun tikus adalah penyebab jangkitan yang paling tinggi.

    Individu yang dijangkiti akan mengalami simptom seakan-akan demam. Penyakit ini juga boleh menyebabkan kegagalan organ hati.

    Jika ia menjadi semakin teruk, leptospirosis boleh bertukar menjadi penyakit Weil, satu kondisi yang boleh membawa maut.

    Dalam artikel kali ini, kami akan terangkan lebih lanjut mengenai punca penyakit leptospirosis di Malaysia, simptom serta apa yang anda boleh lakukan untuk mengatasinya.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan, anda boleh klik di sini.

    Bagaimana kencing tikus merebak?

    penyakit leptospirosis

    Penyakit leptospirosis selalunya menjangkiti dari satu individu ke individu yang lain melalui air kencing.

    Hampir semua jenis mamalia (tikus, anjing, kuda atau lembu) boleh dijangkiti kencing tikus. Namun, mereka mungkin tidak akan menunjukkan sebarang simptom.

    Haiwan yang dijangkiti akan mencemari tanah dan air dengan bakteria. Kemudian, ia akan merebak pula kepada binatang atau manusia lain.

    Anda boleh dijangkiti leptospirosis dengan cara:

    1. Tersentuh air kencing atau cecair badan haiwan yang dijangkiti.
    2. Air atau tanah yang dicemari termasuk ke dalam mata, hidung, mulut atau melalui luka pada kawasan kulit.

    Kencing tikus boleh merebak selepas hujan lebat dan banjir. Air banjir yang mengandungi bakteria ini kemudiannya mengalir memasuki sungai dan tasik.

    Walau bagaimanapun, kencing tikus jarang sekali merebak dari satu individu ke individu yang lain.

    Baca juga:

    Simptom leptospirosis dalam kalangan manusia

    Kencing tikus boleh mendatangkan pelbagai simptom. Namun, ada juga penghidapnya yang tidak menunjukkan sebarang tanda.

    Dalam kes yang serius, pesakit mungkin mengalami pendarahan yang serius dan kerosakan organ.

    Antara simptom-simptom leptospirosis yang akut ialah:

    1. Demam panas.
    2. Mata merah.
    3. Pening kepala.
    4. Rasa sejuk, menggigil.
    5. Sakit otot.
    6. Sakit perut.
    7. Cirit-birit.
    8. Jaundis.
    9. Naik ruam pada badan.

    Selain itu, kencing tikus yang serius (sindrom Weil) boleh menunjukkan simptom dalam masa 3-10 hari kemudian.

    Antara tanda-tandanya ialah:

    1. Batuk berdarah.
    2. Sakit dada.
    3. Sukar bernafas.
    4. Kulit dan mata menjadi kuning.
    5. Tinja berwarna hitam.
    6. Darah dalam air kencing.
    7. Kurang kencing.
    8. Ruam leper berwarna merah pada kawasan kulit (petechiae).

    Cara merawat penyakit leptospirosis

    penyakit leptospirosis

    Doktor akan merawat jangkitan menggunakan antibiotik. Jika kes anda tidak serius, simptom mungkin akan pulih sendiri tanpa rawatan.

    Sekiranya anda mempunyai penyakit leptospirosis yang serius, anda akan dimasukkan ke dalam hospital. Doktor akan memberikan antibiotik terus melalui IV.

    Bergantung kepada keseriusan, pesakit mungkin perlukan ubat-ubatan dan prosedur lain.

    Bolehkah pesakit sembuh seperti biasa?

    Kebanyakan penghidap kencing tikus akan sembuh seperti biasa. Malah, sebahagian kes leptospirosis tidak menunjukkan simptom yang serius. Ia akan pulih seperti sediakala walaupun tanpa rawatan.

    Walau bagaimanapun, 1% daripada penghidap kencing tikus akan mengalami sindrom Weil. Sindrom ini boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat secepat mungkin.

    Namun, jika pesakit dibawa ke hospital secepat mungkin, kebarangkalian untuk mereka sembuh adalah sangat tinggi.

    Cara untuk mencegah penyakit leptospirosis

    penyakit leptospirosis

    Cara terbaik untuk mengelakkan kencing tikus ialah menjauhkan diri daripada air yang mungkin tercemar dengan kencing tikus. Ini termasuklah air banjir.

    Selain itu, anda juga boleh:

    1. Amalkan penjagaan kebersihan diri yang betul. Cuci tangan sebelum makan. Sekiranya anda suka berkebun atau melakukan aktiviti luar, pastikan anda mandi sejurus masuk ke dalam rumah.
    2. Sekiranya anda perlu ke negara yang berisiko, ambil ubat untuk elakkan jangkitan kencing tikus.
    3. Pakai kasut dan pakaian pelindung sekiranya bekerja bersama haiwan. Elakkan menyentuh haiwan yang dijangkiti leptospirosis atau bangkai binatang.
    4. Simpan makanan dalam bekas tertutup. Jangan biarkan makanan di rumah terbuka. Jika makanan telah digigit tikus, buang dan jangan makan.
    5. Minum air yang telah dirawat. Jangan mandi air banjir atau minum air dari kawasan sungai atau tasik tanpa memasaknya terlebih dahulu.
    6. Cepat-cepat ke hospital sekiranya mengalami sebarang simptom. Ada ubat yang dapat mengurangkan risiko komplikasi yang lebih serius.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 07/12/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan