Bila Waktu Sesuai Makan Ubat Tekanan Darah Tinggi?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Selalunya kita akan makan ubat selepas hidangan makanan. Tetapi adakah semua ubat, seperti ubat tekanan darah tinggi, sesuai untuk dimakan selepas sesuatu hidangan makanan? Atau ada waktu lain yang lebih sesuai? 

Makan ubat sebelum tidur

Kajian The Hygia Chronotherapy Trial yang diterbitkan dalam European Heart Journal mendapati risiko penyakit kardiovaskular dan kematian pada waktu tidur dalam dikurangkan jika makan ubat sebelum masuk tidur, berbanding pengambilannya pada waktu pagi. 

Ini bermakna individu dengan  tekanan darah tinggi dan memakan semua ubat antihipertensi sebelum tidur dikatakan akan mempunyai tekanan darah yang lebih baik. Tindakan itu juga dapat mengurangkan risiko penyakit dan kematian yang disebabkan masalah jantung atau saluran darah.

Penyelidikan yang mengkaji kesan waktu pengambilan ubat antihipertensi, sama ada pada waktu selepas bangun pagi atau sebelum tidur terhadap risiko masalah kardiovaskular ini melibatkan lebih 19,084 pesakit.

Projek Hygia ini dilakukan di 40 pusat penjagaan utama antara Social Security Health Service di utara Sepanyol. Ia melibatkan kerjasama daripada 292 doktor yang telah mendapat latihan untuk melakukan pemantauan tekanan darah di ambulatori, untuk tempoh 48 jam. 

Risiko berkurangan

Kajian yang dilakukan ini turut mengambil kira faktor-faktor yang berkemungkinan boleh menjejaskan hasil keputusan seperti jantina, penyakit diabetes jenis 2, penyakit buah pinggang, tahap kolesterol dan tabiat merokok.

Menurut Pengarah Makmal Bioengineering dan Chronobiology di Universiti Vigo, Sepanyol, merangkap penyelidik dalam kajian Projek Hygia, Professor Ramón C. Hermida, “Pesakit yang mengambil ubat pada waktu tidur hanya berdepan separuh daripada risiko, iaitu pengurangan 45 peratus untuk mengalami isu kesihatan. 

Antaranya seperti serangan jantung atau kematian, myocardial infarction, strok, kegagalan jantung atau memerlukan prosedur untuk membuang saluran arteri tersumbat (coronary revascularisation).”

Hasil analisis secara individu pula mendapati risiko kematian akibat masalah jantung atau saluran darah berkurangan sebanyak 66 peratus, pengurangan risiko myocardial infarction sebanyak 44 peratus, 44 peratus pengurangan untuk arteri tersumbat (coronary revascularisation), kegagalan jantung sebanyak 42 peratus manakala pengurangan risiko strok kepada 49 peratus. 

Kesesuaian waktu

Profesor Hermida memberitahu, “Tidak terdapat sebarang garis panduan mengenai kesesuaian waktu pengambilan ubat tekanan darah. Walau bagaimanapun, mengambilnya pada waktu pagi adalah cadangan paling biasa diberikan doktor. Ini kerana ia dianggap dapat membantu mengurangkan tahap tekanan darah.”

Namun hasil kajian yang diperolehi menunjukkan pesakit yang mengambil ubat tekanan darah pada waktu tidur secara rutin, berbanding mereka memilih memakan ubat pada waktu pagi, mempunyai tekanan darah yang lebih baik.

Kini, Projek Hygia sedang melakukan kajian untuk menganalisis tahap tekanan darah terbaik ketika tidur bagi mengurangkan risiko kardiovaskular paling berkesan dalam THADEUS Trial (Treatment of Hypertension During Sleep).

Nasihat pakar

Hasil kajian Projek Hygia ini memberikan keputusan yang positif. Walau bagaimanapun, sebaiknya jika anda mempunyai masalah tekanan darah tinggi atau sebarang masalah berkaitan jantung, dapatkan nasihat dan rundingan daripada doktor untuk mengetahui waktu sesuai makan ubat yang boleh anda amalkan. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel: