Ketahui Punca Keputihan & Bahayanya Terhadap Wanita

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Menurut statistik, hampir 75% wanita yang sudah berkahwin di seluruh dunia sering mengalami masalah keputihan. Kebanyakan wanita akan beranggapan bahawa masalah ini adalah normal. Pun begitu, ada sesuatu mengenai masalah keputihan yang sebenarnya boleh mengundang bahaya kepada anda! Untuk mengetahui mengenai punca keputihan berlaku dan bahayanya terhadap kondisi kesihatan anda, sila ikuti artikel ini dengan lebih lanjut.

Sebelum itu, anda perlu faham terlebih dahulu apa itu keputihan dan punca-puncanya.

Apa itu keputihan?

Keputihan atau nama saintifiknya Fluor Albus atau Leukore adalah satu kondisi yang berlaku kepada wanita di mana keluarnya lendir berwarna putih atau seakan-akannya dari lubang faraj. Kebiasaannya, ia akan berlaku kepada wanita yang telah berkahwin ekoran daripada aktiviti seksual mereka bersama pasangan. Ramai wanita tidak menyedari bahaya keputihan ini dan langsung menganggapnya sebagai salah satu petanda yang biasa semasa kitaran haid. Disebabkan itu, setiap wanita perlu tahu membezakan pengeluaran lendir pada faraj secara semula jadi dengan penyakit keputihan yang memerlukan rawatan lanjutan.

Untuk pengetahuan anda, keputihan boleh dikategorikan kepada 2 jenis iaitu:

  • Keputihan fisiologi Ia bersifat normal dan tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit. Ia sering berlaku sebelum kitaran haid wanita atau semasa wanita sedang mengalami kesuburan. Lendir yang keluar daripada keputihan jenis ini biasanya hanya sedikit dan cair serta mempunyai warna putih. Anda tidak perlu terlalu risau tentangnya.
  • Keputihan patologik Ia bersifat kronik dan menunjukkan tanda-tanda penyakit yang disebabkan oleh jangkitan kuman atau penyakit berbahaya yang lain. Lendir yang keluar daripada keputihan jenis ini biasanya lebih banyak, lebih kental, berketul dan berbau serta akan mengakibatkan kegatalan pada faraj. Ia mempunyai warna yang lebih keruh seperti kelabu, kuning atau hijau. Jika anda mengalami keputihan seperti ini, sila rujuk doktor dengan kadar segera.  

Persoalannya, apakah punca keputihan ini dan apakah bahaya yang menanti jika masalah ini tidak dirawat dengan kadar segera?

Apa punca keputihan?

Bagi punca keputihan yang normal (keputihan fisiologi), ia berlaku secara alami ekoran aktiviti seksual bersama pasangan atau sebagai petanda biasa ketika kitaran haid berlaku. Bagi punca keputihan yang kronik (keputihan patologik) pula, ia berlaku disebabkan oleh beberapa kondisi kesihatan, seperti:

  • Jangkitan kuman seperti bakteria vaginosis
  • Jangkitan parasit seperti trikomoniasis, yang biasa berlaku ekoran seks tanpa perlindungan
  • Penyakit kelamin seperti klamidia atau gonorea
  • Sistem imunisasi tubuh badan yang lemah
  • Gangguan hormon
  • Pengambilan pil perancang keluarga
  • Pengambilan antibiotik atau steroid
  • Diabetes
  • Radang pelvis
  • Kanser serviks atau pangkal rahim
  • Atrofi faraj, yang berlaku akibat penipisan dan pengeringan dinding faraj ketika menopaus

Selain daripada kondisi kesihatan yang disenaraikan di atas, punca keputihan yang lain adalah disebabkan oleh gaya hidup anda yang tidak sihat seperti:

  • Mengabaikan kebersihan faraj
  • Diet yang tidak seimbang
  • Tidur yang tidak cukup
  • Kurang berehat
  • Kurang bersenam
  • Merokok
  • Memakai sabun, losyen atau produk penjagaan “miss V” yang tidak sesuai

Setiap kali anda perasan ada lendir keputihan keluar daripada faraj anda, segera pastikan warna, tekstur dan baunya untuk memastikan ia adalah keputihan yang normal atau keputihan yang kronik. Sekiranya anda kurang pasti punca keputihan itu berlaku dan inginkan kepastian yang lebih lanjut, segera berhubung dengan doktor untuk khidmat nasihat dan rawatan lanjutan, jika perlu. 

keputihan

Adakah kehamilan boleh jadi punca keputihan?

Ada mitos yang mengatakan bahawa kehamilan juga boleh jadi punca keputihan, adakah ia benar?

Jawapannya adalah mungkin, ya. Menurut Dr. Sheryl Ross yang berkhidmat di Providence Saint John’s Health Center, California, keputihan sebenarnya mungkin berlaku sebagai salah satu petanda sekiranya seseorang wanita itu sedang hamil. Dalam pada itu, cecair yang keluar pada faraj wanita ini juga mungkin lebih banyak dan akan berlaku sepanjang tempoh kehamilan.

Perubahan pada keputihan ketika kehamilan mungkin boleh bermula seawal seminggu atau 2 minggu selepas konsepsi, bahkan sebelum anda berhenti mengalami haid. Seiring dengan fasa kehamilan, ia seterusnya akan menjadi lebih jelas atau ketara, terutamanya pada fasa terakhir kehamilan. Ketika ini, anda akan mendapati bahawa keputihan yang anda alami akan mengandungi lendir pekat dengan beberapa garis darah (show).

Namun, anda tidak perlu bimbang kerana ia adalah normal dan merupakan salah satu tanda tempoh melahirkan anak sudah dekat.

Jadi, kehamilan mungkin merupakan salah satu dari tanda kehamilan. Jadi, usah khuatir, ya?

Adakah keputihan berbahaya?

Masalah keputihan yang tidak dirawat dengan kadar segera boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi yang bahaya terhadap wanita terutamanya terhadap sistem reproduktif. Antara bahaya yang boleh terjadi adalah kandidiasis invasif, yang berlaku disebabkan infeksi sekunder di mana kuman yang menjangkiti faraj boleh memasuki saluran darah akibat aktiviti menggaru lantas menghasilkan luka. Selain itu, keputihan juga berisiko menjejaskan rahim lalu mengakibatkan kemandulan, kehamilan di luar rahim, kanser rahim atau paling menakutkan, kematian sekiranya berlaku pendarahan pada rahim. 

Jadi, sila bertindak dengan kadar segera untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini sebegini terjadi kepada anda.

Sebagai langkah pencegahan awal, sila pastikan anda mengikuti checklist berikut:

  • Bersihkan faraj anda dengan kerap menggunakan air dan produk yang bersesuaian
  • Elakkan daripada mandi buih atau mandi dalam air takungan seperti tab atau jakuzi
  • Pastikan anda mengelap faraj dari bahagian hadapan ke belakang untuk mengelakkan kuman masuk ke dalam lubang faraj anda
  • Sentiasa pakai seluar dalam yang bersih dan tidak terlalu ketat

Jika masalah keputihan ini masih berlarutan, dapatkan khidmat nasihat dan rawatan lanjut daripada doktor.

Konklusi

Kesimpulannya, terdapat beberapa punca keputihan berlaku kepada wanita, seperti yang telah disenaraikan di atas. Dalam pada itu, proses normal yang mungkin berlaku pada kebanyakan wanita seperti kehamilan juga boleh dikatakan sebagai salah satu puncanya. Namun, ketahuilah bahawa ia adalah sesuatu yang normal dan tidak perlu anda terlalu risaukan.

Pun begitu, jika kondisi ini berlaku berlarutan dan anda sendiri tidak tahu apa punca keputihan ini berlaku kepada anda, sila rujuk pakar dengan segera okay?

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Oktober 6, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Januari 17, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut