backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Apakah Fungsi Sistem Saraf Pusat & Periferal Manusia? Fahami Strukturnya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 08/09/2022

Apakah Fungsi Sistem Saraf Pusat & Periferal Manusia? Fahami Strukturnya

Sistem saraf manusia terdiri daripada organ-organ yang menguruskan pertalian isyarat komunikasi di dalam badan. Ia boleh dibahagikan kepada sistem saraf pusat dan sistem saraf periferal.

Artikel ini akan menerangkan berkenaan dengan struktur sistem saraf pusat dan periferal dengan lebih terperinci. 

Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Sistem Saraf & Otak, sila dapatkan di sini.

Mengenai struktur sistem saraf pusat

Umumnya, sistem saraf pusat terdiri daripada 3 komponen utama iaitu:

  1. Otak
  2. Saraf tunjang
  3. Sel saraf (neuron)

Oleh sebab sistem ini merupakan sistem yang sangat penting bagi setiap individu, maka ia terlindung daripada kontak dengan dunia luar. 

Apa yang lebih menarik adalah, darah yang merupakan elemen penting pun tidak mempunyai kontak dengan struktur ini.

Majoriti nutrien bagi sistem ini dibekalkan oleh cecair serebrospinal yang membanjiri organ sistem saraf pusat. Ia turut bertindak sebagai mekanisme perlindungan tambahan terhadap organ-organ tersebut.

#1 Otak

Otak merupakan organ yang menjadi pusat kawalan bagi keseluruhan badan manusia.

Ia berperanan penting dalam mengawal pelbagai jenis fungsi badan seperti proses pemikiran, deria, pergerakan, tahap kesedaran dan memori manusia.

Permukaan otak (turut dikenali sebagai korteks) mempunyai laluan berlekuk yang dikenali sebagai sulkus.

Bahagian terbesar bagi organ sistem saraf ini dikenali sebagai serebrum dan ia berperanan penting dalam proses percakapan, kelakuan, pemikiran dan memori.

Serebrum otak juga terbahagi kepada dua hemisfera (kanan dan kiri). Hemisfera kanan mengawal pergerakan badan di sebelah kiri dan begitu juga sebaliknya.

Mungkin anda ada terdengar pernyataan yang mengatakan seseorang itu menggunakan hemisfera kanan lebih daripada kiri. 

Namun kajian sains menyangkal pernyataan tersebut. Apabila ia melibatkan fungsi, kedua-dua belah otak bekerjasama menghasilkan tindak balas pergerakan badan.

Hemisfera otak pula boleh dibahagikan kepada beberapa lobus yang mempunyai fungsi spesifik:

  • Lobus frontal sering dikaitkan dengan fungsi kognitif, pergerakan secara sukarela dan kemahiran menguasai bahasa
  • Lobus occipital mempunyai peranan penting dalam memproses maklumat visual
  • Lobus parietal berperanan penting dalam memproses maklumat berkaitan dengan deria
  • Lobus temporal pula sering dikaitkan dengan pendengaran serta persepsi terhadap bunyi. Ia juga penting dalam memproses memori manusia

#2 Saraf tunjang

sistem saraf

Saraf tunjang adalah struktur yang menyerupai tiub panjang bermula di penghujung batang otak turun ke bawah sehingga ke kawasan pinggang.

Ia terletak di dalam tulang belakang manusia dan mempunyai peranan penting untuk membawa maklumat.

Menariknya berkenaan dengan struktur ini, ia memproses pergerakan refleks tanpa melibatkan otak.

Ini bermakna, jika anda mengalami sebarang refleks (pergerakan bukan sukarela dan berlaku secara serta-merta berikutan stimulus), anda tidak menggunakan otak untuk memproses pergerakan tersebut.

Oleh sebab itu, jika anda berada dalam situasi seperti tersentuh cerek panas, tangan anda akan beralih dengan serta-merta sebelum anda merasai kesakitan.

Ia adalah tindak balas penyelamat yang tidak memerlukan maklum balas otak yang mungkin memakan masa.

#3 Neuron, sel saraf yang menjadi tunjang kepada sistem saraf manusia

Ramai yang beranggapan bahawa sel saraf hanya terdapat di otak dan saraf tunjang. Hakikatnya sel ini ada di seluruh badan.

Ia merupakan elemen penting dalam sistem saraf manusia. Kehadirannya membolehkan berlakunya komunikasi di antara sel-sel badan sehingga membentuk tindak balas fizikal.

Soalan cepu emas yang sering menjadi tanda tanya adalah berapa banyak neuron yang ada di dalam badan kita? 1 juta? 2 juta?

Terdahulu, saintis pernah meramal bahawa otak sahaja mempunyai lebih daripada 100 bilion neuron, namun kajian terkini menunjukkan jumlahnya tidaklah sebanyak itu.

Secara puratanya, manusia mempunyai 86 bilion neuron. Walaupun jumlah tersebut kelihatan hampir sama sahaja (beza 14 bilion), namun perbezaan tersebut merupakan jumlah neuron yang terdapat pada otak mamalia seperti babun atau gorila.

Perbezaan tersebut dianggap ketara.

Mengenai struktur sistem saraf periferal

Konsep untuk memahami sistem saraf periferal agak mudah. 

Jika otak dan saraf tunjang manusia membentuk sistem saraf pusat, maka sistem saraf periferal adalah saraf yang berpecah daripada struktur pusat untuk membekalkan isyarat kepada otot dan organ yang lain.

Ia bagaikan sebuah pokok:

  • Batang besar pokok adalah otak
  • Dahan besar pokok adalah saraf tunjang
  • Dahan kecil (berpecah daripada dahan besar) dan ranting adalah saraf periferal
  • Daun/buah adalah organ

Peranan utama bagi sistem saraf periferal adalah untuk menyambungkan sistem saraf pusat kepada organ.

Umumnya, sistem saraf periferal terbahagi kepada dua iaitu:

  1. Sistem saraf somatik
  2. Sistem saraf autonomik

Setiap komponen bagi sistem saraf periferal memainkan peranan penting dalam mengawal tindak balas dan fungsi fisiologi manusia.

#1 Sistem saraf somatik

sistem saraf

Sistem saraf somatik merupakan sebahagian daripada sistem saraf periferal yang bertanggungjawab menyampaikan maklumat motor dan deria dari atau kepada otak.

Maklumat yang dihantar atau diterima oleh sistem ini berkisar dengan maklumat deria atau pergerakan sukarela.

Umumnya, ia mempunyai dua jenis neuron utama:

  • Neuron motor. Sel saraf ini turut dikenali sebagai neuron eferen. Ia membawa maklumat dari otak dan saraf tunjang kepada serat otot yang terdapat di seluruh badan. Neuron motor membolehkan manusia untuk mengambil tindakan fizikal setelah kita mengalami stimulus tertentu
  • Neuron deria. Sel saraf ini turut dikenali sebagai neuron aferen. Ia membawa maklumat yang diterima melalui saraf deria untuk diproses oleh organ sistem saraf pusat. Neuron ini penting berikutan ia membolehkan kita untuk memproses maklumat deria. Hasilnya, tindakan maklum balas boleh diterima oleh neuron eferen bagi menghasilkan tindak balas

#2 Sistem saraf autonomik

Sistem saraf autonomik merupakan salah satu komponen penting dalam sistem saraf periferal. 

Ia bertanggungjawab mengawal fungsi badan yang tidak boleh dikawal secara sukarela seperti aliran darah, degupan jantung, sistem pencernaan dan pernafasan manusia.

Sistem ini membolehkan manusia untuk mengawal fungsi badan tertentu tanpa perlu berfikir mengenainya.

Sebagai contoh, degupan jantung. Anda tidak perlu mengawal degupan jantung secara sukarela. 

Kadarnya boleh meningkat atau berkurangan bergantung kepada situasi semasa. Sekiranya setiap individu perlu mengawal proses ini secara sukarela, maka kita tidak boleh tidur untuk hidup.

Seperti sistem saraf somatik, sistem saraf autonomik juga terbahagi kepada 2:

  • Sistem parasimpatetik. Sistem ini membantu untuk mengawal fungsi badan normal tanpa perlu menggunakan apa-apa sumber fizikal. Ia kebiasaannya bertindak selepas seseorang itu melalui situasi bahaya. Apabila ancaman sudah tiada, sistem ini akan membantu badan untuk memperlahankan degupan jantung, kadar pernafasan, kadar aliran darah ke otot dan mengecilkan anak mata. Badan kita boleh kembali ke fungsi normal
  • Sistem simpatetik. Sistem simpatetik mengawal tindak balas ‘lawan atau lari’ bagi mempersiapkan badan untuk melalui saat getir atau ancaman persekitaran. Apabila sesuatu tindakan memerlukan tenaga (seperti berlawan), sistem ini akan mempercepatkan degupan jantung, meningkatkan kadar pernafasan, mengutamakan aliran darah ke otot, mengaktifkan fungsi kelenjar peluh dan membuka anak mata dengan lebih luas (dilasi)

Konklusi

Sistem saraf pusat dan periferal merupakan dua komponen utama yang menerajui fungsi biologi manusia.

Tindak balas terhadap sesuatu stimulus memerlukan kedua-dua sistem ini bagi memproses tindak balas yang boleh menyelamatkan nyawa.

Pemahaman terhadap kedua-dua sistem ini juga amat penting bagi memahami proses penyakit yang boleh mempengaruhi fungsi normalnya.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 08/09/2022

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan