Sakit Tumit Pelbagai Faktor Boleh Menjadi Punca

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Pernah tak anda mengalami keadaan di mana anda berasa sakit yang teramat sangat pada bahagian tumit selepas berjalan atau berdiri untuk satu tempoh masa yang lama? Pasti anda pernah merasai kesakitan seperti itu terutamanya jika anda gemar memakai kasut yang bertumit tinggi. Namun, adakah hanya memakai kasut bertumit tinggi yang menyebabkan timbulnya rasa sakit tumit? Atau terdapat faktor lain yang mendasari kesakitan ini? Teruskan membaca artikel ini.

Apa itu Sakit Tumit?

Rasa sakit pada bahagian tumit biasanya disebabkan oleh plantar fasciitis iaitu satu keadaan yang dipanggil sebagai sindrom bonjolan tulang (heel spur syndrome). Ia adalah keadaan di mana terdapat bonjolan tulang pada tulang tumit, iaitu pada bahagian bawah tulang. Keadaan ini akan menyebabkan kesakitan yang teramat sangat pada tumit dan ia akan lebih menyakitkan apabila bergerak.

Secara umumnya, tumit merupakan tulang terbesar dan adalah paling penting di antara 26 tulang yang berada pada bahagian kaki. Ia berfungsi untuk menyokong seluruh berat badan anda semasa anda berjalan dan pada masa yang sama berperanan menyerap tekanan apabila berjalan atau melompat. Untuk pengetahuan anda, apabila anda berjalan, kesan tekanan pada kaki anda adalah 1 ¼ kali ganda berat badan anda dan meningkat kepada 2 ¾ kali ganda semasa anda berlari. Hebat bukan tumit anda?

Terdapat beberapa faktor yang memungkinkan wujudnya rasa sakit tumit. Antaranya adalah seperti fraktur tekanan, tendonitis, artritis, kerengsaan saraf dan paling jarang untuk berlaku, disebabkan sista (cyst). Jika anda merasa tumit kaki sakit menyucuk apabila anda menaiki tangga atau selepas berdiri untuk tempoh masa yang agak panjang dan lama, anda mungkin mengalami plantar fasciitis. 

Kebiasaannya individu yang kerap mengalami masalah kesakitan ini adalah berusia 45 tahun ke atas dan wanita akan lebih mudah dan kerap untuk mengalami sakit tumit berbanding lelaki. Dan masalah sakit tumit ini, sama ada sakit tumit kaki kanan, atau sakit tumit kaki kiri akan lebih dirasai oleh wanita yang sedang dalam tempoh kehamilan. Rasa sakit tumit ini disebabkan oleh gelung tisu penghubung dari tumit ke jari kaki mungkin mengalami bengkak ataupun berlaku keradangan.

Bagaimana Sakit Tumit Berlaku?

Pada bahagian tumit kaki anda, terdapat satu tisu khas yang berfungsi untuk menahan hentakan kaki dan menyokong berat badan ketika berjalan. Tisu ini mempunyai tisu lemak yang berfungsi sebagai pelapik penahan hentakan. 

Pada bahagian tersebut juga terdapat tisu plantar fasciitis yang melekat pada hujung tumit hingga ke pangkal tulang jari kaki. Tisu ini bertindak mengimbangi tekanan pada tapak kaki dan mengurangkan tekanan yang dialami pada satu-satu tempat di bahagian kaki.

Seseorang individu yang berjalan terlalu lama atau telah berjalan pada jarak yang agak jauh, boleh menyebabkan wujudnya tekanan pada bahagian tapak kaki terutamanya pada di tumit. Ia sekaligus boleh mengakibatkan berlakunya kecederaan pada tisu dan keradangan. Ini akhirnya menjadi punca sakit tapak kaki dan tumit.

Penggunaan kasut yang tidak bersesuaian juga boleh mewujudkan tekanan yang serius pada bahagian tapak kaki dan akhirnya menjadi sebab sakit tumit. Tekanan yang berterusan akan menyebabkan berlakunya pembentukan tulang yang tajam pada bahagian itu. Masalah ini dipanggil sebagai calcaneal spur. Ia berisiko untuk menyebabkan kecederaan tisu pada sekitar bahagian tersebut, terutamanya apabila berjalan dan bergerak. 

Punca Kesakitan Pada Tumit

Seperti yang dinyatakan di atas, rasa sakit pada bahagian tumit ini adalah satu masalah yang sering dihadapi oleh wanita. Malahan, sebenarnya, tanpa mengira jantina mahupun usia, kecenderungan dan risiko untuk mengalami rasa sakit ini boleh berlaku. 

Tetapi apakah punca sebenar yang boleh meningkatkan risiko untuk berlakunya sakit tumit? Berikut adalah beberapa faktor umum yang boleh anda kenal pasti sebagai punca terhadap kesakitan yang anda mungkin alami.

1. Berat badan yang berlebihan

Antara punca utama yang sering menjadi penyebab kepada masalah sakit tumit kaki bagi seseorang individu adalah kerana mempunyai berat badan berlebihan. Sekiranya anda mempunyai berat badan berlebihan daripada indeks jisim badan sihat (Body Mass Index, BMI) yang bersesuaian dengan diri anda, ini bermakna secara tidak langsung anda memberikan bebanan berat yang berlebihan kepada tumit kaki anda. 

Sakit Tumit Pelbagai Faktor Boleh Menjadi Punca - tumit tinggi

2. Pemakaian kasut yang tidak bersesuaian

Tabiat gemar memakai kasut yang bertumit tinggi pastinya sudah menjadi sebagai antara punca yang boleh menyebabkan kesakitan pada bahagian tumit kaki anda. Sebenarnya pemakaian kasut tumit tinggi adalah tidak baik untuk kesihatan bagi seseorang individu wanita. Ini kerana ia akan mengganggu postur badan individu tersebut yang mengakibatkan ia menjadi tinggi atau berjengket sepanjang pemakaian kasut bertumit tinggi. Namun, malangnya, pemakaian kasut tumit tinggi dilihat sebagai satu lambang yang mendefinisikan erti elegan bagi seorang individu wanita. Cantik tetapi menyakitkan, sanggupkah anda?

Tetapi, itu tidak bermakna anda perlu memakai kasut bertapak rata. Ini kerana pemakaian kasut yang bertapak rata atau dikenali sebagai flat shoes bukanlah satu penyelesaian yang wajar untuk mengatasi atau mencegah rasa sakit pada tumit. Flat shoes juga sebenarnya boleh menjadi punca sakit tumit disebabkan ia tidak memberikan sokongan yang diperlukan oleh tapak kaki anda. 

3. Terdapat kecederaan pada tumit kaki

Sekiranya anda mempunyai sebarang kecederaan pada tumit kaki, ia boleh menjadi antara faktor yang mengakibatkan rasa sakit pada bahagian tumit. Kewujudan retakan yang menyebabkan tekanan pada tulang tumit merupakan kecederaan paling kerap untuk berlaku.  Ia menjadi punca kepada kesakitan yang melibatkan ketegangan pada otot, tulang dan ligamen pada bahagian tumit yang akhirnya menyebabkan anda merasa sakit.

4. Calcaneal spur

Akibat pemakaian kasut yang tidak bersesuaian boleh mewujudkan tekanan yang lama pada bahagian tumit yang akhirnya akan mengakibatkan wujudnya tulang yang tidak normal pada bahagian tumit kaki, dipanggil tulang kalkaneal. Keadaan ini akan menyebabkan tisu yang berada di sekelilinya berisiko untuk mengalami kecederaan apabila seseorang individu itu berjalan dan menyebabkan timbulnya rasa sakit tumit.

5. Arthritis

Adakalanya kesakitan pada tumit kaki boleh berlaku disebabkan faktor masalah kesihatan seperti arthritis rheumatoid juga boleh menyumbang kepada keradangan dan sakit tumit.

6. Tumit terseliuh

Situasi apabila anda secara tiba-tiba mengalami tumit yang terseliuh juga boleh mengakibatkan rasa sakit pada tumit. Ia bukanlah satu kecederaan yang serius dan boleh sembuh. Tetapi ia akan mengambil sedikit masa, dalam anggaran lebih kurang seminggu untuk pulih. Namun dalam tempoh tersebut, pastikan anda menjaga setiap pergerakan kaki anda untuk mengelakkan ia daripada menjadi lebih serius atau kronik. 

7. Sindrom terowong tarsal

Pada bahagian kaki, dikatakan terdapat satu terowong yang mana di dalamnya terdapat saraf yang menghubungkan bahagian tapak kaki. Sekiranya saraf pada bahagian tersebut terhimpit disebabkan oleh beberapa masalah atau keadaan, bahagian tapak kaki yang turut melibatkan tumit akan mengalami kesakitan. 

8. Gout

Gout merupakan satu masalah kesihatan seperti arthritis. Keadaan ini mungkin boleh berlaku disebabkan oleh buah pinggang yang tidak dapat berfungsi dengan sebaiknya serta anda tidak mempunyai enzim tertentu untuk membantu memecahkan asid urik yang terdapat dalam daging, sebarang sos berat serta makanan laut. 

Sakit Tumit Pelbagai Faktor Boleh Menjadi Punca - gout

Situasi ini akan mengakibatkan kristal urat menjadi keras dan akan pergi ke bahagian badan yang paling sejuk, kebiasaannya pada bahagian sendi kaki besar. Keadaan ini akan menyebabkan sendi kaki anda akan tampak merah, timbul rasa panas dan menjadi bengkak serta kesan yang paling menyakitkan adalah ia menjadi terlalu sensitif untuk disentuh, atau dalam erti kata lain, super sensitive terhadap sebarang sentuhan. Apa yang membimbangkan keadaan ini juga boleh menjadi sebagai tanda jangkitan. Jadi, sekiranya anda berdepan dengan situasi ini, anda amatlah disarankan untuk segera berjumpa dengan doktor atau pakar perubatan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut. 

9. Mengalami keradangan tumit

Masalah keradangan tumit ini hanya akan berlaku sekiranya anda mengalami keadaan plantar fasciitis. Kesakitan pada tumit yang berlaku disebabkan oleh gelung tisu penghubung dari tumit ke jari kaki.

10. Bursitis

Bursa merupakan pelindung yang terduduk di antara sendi dan antara tendon dan tulang. Keradangan bursa di bahagian belakang tumit boleh menyebabkan pembengkakan serta sakit pada bahagian tumit.

Untuk makluman umum, bursa adalah sejenis tisu lembut yang terletak pada sendi-sendi seperti bahu, siku, pinggul, lutut dan tumit. Ianya berbentuk seperti bungkusan kecil yang mengandungi air dan terletak di antara tulang dan tisu lembut seperti otot, ligamen dan tendon. Bursa berfungsi sebagai kusyen untuk mengurangkan geseran. 

11. Pad lemak kaki berkurangan

Masalah pad lemak kaki atau dikenali sebagai fat pad atropy yang berkurangan biasanya dialami oleh individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit autoimun. Keadaan ini boleh menyebabkan tisu lemak di bahagian tumit akan semakin berkurangan dan situasi ini akan mengakibatkan fungsi tisu lemak yang berperanan untuk menyerap hentakan dan tekanan pada bahagian kaki, khususnya tumit akan semakin merosot dan berkurangan. Kesannya akan menyebabkan bahagian berkenaan akan mengalami kecederaan dan rasa sakit pada tumit akan wujud. 

12. Bony spurs 

Kewujudan tulang yang tumbuh tidak normal pada titik di mana plantar fascia dilekatkan pada tulang tumit. Plantar fascia adalah jaringan yang menghubungkan tumit dengan jari kaki. Ia boleh berlaku disebabkan ketegangan atau tekanan yang berpanjangan akibat gaya berjalan atau pemakaian kasut yang tidak bersesuaian di mana mengakibatkan kaki membongkok ke dalam yang merengangkan plantar fascia dan menyebabkan keradangan kronik. Ada masanya ketegangan pada otot dan peningkatan ketegangan pada tumit juga boleh menyebabkan pertumbuhan tulang spurs. Bony spurs cenderung untuk terus berkembang ke arah di mana peregangan yang menyebabkan kesakitan.

13. Achilles tendinopathy

Tendon Achilles adalah tendon terbesar yang terdapat dalam badan. Ia berperanan untuk menghubungkan otot betis dan tulang tumit. Individu yang terlibat dalam sukan yang memerlukan mereka untuk banyak berlari dan melompat adalah lebih cenderung untuk terdedah kepada keradangan tendon akibat terlalu pergerakan yang berlebihan.

Kaedah Rawatan Bagi Sakit Tumit

Mempunyai masalah sakit pada tumit pastinya satu keadaan yang boleh menjejaskan pergerakan harian anda. Namun, terdapat sesetengah individu yang mengalami masalah ini menganggap ia adalah satu masalah biasa dan tidak melakukan sebarang rawatan untuk mengatasi masalah ini. Itu sebenarnya satu perbuatan yang berbahaya, kerana membiarkan masalah sakit tumit ini untuk berlanjutan bermakna anda akan meningkatkan risiko untuk mewujudkan masalah kesihatan lain yang berkaitan dengan tumit kaki anda. Bukankah mencegah itu adalah lebih baik? 

Jadi untuk membantu anda mengatasi masalah sakit pada tumit kaki yang anda hadapi, berikut terdapat beberapa cara dan kaedah yang boleh anda amalkan. Siapa tahu masalah sakit tumit anda akan berkurangkan, bukan?

1. Berehat

Antara kaedah yang paling mudah untuk membantu merawat masalah sakit tumit pada kaki anda adalah dengan memberikan kaki anda masa untuk berehat dan menghindari sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan risiko untuk menyebabkan atau meningkatkan lagi kesakitan pada tumit kaki anda. 

Salah satu cara yang boleh anda lakukan ketika merehatkan kaki anda adalah dengan meninggi bahagian kaki anda ketika anda sedang berbaring untuk tempoh selama sekurang-kurangnya 15 hingga 20 minit. Ini adalah bertujuan untuk memperbaiki aliran darah. 

2. Mengurangkan tekanan pada tapak kaki

Sama seperti berehat, individu yang mengalami masalah rasa sakit pada tumit kaki adalah disarankan untuk merehatkan kaki bagi memberikan kesembuhan pada bahagian yang terlibat. Antara perkara yang boleh dilakukan adalah seperti :

  • Menghindari sebarang aktiviti yang melibatkan banyak pergerakan aktif dan banyak menggunakan kaki seperti berlari, berjalan untuk tempoh yang lama dan jarak yang jauh serta pelbagai aktiviti lain seumpamanya. 
  • Sebaiknya, anda disarankan untuk memakai pelapik lembut yang diletakkan pada bahagian tapak kaki atau sekurang-kurangnya pada bahagian tumit kaki. 
  • Gunakan sandal atau selipar lembut ketika berada di dalam rumah. Elakkan dari memijak lantai simen di dalam rumah secara terus tanpa sebarang lapik. 
  • Jika anda mempunyai masalah berat badan yang berlebihan, anda mungkin boleh mencuba untuk mengurangkan berat anda. Ini dapat membantu mengurangkan tekanan pada bahagian kaki dan dalam masa yang sama, ia membantu anda menghindari masalah kesihatan kronik yang lain. 

Apabila anda kurang bergerak atau berjalan, ia sekali gus membantu untuk mengurangkan tekanan pada tapak kaki.

3. Pemilihan kasut bersesuaian

Sekiranya rasa sakit pada bahagian tumit kaki sama ada kiri mahupun kanan berlaku disebabkan ketidakselesaan akibat kasut yang anda pakai. Mungkin sudah tiba masanya untuk anda dapatkan kasut yang lebih sesuai untuk anda dan dapat memberikan keselesaan dan sokongan yang tapak kaki anda perlukan. 

Sakit Tumit Pelbagai Faktor Boleh Menjadi Punca - sandal dalam rumah

Anda juga boleh memilih untuk menggunakan pelapik lembut. Seperti yang dinyatakan di atas, sebaiknya, hindari daripada memijak lantai simen di dalam rumah tanpa sebarang alas kaki seperti selipar. Ini kerana mengikut kepercayaan orang-orang lama, lantai simen bersifat sejuk dan sangat berbisa, sekali gus boleh menjadi punca kepada sakit tumit. Ia satu kepercayaan, tetapi sekiranya ia baik dan dapat membantu mengurangkan rasa sakit pada tumit, tidak salah untuk mencuba.

4. Ubatan

Sekiranya rasa sakit pada tumit yang anda alami terlalu menyakitkan, anda boleh mendapatkan ubat penahan kesakitan dan ubat antikeradangan bukan steroid seperti ibuprofen, paracetamol yang dipercayai dapat membantu melegakan kesakitan dan mengurangkan bengkak. 

5. Pembedahan 

Ia boleh dianggap sebagai angkah dan pilihan terakhir untuk merawat sakit tumit anda, sekiranya kesakitan yang anda alami berlanjutan sehingga 6 bulan dan lebih. Dalam kaedah perubatan, terdapat dua prosedur pembedahan yang boleh dilakukan iaitu pembedahan gastroknemius yang bertujuan untuk memanjangkan otot betis dan meningkatkan gerakan pergelangan kaki dan pembedahan plantar fasciitis adalah di mana ligamen di potong untuk melegakan ketegangan.

Rawatan Segera

Kerap berasa sakit pada tumit kaki mungkin akan menyebabkan anda beranggapan ia adalah satu perkara normal yang tidak perlu dirisaukan. Tetapi, hakikat, anda tidak boleh memandang remeh perkara ini. Sebaiknya dapatkan rawatan segera. Ia boleh membantu untuk mencegah sebarang risiko untuk mendapat masalah kesihatan yang lain. Kaki merupakan anggota badan yang amat penting dalam membantu pergerakan harian anda. Jadi, jika anda sayangkan kaki anda, jangan abaikan aspek penjagaannya. 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca:

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.