Penuaan: Semakin Tua Semakin Bahagia?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Ya, kita semua akan menjadi tua satu hari nanti. Bagi sesetengah individu, mereka menggelarkannya sebagai usia emas. Tetapi semakin anda meniti usia dewasa, tahukah anda ada perkara mengenai penuaan yang mungkin anda tidak ketahui?

Rahsia penuaan 

Mesti anda tertanya-tanya, ada ke rahsia penuaan? Haaa…mestilah ada. Ia adalah mengenai perkara yang mungkin anda tidak sangka akan berlaku kepada anda.

  • Tiada lagi individu perengus

Jika dahulu pantang ada individu yang melakukan kesilapan, pasti anda akan menjadi marah. Tetapi kini, ternyata penuaan mungkin akan mengubah diri anda. Anda tidak akan lagi menjadi seorang individu lelaki mahupun wanita tua yang perengus (grumpy)

Pada usia yang semakin meningkat, ketika berusia sekurang-kurangnya 60 tahun, anda akan menjadi individu yang lebih disenangi. Anda akan cenderung ke arah kegembiraan dan kebahagian serta kurang sifat amarah

Walaupun saintis masih tidak mengetahui bagaimana keadaan ini boleh berlaku, tetapi terdapat beberapa teori yang mungkin tepat, antaranya individu yang lebih berusia berkemungkinan lebih berkeupayaan untuk mengawal emosi dengan lebih baik dan lebih fokus kepada memanfaatkan kehidupan dengan sepenuhnya.

  • Hubungan baik

Apabila usia anda semakin meningkat dan mencecah lingkungan usia 40 tahun, anda akan menjadi lebih serasi dengan kebanyakan individu dalam hidup anda. Anda akan lebih memikirkan tentang apa yang individu sekeliling anda rasa dan fikir untuk menjadikan kehidupan individu tersayang lebih mudah. Malahan dalam aspek hubungan sesama rakan sekerja juga bertambah baik.

  • Seks yang lebih baik

Individu wanita yang lebih berusia, mungkin kurang melakukan hubungan seks berbanding ketika di usia lebih muda. Namun, apa yang lebih diutamakan ketika melakukan hubungan seks adalah kualiti berbanding kuantiti.

Dalam kajian ke atas individu wanita berusia 40 tahun dan ke atas, mendapati bahawa kepuasan seksual bertambah baik seiring dengan peningkatan usia. Wanita yang lebih berusia dikatakan lebih berpuas hati ketika melakukan hubungan seks.

  • Perubahan pada deria

Semakin meningkat usia anda, pengambilan ubatan, masalah kesihatan seperti selesema, flu, penyakit gusi dan penyakit lain serta alahan yang dialami mungkin akan mengubah deria rasa hidung dan bau anda.

Perubahan ini juga berkemungkinan untuk mempengaruhi diet pemakanan dan kesihatan anda. Jika anda berasa memerlukan sesuatu untuk menaikkan deria anda, cubalah beberapa herba seperti rosemary dan thyme, bawang putih, bawang, lada, atau mustard serta minyak zaitun. Tetapi pastikan anda tidak mengambil garam secara berlebihan, okay?

  • Perubahan pada hormon 

Biasalah, apabila sudah semakin meningkat usia, rambut pada bahagian kepala akan semakin menipis. Tetapi ia akan muncul pada tempat-tempat pelik, seperti pada bahagian hidung atau telinga. 

Manakala bagi individu wanita, pertambahan usia pula akan menyebabkan munculnya rambut halus pada bahagian dagu. Jangan risau, ini semua disebabkan oleh perubahan hormon. 

  • Bangun di awal pagi

Anda mesti perasan, individu yang berada dalam peringkat usia emas ini mudah bangun pada waktu pagi, bukan? Ia adalah antara kelebihan penuaan kepada badan. Pola kitaran waktu tidur akan mengalami perubahan selari dengan peningkatan usia. 

Biasanya pada usia yang semakin meningkat ini, anda akan tidur awal kerana tiada lagi aktiviti melepak sambil minum bersama kawan-kawan ataupun menonton wayang lewat malam dan sudah tentu anda akan bangun awal.

Dalam kajian melibatkan responden berusia 65 tahun, menunjukkan bahawa walaupun kebanyakan mereka akan bangun pada waktu malam, tetapi mereka masih mendapatkan tidur malam yang baik.

  • Selamat tinggal migrain

Migrain merupakan antara masalah yang paling kerap dialami oleh kebanyakan individu. Walau bagaimanapun, bagi kebanyakan individu yang mengalami migrain, sebaik sahaja anda melangkah ke alam penuaan, migrain yang dialami mungkin akan hilang. 

Hanya 10 peratus wanita dan 5 peratus lelaki yang berusia 65 tahun ke atas dikatakan masih mempunyai migrain. Namun, berita baiknya, migrain yang dialami tidak akan menyebabkan anda berasa sakit kepala. Cuma migrain tersebut akan membuatkan anda berdepan dengan isu gangguan visual atau deria yang tidak menyebabkan sebarang kesakitan.

  • Bersara awal

Kita selalu mendengar cadangan untuk bersara awal, tetapi hakikatnya persaraan awal mungkin bukan perkara yang baik untuk kesihatan anda, melainkan anda mempunyai pekerjaan lain yang menyeronokkan untuk mengisi masa lapang anda.

Dalam satu kajian dipanggil Longevity Project mendapati, individu yang bekerja bersungguh-sungguh dalam pekerjaan yang mereka sukai dan nikmati akan hidup lebih lama. Selain itu, mempunyai sahabat baik serta perkahwinan yang bahagia, sudah tentu menjadi antara faktor membantu memanjangkan usia.

  • Kebimbangan 

Perkara yang paling menjadi kebimbangan apabila memasuki usia penuaan adalah jatuh. Malah, dalam kajian yang dijalankan menunjukkan, satu per tiga individu dewasa berusia 65 tahun ke atas mempunyai ketakutan untuk jatuh. Ini adalah kerana jatuh cenderung menjadi punca utama kecederaan bagi individu lebih berusia.

  • Keyakinan diri

Selepas anda berusia 60 tahun, keyakinan dalam diri anda akan semakin meningkat. Keadaan ini dipercayai berlaku kerana seiring peningkatan usia, kebanyakan individu akan mula mencari tujuan kehidupan yang lebih baik melibatkan perubahan gaya hidup seimbang.

  • Kurang tekanan

Menurut laporan American Psychological Association’s, individu dewasa yang lebih berusia dilaporkan kurang mengalami tekanan berbanding rakan-rakan sebaya yang lebih muda. Namun itu tidak bermakna mereka langsung tidak mengalami tekanan terutamanya berkaitan masalah kesihatan dan kewangan. 

  • Semakin comel

Pernah tak anda berasakan individu yang lebih berusia, mereka akan kelihatan comel kerana saiz yang semakin mengecil. Keadaan ini berlaku kerana semakin lama anda hidup, semakin banyak graviti akan membawa anda ke bawah. Ruang antara tulang, dikenali sebagai vertebra akan semakin mendekat. Ia akan membuatkan anda menjadi kurang seinci apabila anda semakin meningkat usia.

Akhir kata

Apabila anda semakin menghampiri tempoh penuaan, terdapat beberapa perkara yang boleh anda lakukan seperti menjaga aspek pemakanan anda dengan merancang diet yang lebih sihat dan melakukan aktiviti fizikal secara berkala. Hindari tabiat merokok serta pengambilan alkohol secara berlebihan kerana dua amalan ini tidak mendatangkan sebarang kebaikan ke atas kesihatan anda.

Di samping itu, anda juga dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan ujian saringan. Lakukannya secara berkala walaupun anda tidak mengalami sebarang simptom. Lebih awal masalah dapat dikesan, lebih mudah ia diuruskan.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Disember 30, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Januari 16, 2020

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut