backup og meta

5 Punca Migrain Yang SERING Terjadi Dalam Hidup Seharian Anda, Patutlah Pun!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 25/10/2022

    5 Punca Migrain Yang SERING Terjadi Dalam Hidup Seharian Anda, Patutlah Pun!

    Sering sakit kepala migrain? Tetapi adakah anda tahu apakah punca migrain yang menyerang? Baca selanjutnya dalam artikel ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Sistem Saraf & Otak, sila dapatkannya di sini.

    Kenal pasti punca migrain

    Sehingga kini, punca migrain atau punca sakit kepala masih belum diketahui. Tapi, antara faktor mengapa migrain boleh tercetus adalah kerana didorong oleh genetik, persekitaran, dan gaya hidup anda.

    Dari sudut sains, pakar bersetuju serangan migrain boleh berlaku disebabkan ketidakseimbangan interaksi kimia dalam otak

    Ini termasuklah serotonin yang mengawal atur deria kesakitan di dalam sistem saraf.

    Selain itu, perubahan pada struktur brainstem dan interaksinya dengan saraf trigeminal (saraf yang bertanggungjawab terhadap fungsi pergerakan muka) juga memainkan peranan.

    Oleh sebab aktiviti harian anda boleh mempengaruhi kebarangkalian mendapat serangan migrain, mari kita kenali 5 penyebab sakit kepala yang selalu terjadi.

    1 – Kurang tidur berkualiti punca migrain berlaku

    punca migrain

    Pasti anda tahu jumlah waktu tidur yang mencukupi adalah sebanyak 7 hingga 8 jam sehari, kan? 

    Percaya ataupun tidak, mereka yang kurang atau terlebih tidur, kedua-duanya boleh mendapat serangan migrain!

    Walau bagaimanapun, penyebab migrain bukan hanya bergantung pada berapa banyak jumlah waktu tidur anda. Ia lebih melibatkan kualiti tidur itu sendiri. 

    Tidur yang sering terganggu dek masalah tidur seperti insomnia, tidur berdengkur dan apnea tidur boleh mencetuskan serangan migrain

    2 – Minum terlalu banyak minuman berkafein

    Ramai mengaku pengambilan minuman berkafein membantu melegakan kesakitan, terutamanya serangan migrain.

    Ia terjadi kerana reaksi bahan kimia semula jadi otak yang dikenali sebagai adenosine. 

    Adenosine mampu melekat pada reseptor di permukaan sel otak, lalu menyebabkan kesakitan. Kafein mampu “menghalang” adenosine ini dari bercantum dengan reseptor.

    Sebab itu, individu dengan serangan migrain terbukti mempunyai peningkatan paras adenosine.

    Walau bagaimanapun, pengambilan minuman berkafein berlebihan boleh menyebabkan berlakunya toleransi pada otak

    Baca juga:

    Ia merupakan salah satu penyebab migrain yang sering berlaku kepada peminum kopi tegar.

    Ini bermakna, sekiranya anda tidak minum minuman berkafein, anda berisiko alami simptom penarikan (withdrawal symptom).

    Antara simptom tersebut adalah:

    1. Pening kepala
    2. Kelesuan
    3. Loya
    4. Sukar menumpukan perhatian
    5. Simptom lain yang berkait rapat dengan migrain

    3 – Duduk di hadapan skrin komputer terlalu lama

    Mereka yang menderita migrain boleh mendapat serangan teruk selepas menggunakan komputer dalam jangka masa lama

    Perkara ini lebih berisiko kepada mereka yang mengalami masalah fotofobia (takut pada cahaya). 

    punca migrain

    Puncanya masih tidak jelas, namun ia dikaitkan dengan beberapa faktor seperti tahap kecerahan skrin komputer.

    Faktor lain pula adalah berapa tempoh masa pendedahan terhadap cahaya skrin tersebut. 

    Sebagai contoh, penggunaan komputer secara intensif sekurang-kurangnya selama 30 minit boleh menyebabkan sindrom penglihatan komputer. Perkara ini punca sakit kepala.

    Penggunaan komputer selama 2 jam sehari boleh menyebabkan sakit kepala dan jika waktu tersebut lebih panjang (4-9 jam), kesannya adalah lebih teruk. 

    Warna tertentu pada skrin komputer juga boleh menjadi penyebab migrain terutamanya warna yang berasal dari spektrum warna biru dan hijau.

    Komputer yang menggunakan skrin resolusi rendah turut mampu menghasilkan isyarat penglihatan yang boleh menyumbang kepada serangan migrain.

    4 – Perubahan mendadak pada persekitaran 

    Faktor persekitaran turut merupakan punca migrain. Ini termasuklah perubahan altitud, cuaca, kadar lembapan dan bunyi bising.

    Perubahan cuaca, sama ada terlalu sejuk atau terlalu lembab mempengaruhi keseimbangan isyarat kimia dalam badan lalu mencetuskan migrain.

    Perubahan pada tekanan pula sering berlaku ketika individu menaiki pesawat atau ketika menyelam di lautan dalam.

    Perkara sama juga boleh terjadi apabila anda mendaki tempat yang beraltitud tinggi. Serangan migrain boleh tercetus akibat perubahan tekanan barometrik. 

    Cahaya terang benderang juga boleh menyebabkan berlakunya migrain terutamanya jika cahaya tersebut berkelip-kelip. 

    Cahaya berkelipan ini kebiasaannya berlaku apabila cahaya matahari terpantul pada permukaan air, pasir dan salji.

    5 – Perubahan hormon juga punca migrain tercetus

    Perubahan hormon yang sering dialami oleh wanita juga merupakan salah satu punca sakit kepala. Perkara ini sering terjadi pada 3 peringkat kehidupan seorang wanita:

    1. Ketika sedang mengalami kitaran haid
    2. Kehamilan
    3. Menopaus

    punca migrain

    Penting juga untuk anda tahu perubahan hormon yang membawa kepada serangan migrain kebiasaannya disebabkan hormon estrogen. 

    Sebelum wanita mengalami haid, paras hormon estrogen dan progesteron akan jatuh dengan mendadak. 

    Mereka yang menghampiri menopaus pula mempunyai paras hormon yang sering berubah. Perkara ini juga boleh menjadi penyebab migrain.

    Bagi wanita hamil, migrain kebiasaannya berlaku pada peringkat awal kehamilan. Setelah trimester pertama, simptom tersebut biasanya hilang.

    Setiap individu yang mengalami migrain mempunyai faktor pencetus yang berbeza-beza. 

    Oleh sebab itulah, penting untuk anda memberikan perhatian yang penuh kepada punca sakit kepala anda bagi menghindarinya. 

    Pemahaman yang baik berkenaan dengan punca migrain anda boleh membantu pakar saraf untuk membuat diagnosis yang lebih tepat sebelum memberikan rawatan kepada simptom tersebut.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 25/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan