backup og meta

Menderita Kerana Migrain? Ini 5 Tip Mudah MENCEGAH Serangan Migrain Dari Berulang!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Amy Kor · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 12/08/2020

    Menderita Kerana Migrain? Ini 5 Tip Mudah MENCEGAH Serangan Migrain Dari Berulang!

    Tanpa disedari, memang ramai orang di dunia ini yang mengalami migrain. Jika anda penderita migrain, jom ketahui apa cara mencegah migrain. 

    Berikut kami senaraikan 5 cara mudah untuk memastikan serangan migrain yang anda alami tidak berulang kembali.

    Cara Mencegah Migrain #1 – Mula Rekod Rutin Harian Anda Dalam Jurnal

    Tiada siapa yang kenal diri anda melainkan diri anda sendiri. Sebab itu, anda perlu rekod setiap rutin harian sebagai salah satu petua mengelak migrain dari berulang. 

    Mulakan dengan mengenal pasti kekerapan dan berapa teruk serangan migrain yang dialami. 

    Ini sangat membantu untuk anda menjangka kemungkinan serangan yang seterusnya, lantas membantu anda mengelaknya.

    Kemudian, fokus pula pada pengambilan makanan dan minuman. Antara makanan yang dikenali sebagai pencetus migrain adalah kafein, alkohol, coklat, keju dan daging, serta monosodium glutamate (MSG). 

    Catat semua pengambilan makanan seharian anda untuk mencipta diet yang lebih sihat. Jika anda mengambil preskripsi ubatan untuk migrain atau penyakit lain, catatkannya juga.

    Ia kerana sesetengah ubatan boleh mendatangkan kesan sampingan, termasuklah migrain atau sakit kepala. 

    petua mengelak migrain

    2 – Awasi Perubahan Hormon Tubuh Badan

    Hormon juga memainkan peranan penting dalam serangan migrain, terutamanya buat wanita. Kebanyakan wanita akan mengalami migrain ketika atau sebelum menstruasi berlaku. 

    Disebabkan itu, sangat penting untuk wanita memahami kitaran menstruasi mereka sebagai cara mencegah migrain secara efektif.

    Tidak dilupa, wanita juga perlu berhati-hati dengan diet pemakanan dan tabiat senaman sepanjang datang haid. 

    Selain itu, pengambilan pil perancang kehamilan serta terapi penggantian hormon juga boleh menjejaskan kekerapan dan keterukan migrain. 

    Pil perancang kehamilan berkait rapat dengan ketidakstabilan hormon estrogen dalam tubuh badan wanita. Jadi, pengambilannya perlu dikawal dengan nasihat dari doktor.

    Makan Dan Tidur Dengan Secukupnya, Ini Petua Mengelak Migrain #3

    Kurang tidur tidak bagus untuk tubuh pada jangka masa panjang. Ia menjejaskan fungsi tubuh serta mengganggu konsentrasi dan motivasi bekerja. 

    Tidur lebih dari waktu yang paling disyorkan iaitu sekitar 7-8 jam sehari juga boleh jadi punca migrain. 

    Ini kerana waktu tidur yang tidak stabil akan menyebabkan keletihan sekali gus mengakibatkan anda terlebih tidur. 

    Salah satu dari cara mencegah migrain adalah cuba tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari bagi memastikan anda mendapatkan rehat yang cukup.

    Begitu juga dengan pemakanan. Berpuasa atau mengabaikan hidrasi juga boleh mencetuskan migrain.  

    Bagi mencegahnya, anda disarankan untuk makan satu jam selepas bangun tidur. Selepas itu, makan secara sihat setiap tiga atau empat jam untuk memastikan anda sentiasa kenyang sepanjang hari. 

    Dalam masa yang sama, pastikan anda kekal berhidrasi sepanjang hari. Mungkin dua liter air putih adalah ideal, namun pastikan anda tidak terlebih minum air pula untuk mengelak masalah lain.

    4 – Jauhi Bunyi Bingit Dan Cahaya Terang

    Bagi kebanyakan orang, bunyi bingit dan cahaya terang adalah antara pencetus utama serangan migrain. 

    Ya, ia memang sukar untuk dielak, namun langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengawal kekerapan dan keterukan serangan migrain secara efektif. 

    Sebagai contoh, individu yang mempunyai masalah migrain harus mengurangkan aktiviti memandu pada waktu malam atau waktu panas, menonton wayang atau konsert yang mempunyai ramai orang.

    Ketika di rumah atau tempat kerja, sila pastikan anda mengambil rehat seketika dari skrin televisyen atau komputer sebagai salah satu petua mengelak migrain.

    Selain itu, cuba kurangkan tahap kecerahan pada skrin jika mata anda mula rasa silau. Sangat penting untuk anda menjauhi bunyi bingit dengan cara mengurangkan kelantangan pada fon telinga atau pembesar suara.

    cara mencegah migrain

    Cara Mencegah Migrain No. 5 – Bersenam Dalam Keadaan Relaks, Bukan Tertekan

    Bersenam secara berkala sangat penting untuk gaya hidup sihat. Pun begitu, senaman bagi orang yang mempunyai migrain mungkin boleh memburukkan lagi situasi mereka. 

    Jadi, sila beri lebih perhatian terhadap tubuh badan anda ketika bersenam. Kenal pasti rutin yang anda perlu elak seperti mengangkat berat, kerana ia mungkin boleh jadi punca migrain.

    Dalam erti kata lain, adalah lebih bagus untuk anda melakukan aktiviti fizikal yang sihat, namun relaks dan kurang memberi tekanan pada anda

    Yoga, tai chi dan aerobik adalah pilihan ideal untuk anda bersenam secara sihat. 

    Pun begitu, sila dapatkan preskripsi ubatan dari doktor sekiranya anda masih terpaksa melakukan aktiviti berat untuk mengelak serangan migrain.

    Segalanya perlu bermula dari minda anda sendiri dalam usaha memastikan serangan migrain tidak berulang. Jadi, sila amalkan cara mencegah migrain ini ya?

    Ya, tidak dinafikan memang banyak petua mengelak migrain, namun agak sukar untuk merealisasikannya di dalam kehidupan seharian kita. 

    Namun, ketahuilah bahawa ia adalah pengorbanan yang perlu dilakukan untuk kehidupan yang lebih baik. Lawan ia dan jangan biarkan migrain menjejaskan kehidupan anda!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Amy Kor

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 12/08/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan