Sarang Burung: Makanan Atau Ubat?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Apa itu sarang burung yang boleh dimakan?

Sarang burung walit adalah sejenis sarang burung yang boleh dimakan, atau lebih dikenali sebagai edible bird’s nest (EBN) dalam bahasa Inggeris. Ia merupakan makanan eksotik dan popular sejak dahulu lagi, khususnya dalam kalangan masyarakat cina kaum Tionghua di Malaysia. Di Malaysia, EBN daripada burung walit ini sudah mula dituai sejak tahun 1878 di Gua Niah, Sarawak. EBN diperolehi daripada pelbagai spesis burung walit dan dihasilkan melalui air liur burung-burung ini yang telah mengeras. Sarang burung yang telah mengeras ini kemudiannya dituai untuk kegunaan konsumer. Ia dianggap sebagai hidangan eksotik yang bernilai bagi masyarakat Cina disebabkan betapa jarangnya ia boleh didapati, rasanya dan juga tanggapan nilai nutrisinya yang berkhasiat. Oleh yang demikian, ia telah digunakan oleh masyarakat Cina dalam masakan mereka sejak 400 tahun dahulu, lazimnya dalam bentuk sup sarang burung. 

EBN ini merupakan antara hidangan produk binatang yang termahal di dunia, selain sup sirip ikan yu. Bergantung kepada gred sarang burung tersebut, harga untuk sarang burung timbang boleh mencecah harga sekitar RM3,500 hingga RM4,500 untuk setiap kilogram. Gred sarang burung walit ini bergantung kepada beberapa kriteria seperti bentuk dan juga warnanya. Ia boleh wujud dalam beberapa warna seperti warna putih dan merah. EBN daripada burung walit yang komersial ini diperolehi daripada spesies burung walit Aerodramus fuciphagus (turut dikenali sebagai burung walit sarang putih) dan juga spesies burung walit Aerodramus maximus (turut dikenali sebagai burung walit sarang hitam). Spesies burung walit ini boleh didapati di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam dan lain-lain.

Industri sarang burung 

Kebanyakan sarang dibina ketika musim mengawan oleh spesis burung walit jantan dalam tempoh waktu 35 hari. Bentuk sarang yang terhasil mirip bentuk cawan yang cetek dan ia melekat pada dinding-dinding gua. Setiap sarang yang terhasil terdiri daripada jalur berselirat yang dibuat daripada air liur burung walit yang telah mengeras. Dari sudut kandungan mineral, sarang yang dibina ini mengandungi kandungan kalsium, zat besi dan juga potassium yang tinggi. 

Industri sarang burung walit di Malaysia ini bermula di sebuah gua batu kapur yang cukup besar di Sarawak iaitu gua Niah. Selain Gua Niah, Gua Gomantong juga turut menjadi salah satu gua yang menjadi tempat burung walit bersarang dan permulaan kepada percambahan industri makanan eksotik di negara ini. Melihat kepada peningkatan dalam permintaan untuk sarang burung ini, industri ini telah bergerak keluar dari gua semula jadi dan kepada penggunaan struktur bangunan diperbuat daripada konkrit yang bertindak sebagai kawasan bersarang tiruan untuk burung-burung ini bersarang. Bangunan ini boleh dilihat di beberapa tempat di negara kita termasuk di tepian lebuh raya. Bangunan ini dikenali sebagai ‘rumah toko’ atau ‘rumah ruko’ dan salah satu ciri-cirinya yang jelas kelihatan adalah kewujudan beberapa lubang pada pelbagai ketinggian di seluruh bangunan yang bertindak sebagai pintu masuk dan pintu keluar untuk burung-burung ini. Selain di Malaysia, kaedah rumah toko ini juga boleh dilihat di negara-negara seperti Indonesia khususnya di bahagian timur Sumatera atau di kawasan Pak Phanang di negara Thailand. Daripada tempat-tempat ini, sarang-sarang yang telah berjaya dituai dan dikumpul kebanyakannya akan dieksport dan dijual ke pasaran yang lebih lumayan seperti di Hong Kong, di mana ia dikira sebagai pusat dagangan dunia untuk makanan eksotik ini. Malahan, nilai industri ini dianggarkan berada pada nilai melebihi RM1 juta setiap tahun. Hampir kesemua konsumer atau pelanggan makanan ini adalah dari tanah besar China kerana negara China adalah konsumer sarang burung paling banyak di dunia dengan lebih 90% daripada jumlah keseluruhan pembeli.

Negara-negara di rantau Asia Tenggara bertindak sebagai pasaran penghasil utama yang membekalkan makanan ini ke Hong Kong dan China. Indonesia yang merupakan pengeluar terbesar, mengeksport kira-kira 2000 tan sarang burung setiap tahun, diikuti oleh negara Malaysia (600 tan) dan Thailand dengan berat eksport tahunan sekitar 400 tan. Filipina pula merupakan negara pengeluar yang paling kecil, dengan eksport keluaran sebanyak 5 tan setiap tahun. Pada tahun 2014, industri sarang burung mewakili 0.5 peratus daripada keseluruhan keluaran dalam negara kasar (GDP) negara Indonesia, hampir satu per empat daripada industri perikanan negara mereka. Di Thailand, nilai dagangan sarang burung, baik ternakan mahupun liar, dianggarkan berada pada nilai RM1.3 bilion ringgit (10 bilion baht) setiap tahun. Industri ini, di peringkat global, dikatakan bernilai RM20 bilion (US$5 bilion). Di Hong Kong, semangkuk sup sarang burung ini boleh dikenakan harga sekitar RM120 hinggalah RM400.

Di Malaysia, industri EBN ini dijangka mampu menyumbang kira-kira RM5.2 bilion kepada pendapatan kasar negara (GNI). Untuk itu, potensinya dikenal pasti oleh kerajaan sehinggakan pelan pembangunan industri ini telah disusun dan dinyatakan dalam Program Transformasi Negara (ETP) dan juga dalam Polisi Agro-Makanan Nasional (NAP). Antara empat strategi yang telah digariskan oleh kerajaan bagi menyokong pertumbuhan industri ini adalah:

  1. Meningkatkan penghasilan EBN tahunan kepada 860 tan metrik menjelang tahun 2020
  2. Memperkenalkan dan juga melaksanakan garis panduan pembangunan industri EBN
  3. Memperkenalkan amalan penghasilan yang baik dan juga piawaian industri
  4. Menggembleng usaha dalam sektor kajian dan pembangunan. 

Apakah manfaat kesihatan yang boleh diperoleh daripadanya?

Melihat kepada saiz industri dan juga harga yang tidak masuk akal untuk hidangan makanan eksotik ini, tentu sekali ramai yang tertanya-tanya tentang apakah manfaat kesihatan yang boleh didapati daripada pengambilan hidangan ini? Ia dianggap sebagai makanan yang cukup berharga untuk beribu-ribu tahun oleh tamadun China namun, adakah benar dakwaan kesihatan turun-temurun yang dicanangkan itu? 

Komposisi nutrisi

Untuk 100 gram hidangan sarang burung walit ini, terdapat sebanyak 281 kilo kalori di dalamnya, 37.5 gram protein, 0.3 gram lemak, 32.1 gram karbohidrat, 485 gram kalsium, 18 miligram fosforus, 3 miligram zat besi dan juga 24.5 gram air. 

Manfaat kesihatan berdasarkan kajian

Kaya dengan protein

Dalam satu kajian yang melihat perbezaan nutrisi yang terdapat dalam pelbagai jenis EBN dari beberapa kawasan berbeza – Malaysia (Perlis dan Langkawi), Indonesia (Kepulauan Jawa, Balik Papan dan Kalimantan), Thailand dan juga negara Filipina. Analisis keputusan kajian menunjukkan walaupun terdapat perbezaan cara sarang dituai (rumah toko dan juga gua semula jadi) kesemua EBN yang dikaji mempunyai kandungan protein yang tinggi dan merupakan kandungan nutrisi yang tertinggi di dalam satu sarang burung, sekitar 59.8% sehinggalah 65.4% daripada keseluruhan sarang tersebut. 

Protein adalah salah satu makronutrien yang penting dalam tubuh badan manusia selain lemak dan karbohidrat. Protein terdiri daripada satu atau lebih rantaian asid amino daripada pelbagai jenis. Selain memainkan peranan yang penting dalam memastikan jisim otot badan tidak susut, protein juga penting kerana ia berfungsi sebagai bahan binaan asas untuk pelbagai sel dan tisu dalam badan seperti sel darah merah, sel saraf, dinding organ dalaman dan juga untuk pembentukan molekul-molekul metabolisma seperti enzim. Mungkin kurang disedari oleh orang ramai tetapi protein juga membentuk struktur luaran badan manusia seperti rambut.

Rendah kandungan karbohidrat

Dalam kajian yang sama, analisa sampel EBN daripada sumber yang berbeza ini mendapati bahawa ia mengandungi serendah 8.5% sahaja kandungan karbohidrat. Karbohidrat merupakan polimer bagi nutrisi asas glukosa. Apabila lebih daripada satu glukosa bergabung dan membentuk rantaian yang panjang dan bercabang, ia membentuk struktur yang kita kenali sebagai karbohidrat. Karbohidrat dipecahkan oleh enzim amylase dan proses pemecahan ini berlaku di peringkat mulut dan juga di bahagian awal usus kecil. Ini kerana enzim amylase pertama dikeluarkan oleh kelenjar air liur di dalam kawasan mulut manakala di usus kecil pula, enzim amylase dikeluarkan oleh struktur pankreas dan bertemu dengan bahan makanan di bahagian pertengahan duodenum. Pengambilan karbohidrat yang banyak mampu membekalkan tenaga yang banyak, dengan syarat, ia digunakan. Oleh sebab itu, atlet profesional mengambil karbohidrat yang banyak bagi membekalkan badan mereka dengan jumlah tenaga yang tinggi bagi memenuhi keperluan tenaga harian mereka. Namun yang demikian, rakyat Malaysia rata-ratanya mengamalkan gaya hidup sedentar walaupun mereka mengambil jumlah karbohidrat yang tinggi. Tanpa aktiviti yang memerlukan kalori yang tinggi, gula berlebihan ini akan disimpan di dalam hati dalam bentuk glycogen. Pertambahan glukosa susulan akan menyebabkan paras gula dalam darah menjadi tinggi dan dalam jangka masa panjang, akan menyebabkan kecederaan kepada salur darah di dalam saraf dan juga salur darah kecil. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan rintangan insulin. Susulan daripada pengambilan gula berlebihan dan rintangan insulin ini adalah penyakit kencing manis (Diabetes Mellitus Type 2). Selain itu, lebihan gula dalam badan juga boleh melalui proses di mana ia akan ditukarkan menjadi lemak. Pengumpulan lemak berlebihan akan menyebabkan seseorang itu berisiko untuk mendapat penyakit obesiti. Kecederaan salur darah akibat daripada produk akhir metabolisma gula berlebihan ini juga dapat menyebabkan penyakit salur darah koronari, yang akhirnya boleh membawa kepada penyakit jantung seperti serangan jantung akut dan juga kegagalan jantung. 

Kandungan lemak yang rendah 

Berdasarkan dapatan daripada kajian yang sama, hidangan sarang burung ini juga mempunyai kandungan lemak yang sangat rendah iaitu serendah 0.01% dan setinggi 0.07% sahaja daripada keseluruhan kandungan EBN. Lemak merupakan salah satu daripada makronutrien yang penting dalam keperluan harian kita selain daripada karbohidrat dan juga protein. Lemak penting kerana ia terlibat dalam pembentukan struktur sel saraf dalam badan manusia dan juga struktur lain dalam sistem saraf tunjang. Lemak juga merupakan salah satu sumber tenaga dalam badan selain glukosa. Namun yang demikian, ianya bukanlah pilihan tenaga utama badan. Situasi semasa menunjukkan ramai rakyat Malaysia mengambil terlalu banyak lemak dalam makanan. Pengambilan lemak yang berlebihan boleh membawa kepada peningkatan risiko untuk menghidap penyakit jantung dan juga strok. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan peningkatan berat badan tidak terkawal sehingga boleh berlakunya obesiti. Obesiti kemudiannya meletakkan seseorang itu berisiko tinggi untuk menghidap pelbagai penyakit kronik (kencing manis, tekanan darah tinggi, osteoarthritis), penyakit berkaitan dengan gangguan metabolisma dan dan juga penyakit berkaitan dengan keupayaan reproduktif dan kesuburan seseorang. Terdapat dua jenis kumpulan besar untuk lemak iaitu:

1.Asid Lemak Tak Tepu

Asid lemak jenis ini adalah jenis lemak yang cair pada suhu bilik. Sumber makanan yang mengandungi asid lemak tak tepu termasuklah minyak jagung, minyak kanola, minyak biji bunga matahari, gajus dan juga minyak zaitun. Asid lemak jenis ini terdiri daripada 2 jenis iaitu asid lemak mono tak tepu dan juga asid lemak poli tak tepu. Pengambilan asid lemak jenis ini perlu dilebihkan dalam diet harian kerana ia membantu untuk:

  • Meningkatkan tahap kolesterol baik
  • Merendahkan tahap kolesterol jahat
  • Merendahkan tekanan darah tinggi

2.Asid Lemak Tepu

Asid lemak jenis ini akan membentuk pepejal jika dibiarkan pada suhu bilik. Ini adalah jenis lemak yang perlu anda elakkan atau hadkan kerana ia boleh menyumbang kepada peningkatan paras kolesterol jahat dalam badan dan juga berat badan yang berlebihan. Antara sumber makanan yang mengandungi banyak asid lemak tepu adalah:

  • Kulit dan lemak ayam
  • Mentega
  • Minyak sapi
  • Santan

Berupaya untuk merangsang sistem imun badan

Terdapat satu kajian in vivo dan juga in vitro yang mengkaji kaitan dan keupayaan EBN dalam meningkatkan sistem imun dalam tikus. Para pengkaji membuat pemerhatian beberapa parameter seperti kesan EBN kepada aktiviti dan penambahan sel-sel limfa (lymphocytes) daripada organ limpa, isotaip dan indikator antibodi, dan juga kandungan IgA daripada rembesan cecair usus (sIgA). Dapatan daripada kajian ini menunjukkan bahawa pengambilan EBN mampu meningkatkan penambahan dan pengaktifan sel-sel B (B cells) dan juga meningkatkan antibodi IgE, IgA, IgM dan IgG3. Tambahan lagi, EBN juga didapati mampu meningkatkan rembesan sIgA dalam usus kecil tikus yang dikaji. Menggunakan ubat cyclophosphamide (CY) untuk menyebabkan penekanan sistem imun tikus tersebut, para pengkaji mendapati bahawa EBN dapat memainkan peranan untuk melindungi sel-sel B daripada kecederaan yang diakibatkan oleh CY. Sebagai konklusi kepada penyelidikan ini, para pengkaji menyimpulkan bahawa pengambilan EBN mampu untuk mengurangkan kecederaan imun usus kecil yang diakibatkan oleh CY dengan cara mempercepatkan pembahagian dan juga pengaktifan sel-sel B dan juga memangkin pengeluaran sel-sel B. 

Tuntasnya, hidangan sarang burung adalah sejenis hidangan eksotik yang cukup popular dalam kalangan masyarakat Cina di Malaysia dan juga di tanah besar China dan Hong Kong. Populariti ini bukanlah populariti yang kosong kerana terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa ia mempunyai beberapa manfaat kesihatan yang mungkin setimpal dengan harganya.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.